backup og meta

Bagaimana Untuk Membuat Pelembap Body Butter Anda Sendiri

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/07/2020

    Bagaimana Untuk Membuat Pelembap Body Butter Anda Sendiri

    Pelembap body butter menyegarkan kulit kering dengan berkesan dan boleh digunakan diseluruh badan atau di kawasan tertentu yang mempunyai masalah kekeringan. Pelembap body butter adalah satu cara lain untuk menjadikan kulit kering kekal terhidrasi dan ianya berbeza dengan losyen atau krim sekiranya kita membuat perbandingan diantaranya. Untuk konsistensi, body butter mempunyai konsistensi yang lebih pekat berbanding konsistensi yang dimiliki oleh losyen. Body butter mempunyai bau yang lebih kuat dan bertahan lama berbanding losyen atau krim. Pelembap body butter mempunyai lemak dan mineral penting yang diekstrak daripada bahan-bahan organik atau semulajadi seperti kelapa sawit, shea, koko dan mangga; yang menjadikannya lebih pekat. Manakala losyen secara asasnya lebih ringan daripada pelembap body butter disebabkan oleh formulanya yang berasaskan air.

    Terdapat beberapa jenis resipi pelembap body butter buatan sendiri yang mempunyai bahan asas yang sama dengan beberapa bahan tambahan bergantung kepada kegemaran seseorang individu terhadap bahan campurannya. Bahan terpenting adalah lemak itu sendiri dan anda boleh menggunakan lemak sayuran pilihan anda. Kebanyakan individu menggunakan shea butter atau cocoa butter sebagai asas resipi mereka. Gunakan satu cawan lemak tersebut untuk resepi ini dan cairkan butter tersebut menggunakan teknik double boiler. Kemudiannya, tambahkan setengah cawan minyak asas atau carrier oil atau sekadar 2 sudu makan sekiranya anda berkeinginan untuk menambah minyak pati lain sebagai bahan tambahan lain. Minyak asas boleh terdiri daripada minyak jojoba, minyak avocado, minyak aprikot dan minyak grapeseed. Anda juga boleh menggunakan minyak kelapa atau minyak zaitun sekiranya anda mahu tetapi minyak badam sesuai digunakan oleh semua individu. Setelah butter tersebut cair dan bercampur dengan baik bersama dengan minyak asas, tutup api atau alat pemanas dan alihkannya ketempat lain dan biarkannya sejuk terlebih dahulu.

    Setelah suhu campuran tersebut turun, tuangkan campuran butter tersebut kedalam mangkuk dan letakkannya kedalam peti sejuk untuk menyejukkannya dan menukarkannya menjadi pepejal (bukan dalam keadaan keras). Setelah campuran butter tersebut mempunyai konsistensi pepejal, anda boleh meletakkan beberapa titis minyak pati seperti lavender, rosemary atau tea tree untuk meningkatkan bau pelembap body butter tersebut. Gunakan pengadun dan pukul campuran body butter tersebut sehingga ia bertukar kepada konsistensi yang menyerupai mentega dan jangan terlebih pukul kerana ia akan memisahkan mentega tersebut. Setelah konsistensi seperti mentega tersebut terhasil, pindahkan campuran butter tersebut kedalam bekas kaca yang kecil dan bersih dan letakkannya di tempat dengan persekitaran yang mempunyai suhu bilik.

    Sekiranya anda terfikir untuk menggunakan body butter yang kurang berminyak, anda boleh memilih jenis minyak asas yang menyerap dengan lebih cepat seperti Cemellia seed oil, Safflower oil, Grapeseed oil dan Rosehip oil untuk mempercepatkan minyak tersebut menyerap kedalam kulit. Sebagai tambahan, anda juga boleh menambahkan bahan-bahan yang menyerap minyak berlebihan seperti serbuk Arrowroot atau serbuk keledek. Arrowroot tinggi dengan kandungan vitamin B yang membantu memperbaiki aliran darah manakala serbuk keledek boleh memekatkan campuran selain menyerap lebihan minyak.

    Dengan membuat dan menggunakan pelembap body butter buatan tangan, ianya bukan sahaja bebas daripada sebarang bahan kimia berbahaya malah turut menjimatkan wang anda daripada membeli produk yang mahal daripada kedai. Pembuatan body butter dirumah turut tidak memakan waktu yang lama melalui langkah-langkah dan teknik yang mudah untuk diikuti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan