Chikungunya bukan satu penyakit baru di Malaysia. Penyakit yang kelihatan seperti demam denggi ini adalah endemik (selalu berlaku) di negara ini.
Apakah punca Chikungunya?
Seperti denggi, ia adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus Chikungunya. Virus ini juga dibawa oleh nyamuk aedes. Nyamuk yang sama juga boleh membawa virus Zika.
Apabila seseorang dijangkiti virus Chikungunya, darahnya akan mengandungi virus tersebut. Nyamuk aedes yang menggigit individu tersebut akan membawa virus di dalam saluran makanannya. Kemudian akan berpindah ke kelenjar air liur. Jika nyamuk itu menggigit orang lain, virus boleh dipindahkan ke dalam darah individu tersebut dan menjangkitinya.
Apakah simptom-simptomnya?
Kadangkala, penyakit ini sering terkeliru dengan denggi kerana mempunyai simptom yang hampir sama. Memandangkan kes lebih banyak dan bahaya, maka doktor kebiasaannya akan membuat diagosis awal sebagai denggi sebelum disahkan oleh ujian darah khusus.
Simptom-simptom yang mungkin berlaku adalah:
- Demam selama lebih kurang seminggu.
- Sakit teruk pada sendi.
- Ruam pada badan.
- Sakit kepala.
- Letih dan sakit otot.
Kebanyakan pesakit akan sembuh sepenuhnya tetapi sakit sendi boleh kekal sehingga beberapa bulan atau mungkin bertahun lamanya. Dalam kes yang jarang berlaku, komplikasi mata, saraf dan jantung mungkin berlaku. Simptom yang serius jarang berlaku tetapi jangkitan dalam kalangan warga emas lebih berisiko.
Selalunya, individu yang dijangkiti mengalami simptom dan tanda yang ringan atau jangkitan berlalu tanpa apa-apa simptom.
Bagaimana penyakit ini dirawat?
Tiada rawatan khusus bagi penyakit ini. Apa yang dilakukan adalah dengan memberikan rawatan sokongan. Ini termasuk:
- Ubat demam dan tahan sakit seperti panadol. Elakkan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin sebelum disahkan bukan denggi bagi mengelakkan risiko pendarahan.
- Banyakkan minum air. Jika ada dehidrasi, air mungkin diberikan melalui vena (IV).
- Rehat.
Kebanyakan kes hanya dirawat sebagai kes pesakit luar dan tidak ditempatkan di dalam wad. Hanya sebilangan kecil sahaja mungkin perlu ditahan akibat komplikasi dan simptom yang lebih serius.
Apakah yang anda boleh lakukan?
Disebabkan penyakit ini dibawa oleh nyamuk yang sama dengan demam denggi, langkah pencegahan yang perlu diambil juga adalah sama. Mari sama-sama pastikan kawasan anda bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk. Beberapa langkah kecil sudah boleh membawa perubahan yang besar.
Baca juga: