Ketika musim hujan, antara penyakit yang menjadi kebimbangan ramai orang adalah demam denggi. Usaha memerangi denggi telah dilakukan sejak sekian lama di semua peringkat. Namun sehingga kini, denggi masih lagi mencatatkan angka yang tinggi di Malaysia.
Mari lihat 5 fakta di bawah berkenaan demam denggi di Malaysia.
1. Denggi adalah nama virus
Istilah denggi diambil dari nama virus yang menyebabkan demam denggi. Terdapat empat jenis virus yang menyebabkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3, dan DEN 4.
Jangkitan oleh satu virus memberikan perlindungan dari diserang virus yang sama. Namun, masih ada peluang untuk dijangkiti jenis virus yang lain.
2. Hanya nyamuk betina yang menghisap darah manusia
Nyamuk yang membawa virus denggi adalah nyamuk aedes, atau nama panjangnya aedes aegypti. Nyamuk jantan tidak menghisap darah manusia. Ia hanya menghisap bunga dan tumbuhan untuk menghasilkan makanan.
3. Demam denggi boleh membawa maut
Antara sebab yang menjadikan demam denggi satu kebimbangan adalah kerana potensinya yang boleh menyebabkan kematian. Walaupun peratusannya adalah kecil, ia adalah penting kerana penyakit ini boleh dicegah. Sebab kematian adalah denggi berdarah di mana berlaku pendarahan terutamanya di dalam otak.
4. Tiada ubat khusus untuk demam denggi
Sehingga kini, masih tiada ubat khusus untuk demam denggi. Apa yang dilakukan di hospital adalah sekadar rawatan sokongan dengan memberikan cecair dan memantau ujian darah. Jus pucuk betik yang sering menjadi amalan tradisional dalam merawat demam denggi mungkin berkesan tetapi tidak dijadikan program kebangsaan di hospital di Malaysia.
5. Denda antara RM250 hingga RM500 boleh dikenakan sekiranya terdapat pembiakan nyamuk di rumah anda
Disebabkan pembiakan nyamuk di rumah anda boleh menjejaskan penduduk setempat, denda boleh dikenakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya ada bukti menunjukkan tempat pembiakan nyamuk di rumah anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.