backup og meta

Ini 4 Kelebihan Jika Anda Buat RTK Sebelum Balik Kampung Atau Bercuti!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/10/2021

    Ini 4 Kelebihan Jika Anda Buat RTK Sebelum Balik Kampung Atau Bercuti!

    Kit ujian kendiri COVID-19 kini telah dijual secara meluas dengan harga yang agak murah berbanding sebelum ini. Ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai melakukan ujian air liur pantas sebelum melakukan aktiviti rentas negeri.

    Mengapa ujian ini sangat digalakkan dan adakah ia berkesan seperti ujian swab yang lain?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Jenis-jenis ujian COVID-19

    Pada masa kini, terdapat dua jenis ujian yang biasa digunakan dalam mengesan jangkitan COVID-19.

    Ujian yang pertama ialah ujian polymerase chain reaction atau lebih dikenali dengan nama ujian PCR. Ujian PCR ini membantu pengesanan jangkitan dengan cara mengesan bahan genetik virus COVID-19.

    Ujian yang kedua pula ialah ujian antigen. Ujian ini pula membantu mendiagnosis COVID-19 dengan cara mencari molekul tertentu yang terdapat pada permukaan virus COVID-19.

    Antara contoh ujian antigen adalah dengan menggunakan RTK antigen atau ujian air liur pantas.

    Ujian air liur pantas ini berkemampuan untuk memberikan keputusan dalam masa 15 minit sahaja dan tidak memerlukan analisis makmal. 

    Adakah kit ujian kendiri ini benar-benar tepat?

    kit ujian kendiri

    Kajian terbaharu pada awal tahun ini menyatakan bahawa, ujian air liur menunjukkan ketepatan sebanyak 83% dalam mengesan jangkitan positif COVID-19.

    Manakala ujian swab yang dilakukan pada hidung dan tekak pula menunjukkan ketepatan sebanyak 85%.

    Hasil kajian ini adalah berdasarkan kepada analisis data daripada 16 buah kajian yang telah melibatkan lebih daripada 5,000 peserta.

    Selain itu, kajian ini turut mendedahkan bahawa kit ujian kendiri atau ujian air liur pantas menunjukkan ketepatan sebanyak 99% dalam mengesan kes-kes negatif jangkitan COVID-19.

    Hasil analisis ini jelas menunjukkan bahawa, RTK menggunakan air liur mempunyai ketepatan yang hampir sama dengan ujian swab hidung dan juga tekak.

    Malah, ujian air liur juga kurang menyakitkan dan lebih pantas untuk dilaksanakan.

    Namun perlu juga ditekankan bahawa, ujian PCR adalah ujian pengesanan jangkitan yang terbaik pada masa kini dan merupakan ujian yang mencapai gold standard daripada pihak Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat. 

    Baca juga:

    Apakah kelebihan lakukan ujian air liur melalui kit ujian kendiri?

    Terdapat beberapa kelebihan atau manfaat bagi penggunaan kit ujian air liur pantas ini.

    #1. Memberikan hasil ujian yang lebih pantas berbanding ujian PCR

    Kita semua sudah mengetahui bahawa, jika seseorang itu menjalani ujian PCR untuk mengesan jangkitan COVID-19, ia akan mengambil masa selama beberapa hari.

    Ini kerana, swab pada hidung dan tekak anda akan dibawa ke makmal terlebih dahulu untuk dianalisis.

    Berbanding ujian PCR, kit ujian pantas ini hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja.

    Ini sangat membantu dalam pengesanan pantas jangkitan terutamanya bagi tujuan pengesanan besar-besaran dan secara kendiri.

    #2. Sifat kit ujian kendiri yang mudah alih dan boleh diakses oleh semua pihak

    Jika anda ingin melakukan ujian PCR, anda perlu hadir ke fasiliti kesihatan tertentu seperti di hospital, klinik atau pusat pengesanan jangkitan.

    Namun, jika anda ingin melakukan ujian air liur ini, anda hanya perlu membelinya di farmasi berdekatan dan anda boleh melakukannya di mana sahaja.

    Malah, kini anda juga boleh membelinya secara dalam talian melalui laman sesawang farmasi yang anda ingini. Ia ternyata lebih mudah berbanding ujian PCR.

    #3. Harganya yang murah

    Bagi mereka yang pernah menjalani ujian PCR, anda pasti tahu bahawa kos bagi setiap ujian tersebut boleh mencecah RM200 dan ke atas.

    Ia amatlah mahal dan agak membebankan mereka yang berpendapatan rendah dan juga sederhana.

    Namun, bagi kit ujian kendiri, harga jualan boleh dikatakan agak murah apatah lagi jika dibeli secara borong.

    Pada masa kini, harga bagi satu unit kit ujian kendiri boleh didapati serendah RM12.00 hinggalah RM17.00 mengikut jenama tertentu.

    #4. Kaedah penggunaannya yang tidak menyakitkan

    Jika anda menjalani ujian PCR, ia boleh dikatakan agak menyakitkan dan kurang selesa. Ini kerana, anda perlu memasukkan alat swab tersebut sehingga ke bahagian dalam rongga hidung anda.

    Kaedah ini tentunya boleh menyebabkan anda berasa seperti hendak bersin atau mengeluarkan air mata.

    Namun, melalui ujian pantas ini, anda hanya perlu meludah air liur anda ke dalam tiub yang disediakan, dan menunggu selama beberapa minit untuk mendapatkan hasil ujian. Mudah bukan?

    Sebelum ke mana-mana, buat ujian air liur dahulu!

    kit ujian kendiri

    Kini, semua rakyat Malaysia telah dibenarkan untuk merentas negeri bagi apa-apa tujuan seperti balik ke kampung, melancong atau meneruskan perniagaan.

    Sesuai dengan kelonggaran ini, kita mestilah sentiasa cakna dengan keadaan semasa di mana jangkitan COVID-19 ini masih ada di sekeliling kita.

    Untuk memastikan keluarga di kampung selamat daripada jangkitan yang mungkin dibawa oleh kita, lakukan ujian pantas ini sebelum anda memulakan perjalanan.

    Tiada sebab untuk anda tidak melakukan ujian ini berdasarkan kelebihan-kelebihan yang telah kami nyatakan di atas.

    Walaupun hasil ujian PCR lebih tepat, namun kit ujian ini sangat membantu dalam pengesanan awal jangkitan kerana ia tidak memakan banyak masa dan juga lebih murah. 

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan