Mengapa Harga Ubat Di Malaysia Sangat Mahal?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 09/07/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Beberapa minggu yang lepas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan beberapa infografik berkaitan ‘Panduan Perbelanjaan Untuk Individu & Keluarga di Malaysia’ yang diberi nama Belanjawanku. Infografik ini telah menarik perhatian dan juga menerima kritikan pelbagai pihak kerana memperuntukkan hanya RM 300 untuk harga sewa bilik orang bujang. Harga ini sangat tidak munasabah sekiranya seseorang itu menetap di Lembah Klang.

Namun, apa yang lebih tidak munasabah tetapi kurang diperkatakan adalah peruntukan untuk kesihatan – RM 30 sebulan. Ini adalah peruntukan yang sangat sangat optimis kerana ianya seolah-olah seseorang itu tidak mungkin akan sakit teruk, kemalangan, ataupun kerap sakit dalam masa sebulan. RM 30 mungkin logik sekiranya anda mendapatkan rawatan untuk sakit yang remeh-temeh di klinik swasta sekali dua dalam masa sebulan, atau lebih kerap sekiranya anda mendapatkan rawatan di klinik kerajaan namun, harga ini langsung tidak boleh menampung apa-apa penyakit yang lebih daripada sekadar batuk, demam dan selsema. Sekiranya anda mengambil pelan kad kesihatan sekalipun, komitmen bulanan akan menelan belanja lebih daripada RM 30 kerana tiada pelan di Malaysia yang menawarkan harga pelan serendah itu.

Menurut Laporan Kadar Trend Peubatan Global tahun 2019 yang diterbitkan oleh Aon, ramalan pertumbuhan bersih kadar inflasi perubatan Malaysia pada tahun ini adalah 13.6% – hampir 5.7 kali ganda lebih banyak daripada ramalan inflasi umum. Data daripada Perbelanjaan Kesihatan Nasional Malaysia 2017 juga menunjukkan belanja barang perubatan mewakili 8% ataupun RM 4.55 Bilion daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan. Perlu diingatkan bahawa kiraan ini adalah kiraan konservatif yang tidak mengambil kira perbelanjaan pesakit dalam.

Kerajaan pusat pada tahun 2017, telah memperuntukkan sekitar RM 2.4 bilion untuk pembelian ubat-ubatan, 10% daripada bajet kesihatan keseluruhan kementerian kesihatan. Walaupun ini adalah peningkatan lebih 13% berbanding tahun sebelumnya, bekalan ubat-ubatan masih terhad dan menjadi cabaran kepada beberapa klinik dan juga hospital kerajaan, khususnya pada musim percutiaan. Ini bermakna permintaan untuk bekalan ubat melangkaui bekalannya sendiri.

Untuk sesetengah ubat, alternatif kepada ubat tersebut belum ada di pasaran khususnya jika ianya masih dilindungi di bawah hak paten sekaligus, menghadkan pilihan yang ada pada pesakit.

Selepas sesuatu ubat berjaya mendaftar paten mereka, penghasil akan menikmati tempoh pasaran esklusif selama 20 tahun ke atas penjualan produk tersebut. Tujuannya adalah untuk memberi pulangan modal ke atas kerja penyelidikan dan pembangunan ubat tersebut yang memakan belanja besar dan masa yang lama. Ini bermakna buat tempoh 20 tahun tersebut, pesakit dan juga pihak hospital hanya mempunyai pilihan ubat tersebut sahaja untuk rawatan penyakit yang berkaitan, walaupun harga ubat tersebut mahal. Lazimnya, penghasil ubat asli ini akan mempertimbangkan juga aspek-aspek lain seperti kos operasi (termasuk pemasaran), pemegang saham, kuasa pembeli konsumer dan juga kehendak negara-negara tertentu, sebelum meletakkan harga akhir pada ubat tersebut.

Hanya selepas tamat tempoh paten ubat asli, ubat generik dapat dihasilkan berdasarkan formula asal ubat asli dan memandangkan syarikat penghasil ubat generik tidak perlu menampung kos kajian sepertimana yang dihadapi oleh penghasil asal ubat tersebut, mereka boleh menjual ubat generik ini pada harga yang jauh lebih rendah.

Menurut Laporan Pemerhatian Harga Ubat 2017, harga akhir untuk ubat generik di pasaran rata-ratanya tiga kali ganda lebih murah berbanding ubat asli. Maka tidak hairanlah konsumer yang sensitif pada perbezaan harga akan memilih ubat generik. Pada tahun 2017, purata bekalan ubat-ubatan generik di sektor awam adalah 74.8% (19.4% adalah ubat asli) selari dengan polisi perubatan nasional yang bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan ubat-ubatan generik. Bagaimanapun, sektor swasta lebih cenderung untuk menggunakan ubat-ubatan asli berbading versi generik, dengan purata bekalan sebanyak 52.2%.

Ini kerana walaupun terdapat banyak persamaan yang menyebabkan ubat asli dan generik seolah-olah sama, hakikat sebenar adalah ubat-ubatan asli adalah lebih baik, mencatatkan keberkesanan and penambahbaikan dalam pesakit yang lebih memberangsangkan. Dalam pengalaman pengamal perubatan, kebanyakkan mereka juga bersetuju dengan hakikat ini sehinggakan ada pesakit yang hanya respon kepada ubat yang asli untuk merawat penyakit mereka. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan komitmen sektor swasta dalam memastikan kualiti dan penyediaan bahan yang terbaik dalam servis mereka.

Di Filipina, undang-undang mereka memerlukan doktor dan pegawai farmasi untuk menyatakan sekurang-kurangnya 2 ubat generik (jika wujud) di samping preskirpsi ubat asli. Pendekatan ini adalah untuk memberi pesakit lebih pilihan dalam membeli ubat-ubatan.

Dalam rantaian bekalan ubatan, ubat dihasilkan oleh penghasil, ditempah dan dihantar oleh pengimport, sebelum bertukar tangan kepada pemborong atau pengedar yang menguruskan penghantaran ubat kepada penjual (Hospital, klinik dan famarsi). Dalam rantaian bekalan yang panjang ini, untung melalui penambahan harga diambil di setiap hentian sehingga apabila ianya sampai ke sektor kesihatan awam, mereka terpaksa menyerap harga akhir yang mahal ini dan memberinya semula kepada pesakit dengan kos yang serendah mungkin.

Malaysia mempunyai sektor penghasilan farmaseutikal yang menghasilkan hanya ubat-ubatan generik sahaja dan pulangan mereka mewakili satu per empat pulangan keseluruhan industri farmaseutikal pada tahun 2014-2015. Sekitar 61 peratus daripada ubat-ubatan (berdasarkan nilai pulangan setara) adalah diimport dan daripada bilangan tersebut, 87% pulangan menjadi milik syarikat proksi tempatan mewakili syarikat-syarikat penghasilan farmaseutikal gergasi multinasional. Syarikat-syarikat yang berada dalam tangga 5 teratas mengaut 47% daripada jumlah import ubat-ubatan dan yang paling penting adalah syarikat-syarikat gergasi multinasional ini berupaya untuk meletakkan harga ke atas ubat-ubatan tersebut merentas negara dan lazimnya, mereka menjual ubat yang asli.

Walaupun pengimport tempatan dan peniaga proksi yang mewakili syarikat-syarikat 5 teratas ini tidak mempunyai margin untung bersih yang besar (sekitar 1.6 hingga 3.4%), purata margin untung bersih syarikat pusat mereka adalah sekitar 26.2% – dalam 10 kali ganda berbanding pengimport tempatan. Ini menampakkan bahawa amalan tetapan harga ubat dan jualan global adalah lubuk emas bagi syarikat-syarikat ini dan menganiaya pesakit dan juga kerajaan yang terpaksa membuat pembelian.

Pengedar hanya bekerja untuk klien mereka, membekalkan logistik, servis sokongan dan penyimpanan, tetapi mereka sendiri tidak memiliki sebarang bekalan ubat. Tindakan ini adalah supaya mereka tidak mempunyai apa-apa pengaruh ke atas harga ubat. Laporan penilaian pasaran menunjukan keuntungan yang dikaut oleh pemborong dan pengedar hasil penambahan harga hanyalah sedikit (dalam 2-3%). Namun, apabila produk ini sampai kepada peniaga, harganya menjadi sangat berbeza.

Menurut Laporan Pemerhatian Harga 2017, median penambahan harga untuk ubat asli dan harga terendah ubat generik di hospital swasta adalah 51% dan 167%, mengikut urutan. Di farmasi, angka ini adalah lebih rendah iaitu 22.4% dan 94.7%, mengikut urutan. Ini menunjukkan bahawa julat penambahan harga mampu menjadi sangat-sangat besar dan dalam kes-kes ekstrim tertentu di hospital swasta, harga ini boleh ditambah sehingga 117.4% dan 900%!, mengikut urutan. Mereka mengambil kesempatan atas kos rendah penghasilan dan import ubat generik yang akhirnya, menyebabkan harga ubat menjadi sangat mahal, demi mendapat keuntungan.

Mereka yang berada dalam sektor ini kebanyakkannya mendakwa bahawa operasi penetapan harga yang dilakukan ke atas produk perubatan mereka adalah sah dan mengikut piawaian pasaran bebas, walaupun ramai pihak memandang tindakan tersebut tidak beretika. Pandangan awam ini menjadi lebih kuat khususnya apabila harga untuk preskripsi dan untuk ubat terkawal menjadi tidak telus untuk diamati oleh umum. Sedangkan, dogma pasaran bebas memerlukan agar harga yang ditetapkan itu telus supaya pasaran dan konsumer dapat membuat pilihan terbaik untuk diri mereka.

Situasi yang wujud pada waktu ini adalah sebaliknya – peniaga boleh menambah harga secara arbitrari tanpa pesakit atau konsumer maklum dengan sepenuhnya tentang pembelian mereka. Rata-rata pesakit mengeluh bahawa pembelian ubat mewakili bahagian besar dalam bil rawatan mereka, menandakan bahawa amalan menambah harga dengan tidak terkawal ini menjadi beban kepada kewangan pesakit.

Melihat kepada faktor-faktor ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan pengenalan mekanisma untuk mengawal harga ubat dan servis farmaseutikal di bawah pengelolaan kementerian sedang melaksanakan usaha bagi mempromosikan ketelusan dalam harga ubat. Sehubungan itu, pada tahun 2015, garis panduan harga konsumer telah dimuatnaik ke laman sesawang kementerian kesihatan bagi membolehkan orang awam untuk membuat perbandingan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    kanser

    Ada Saja Benda Yang Nak Dibeli, Mengapa Susahnya Nak Kawal Nafsu Membeli Ya?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 17/11/2019 . 3 minit bacaan

    Ubat Kanser Lebih Murah di Negara Membangun Tetapi Masih Tidak Mampu Dibeli

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim
    Diterbitkan pada 16/11/2018 . 2 minit bacaan

    Cadangan Kawalan Harga Ubat Kini di Peringkat Awal – Kementerian Kesihatan

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim
    Diterbitkan pada 15/11/2018 . 2 minit bacaan

    Bolehkah persatuan kanser bekerjasama dengan industri farmaseutikal tanpa menjejaskan kebebasan dan kredibiliti?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser
    Diterbitkan pada 02/10/2018 . 3 minit bacaan