5 Pantang Larang Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang, Garam Musuh Utama?
Ramai orang kata dan percaya ada banyak pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang. Persoalannya, apa yang kalian tidak boleh makan dan minum jika punya penyakit organ ini?

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Urologi, anda boleh klik di sini.
Apa akan berlaku jika anda ada penyakit buah pinggang?
Organ buah pinggang termasuk dalam sistem urinari yang berfungsi untuk menerima darah dan menapis bahan atau bendasing tertentu di dalam darah sebelum ia dapat dibuang melalui air kencing.
Di dalam organ ini, terdapat unit penting yang bertanggungjawab menjalankan proses penapisan iaitu nephron dan ia sangat penting untuk menyingkirkan sisa toksik daripada tubuh badan manusia.
Tidak cukup dengan itu, organ ini juga bertindak mengawal tekanan darah dengan mengimbangi kandungan air dalam tubuh badan sekali gus menjamin kelangsungan tahap kesihatan masing-masing.
Apabila terjadi masalah pada buah pinggang, tentu sahaja fungsi-fungsi yang mustahak di atas ini akan terjejas!
Lama-kelamaan, masalah yang dibiarkan tanpa sebarang ubatan dan rawatan akan menyebabkan isu seperti kerosakan atau kegagalan organ buah pinggang anda.
Ini pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang!
Dalam usaha untuk meminimumkan risiko penyakit organ ini, ada beberapa pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang. Anda tidak tahu bagaimana? Tenang, boleh cuba petua berikut:
#1. Kurangkan natrium atau sodium
Merupakan pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang, kalian harus kurangkan garam dalam masakan!
Untuk pengetahuan anda semua, pengamalan diet yang sihat hanya memerlukan pengambilan natrium sekitar 2,000 miligram (mg) dalam sehari. Kalau terlebih, mungkin bakal terjadi masalah lain.
Masalah yang dimaksudkan itu termasuk kesan buruk kepada buah pinggang kerana organ ini terpaksa bekerja lebih keras untuk menyingkirkan natrium dari badan lalu akan menjejaskan fungsinya.

#2. Kurangkan makan daging merah
Tidak dinafikan, daging haiwan terutama jenis merah tinggi dengan nutrisi seperti protein dan lemak yang sangat penting untuk perkembangan otot tubuh badan.
Namun, pengambilan daging yang tinggi kandungan purin berlebihan akan meningkatkan risiko penghasilan asid urik sekali gus mengakibatkan penyakit batu karang pada buah pinggang atau ginjal.
#3. Kurangkan ambil produk tenusu
Seperti di atas, produk tenusu turut sarat dengan nutrien terutama vitamin dan mineral yang mampu menguatkan rangka dan tulang dalam tubuh badan manusia.
Tetapi, pengambilannya yang berlebihan akan menyebabkan tekanan kepada buah pinggang. Ia adalah akibat fosforus yang tidak mampu ditapis oleh organ ini lalu menjejaskan sistem muskuloskeletal.
#4. Alkohol buruk untuk buah pinggang
Sudah terang lagi mahu bersuluh, pengambilan alkohol memang tidak bagus untuk tubuh badan termasuk organ ini.
Alasannya, alkohol yang tinggi toksik akan menjejaskan fungsi-fungsi utama buah pinggang terutama dalam menapis dan membuang sisa-sisa yang langsung tidak diperlukan oleh tubuh badan.
Kesannya, sisa-sisa toksik alkohol itu sendiri selain daripada makanan atau minuman lain boleh terperangkap dengan lebih lama malah mungkin kekal akibat fungsi buah pinggang yang terganggu.
#5. Kurangkan kalium atau potasium
Kebiasannya, kita mungkin tahu bahawa antara contoh makanan yang kaya dengan nutrien ini adalah pisang bukan?

Serupa dengan garam, menu makanan untuk pesakit buah pinggang itu tidak boleh melebihi 2,000 mg kalium atau potasium atau akan timbul masalah pada organ buah pinggang atau jantung.
Sebagai alternatif kepada buah pisang, buah lain seperti epal, anggur, betik, nanas, tembikai dan lain-lain lebih rendah dengan nutrien ini sekali gus mampu menyelamatkan organ-organ tubuh badan.
Konsisten jaga makan agar buah pinggang lebih sihat
Konklusinya, ada banyak pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang. Selain yang telah disebutkan di atas, mungkin wujud beberapa lagi saranan atau larangan yang tidak disenaraikan.
Selain daripada konsisten jaga makan, sentiasa berhubung dan berkonsultasi dengan doktor untuk tahu tentang buah pinggang anda dengan kerap agar segala masalah dapat dikenalpasti lebih awal.
