Bila bercakap tentang punca air kencing kotor, acap kali si wanita yang akan dipersalahkan!
Daripada tuduhan tidak menjaga kebersihan bahagian sulit sehinggalah perkara yang tidak enak didengar seperti sikap jalang dan banyak pasangan, prasangka bersifat seksis ini adalah sesuatu yang cukup jijik.
Dan, ini juga menggambarkan betapa ceteknya pemahaman seseorang itu terhadap kaedah bagaimana berlakunya jangkitan membabitkan alat sulit.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Urologi, anda boleh klik di sini.
Punca air kencing kotor, mengapa wanita lebih cenderung kena?
Wanita lebih cenderung untuk menghidap jangkitan pada sepanjang saluran kencing mereka kerana mereka memiliki anatomi uretra yang lebih pendek.
Saluran yang lebih pendek ini bermakna jarak dan masa yang diperlukan untuk kuman masuk ke dalam dan sampai ke pundi kencing adalah lebih pendek lantas boleh menjadi sebab kencing kotor.
Berbeza dengan kaum lelaki, saluran uretra yang lebih panjang menyebabkan masa pergerakan kuman adalah lebih lambat.
Di samping itu, perbuatan membuang air kecil akan menyebabkan kuman tersebut disingkirkan daripada saluran tersebut.
Oleh yang demikian, sebelum mencapai usia 24 tahun, dianggarkan 3 daripada 4 wanita akan pernah menghidapi jangkitan salur kencing.
Kebersihan faktor utama kencing kotor!
Faktor anatomi bukanlah punca air kencing kotor, ia sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara untuk kuman merebak dan menghasilkan jangkitan.
Kaedah perolehan jangkitan kebanyakannya berpunca daripada aspek kebersihan alat kelamin dan faktor kendiri seperti menghidap penyakit yang menyebabkan sistem imun terjejas ataupun abnormaliti pada saluran kencing.
Baca lagi artikel berkaitan:
- 6 Cara Terbaik Untuk Elak Kencing Kotor, No. 4 Orang Berkahwin Wajib Amalkan!
- Serik Masalah Kencing Kotor Selalu Berulang? Cuba Minum Jus Kranberi Untuk Elak UTI!
Kebersihan alat sulit wanita
Fokus artikel ini adalah kepada faktor kebersihan kerana ramai yang tidak cakna bahawa ia membabitkan bukan sahaja si tuan badan, tetapi termasuklah pasangan mereka.
Untuk si wanita, faktor kebersihan yang kerap menyebabkan mereka mudah terkena kencing kotor adalah kaedah mencuci kemaluan yang salah dan juga penggunaan pakaian dalam yang tidak tepat.
Kaedah mencuci kemaluan yang tepat adalah dari arah depan ke belakang dan bukan sebaliknya.
Pentingnya haluan cucian ini adalah untuk mengelakkan pemindahan bakteria daripada pembukaan dubur yang kotor kepada bahagian faraj dan uretra yang lebih bersih dan steril.
Apabila bakteria daripada saluran pencernaan dipindahkan ke bahagian salur kencing, ia mampu untuk membiak dan mengakibatkan jangkitan.
Dari sudut pemakaian pula, menggunakan pakaian dalam yang tidak mempunyai perudaraan yang bagus ataupun tidak bersih sudah semestinya akan menyebabkan jangkitan mudah untuk mengambil tempat.
Sebaliknya, gunalah fabrik seperti kapas yang lebih baik pengudaraannya dan lembut agar dapat mengelakkan masalah air kencing kotor.
Kebersihan alat sulit lelaki
Walaupun seseorang wanita itu telah melakukan yang terbaik, terdapat lagi satu faktor yang sangat penting yang jarang dititikberatkan – kebersihan pasangan mereka.
Apa yang lebih menyedihkan lagi, kebanyakan lelaki tidak terlalu menitikberatkan kebersihan alat sulit mereka sendiri lantas mengabaikan punca air kencing kotor yang utama ini.
Hal ini mungkin didorong oleh kurangnya insiden jangkitan kelamin dalam kalangan lelaki sekali gus menyebabkan mereka menyangka bahawa kemaluan mereka bersih.
Kawasan kemaluan lelaki yang kotor akan bersentuh dengan kemaluan wanita (termasuk kawasan pembukaan saluran kencing) dengan sangat kerap ketika seks.
Ini membolehkan kuman berpindah daripada kulit pasangan kepada diri anda lantas meningkatkan risiko kencing kotor.
Oleh itu, hubungan seks yang kerap dengan pasangan lelaki yang tidak membersihkan zakar mereka adalah satu tindakan yang berisiko tinggi.
Selain kemungkinan untuk menjadi sebab kencing kotor, ancaman yang lebih bahaya adalah jangkitan faraj atau kelamin.
Hal ini dikeruhkan lagi jika hubungan kelamin tersebut dilakukan dengan lebih daripada satu pasangan dan/atau seks yang bersifat traumatik.
Apa perlu buat untuk elak punca air kencing kotor?
Nasihatkan pasangan anda untuk lebih prihatin ke atas kebersihan kemaluan sendiri bagi mengelak sebab kencing kotor berlaku.
Basuh zakar dengan sabun dan kerap menukar seluar dalam selepas berpeluh atau kotor.
Selain daripada membantu untuk mengelakkan penyebaran jangkitan, ia juga adalah tanda hormat seseorang lelaki itu ke atas tubuh badan pasangan mereka.
Jika anda masih tidak yakin, anda boleh juga menyarankan pasangan lelaki untuk menggunakan perlindungan seperti kondom.
Kondom adalah selaput getah yang dapat mengurangkan risiko penyebaran jangkitan.
Membuang air kecil dan membasuh kemaluan selepas seks mungkin boleh meminimumkan punca air kencing kotor.
Tindakan ini akan menyingkirkan kuman yang telah berada dalam saluran uretra dan juga dapat membersihkan kawasan sekeliling kemaluan.
Konklusinya, punca air kencing kotor itu ada banyak dan perpindahan daripada zakar suami ke faraj isteri melalui hubungan seks adalah salah satu daripadanya.