Tabiat menahan kencing bukan sahaja boleh jadi menyiksakan, malah membahayakan pundi kencing, bahagian badan yang lain sekali gus merisikokan anda untuk mendapat kencing kotor!
Menahan diri daripada membuang air kecil adalah perkara normal yang dilakukan orang ramai, dalam situasi dan masa yang tertentu.
Namun begitu, anda harus melakukannya secara berpada-pada kerana menahan kencing dalam jangka masa lama boleh membawa padah!
Ikuti artikel ini untuk mengetahui risiko jangkitan saluran air kencing dengan lebih lanjut.
Berapa lamakah anda boleh menahan kencing?
Pernahkah anda menunggu begitu lama untuk menggunakan tandas dan merasakan seolah-olah pundi kencing akan meletup?
Mengabaikan isyarat amaran daripada badan dan menahan air kencing terlalu lama boleh menyebabkan kerosakan serius pada pundi kencing dan kesihatan secara keseluruhan.
Pundi kencing manusia yang sihat dapat menahan di antara 400 hingga 500 mililiter air kencing, atau sekitar 2 cawan air, sebelum mencapai kapasiti penuh.
Walaupun pundi kencing yang sihat dapat meregang dan menampung jumlah urin yang lebih besar, namun amat penting untuk anda membuang air kecil secara berkala.
Bahaya menahan kencing
Jika anda sering menahan diri daripada membuang air kecil, risiko untuk mengalami komplikasi kesihatan terutamanya pada saluran kencing akan meningkat.
Berikut adalah beberapa risiko jika anda menahan kencing:
- Sekiranya anda tidak mengosongkan pundi kencing dengan kerap, atau pergi membuang air beberapa hari ia boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing (UTI) atau turut dikenali sebagai kencing kotor
- Sekiranya anda menganggap kekerapan kencing sedemikian sebagai normal, pundi kencing anda akan mula mengalami atrofi. Lama kelamaan, anda mungkin mengalami incontinence (hilang kawalan pundi kencing)
Apabila anda menahan kencing selama 10 jam atau lebih, anda mungkin mengalami urinary retention, yang bermaksud otot di pundi kencing tidak akan dapat berehat.
Dalam kes yang sangat jarang berlaku, menahan diri daripada kencing boleh menyebabkan pundi kencing anda pecah.
Sekiranya anda sering melengah-lengahkan diri untuk ke bilik air, anda cenderung untuk mengalami masalah kencing kotor yang teruk. Malahan, UTI berlaku apabila bakteria wujud di dalam air kencing.
Gejala-gejala berikut menunjukkan masalah jangkitan:
- Sensasi terbakar semasa membuang air kecil
- Kerap membuang air kecil
- Kebocoran air kencing
- Darah di dalam air kencing
Kekerapan buang air dalam satu hari
Kekerapan kencing normal adalah berbeza-beza bagi setiap individu dan ini juga bergantung pada berapa banyak air yang anda minum setiap hari.
Bagi bayi dan kanak-kanak, mereka mempunyai pundi kencing yang lebih kecil, jadi mereka perlu mengosongkan pundi kencing mereka lebih kerap.
Bayi biasanya menghasilkan 6 sehingga 8 lampin basah sehari, tetapi boleh membuang air kecil lebih daripada itu.
Kanak-kanak kecil juga akan kerap membuang air kecil, terutamanya semasa dalam latihan tandas, dan mereka mungkin perlu mengosongkan pundi kencing sebanyak 10 kali atau lebih seharian.
Bagi individu dewasa pula, kekerapan ke bilik air untuk kencing sebanyak 6 sehingga 7 kali sehari adalah dianggap normal.
Bolehkah anda mati akibat perbuatan ini?
Apabila seseorang individu perlu kencing, menahan diri daripada melakukannya boleh mendatangkan beberapa kesan buruk.
Ini termasuklah:
- Peningkatan risiko disfungsi pundi kencing: Menahan air kencing dapat mempengaruhi saraf ‘regangan’ dalam pundi kencing yang berkomunikasi dengan otak, dan otak mungkin tidak lagi dapat mengenali mesej dengan berkesan
- Peningkatan risiko UTI: Menahan kencing akan meningkatkan jumlah bakteria dalam pundi kencing, dan ini akan meningkatkan kemungkinan bagi mendapat kencing kotor
- Kerosakan struktur saluran kencing: Terus menahan diri daripada membuang air boleh menyebabkan komplikasi naik ke buah pinggang, merosakkannya dan pundi kencing
Walaupun hal ini jarang berlaku, pundi kencing seseorang individu juga berpotensi untuk pecah disebabkan oleh tabiat ini!
Peningkatan tekanan pada pundi kencing boleh menyebabkannya pecah jika terdapat kawasan yang lemah pada dinding pundi kencing.
Sekiranya individu tersebut tidak mendapat diagnosis dan rawatan dengan cepat, pundi kencing yang pecah dapat menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.
Ini termasuklah komplikasi sepsis, melibatkan jangkitan teruk dan kegagalan buah pinggang.
Rumusan
Akhir kata, jika anda seorang yang sering menahan diri daripada membuang air kecil, dinasihatkan agar anda menghentikan perbuatan ini demi kesejahteraan kesihatan diri.
Cuba untuk mengosongkan pundi kencing anda bila perlu, tidak kira sesibuk mana atau di mana pun anda berada.
Jangan kerana ingin memudahkan urusan harian, kesihatan diri pula terabai ya!