Penyakit malaria boleh dikesan melalui simptomnya seperti demam, selesema, peluh dan keletihan yang melampau. Sebenarnya, ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan boleh dicegah dengan penghapusan tempat pembiakan serangga ini. Pun begitu, ia akan menelan kos yang sangat tinggi. Jadi, apakah terdapat cara lain yang boleh dilakukan?
Penemuan terbaharu dalam mencari penawar malaria
Dalam badan seekor nyamuk, sebenarnya terdapat ribuan parasit yang boleh menyebabkan malaria. Pun begitu, ketika sedang mengigit dan menyedut darah daripada manusia, ia sebenarnya hanya akan memindahkan sedikit sahaja daripada parasit tersebut.
Menurut saintis dari Johns Hopkins Medicine, mereka telah menemui bahawa parasit tersebut akan terhenti dan tersekat semasa sedang melalui kelenjar air liur serangga ini, yang mungkin boleh dijadikan sebagai sumber utama kajian lanjutan untuk rawatan malaria.
Menurut Deborah Andrew yang merupakan seorang profesor sel biologi di Johns Hopkins University School of Medicine, kelenjar air liur nyamuk ini mungkin boleh dijadikan sebagai pencegah atau penawar penyakit bawaan serangga ini seperti malaria, dan lain-lain.
Parasit malaria sebenarnya sangat bergantung kepada nyamuk Anopheles betina untuk merebak di dalam kitaran hidup kompleks yang bermula apabila serangga ini makan sel parasit semasa menghisap darah haiwan yang telah terjangkiti. Sel-sel ini kemudiannya akan memasuki perutnya lalu bergabung sesama sendiri untuk membentuk telur dan tinggal di dalam badannya sementara menunggu hosnya menghisap darah haiwan lain untuk berpindah kepada hos yang baru.
Dalam masa yang sama, parasit ini akan mula membiak lantas menjadikannya lebih banyak. Apabila hosnya mula menghisap darah haiwan lain, parasit ini juga akan cuba memasuki badan haiwan yang dihisap darahnya melalui kelenjar air liurnya. Pun begitu, para saintis telah lama mengetahui bahawa kebanyakannya tidak dapat keluar daripada badan serangga ini.