backup og meta

KKM Larang Penjualan Produk Acnotin dalam Talian

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 08/07/2020

    KKM Larang Penjualan Produk Acnotin dalam Talian

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang sebarang penjualan ubat terkawal produk Acnotin atau produk-produk yang mengandungi Isotretinoin menerusi dalam talian, tidak kira melalui media sosial atau platform e-dagang.

    Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penjualan ubat terkawal secara dalam talian adalah jelas menyalahi undang-undang, berikutan ubat tersebut hanya boleh diberikan kepada pesakit melalui preskripsi yang sah oleh pengamal perubatan berdaftar, atau pakar.

    Beliau memaklumkan, semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952. Bahan aktif Acnotin iaitu Isotretinoin dikelaskan sebagai Racun Kumpulan B di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952.

    “Bagi pembekalan ubat-ubatan mengandungi racun Kumpulan B, ahli farmasi berlesen hanya boleh membekalkan ubat-ubat tersebut kepada pesakit melalui preskripsi yang sah yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar.

    “Walau bagaimanapun, Isotretinoin mempunyai kesan sampingan teratogenik dan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran. Oleh itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memutuskan bahawa ubat ini hanya boleh dipreskripsi dan digunakan oleh doktor pakar dalam bidang dermatologi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

    Di samping itu, beliau menegaskan bahawa kementerian akan mengenakan tindakan kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berhubung penjualan barangan tersebut.

    KKM juga komited dalam usahanya untuk menangani isu penjualan tersebut, dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi melakukan analisis aktiviti-internet termasuk memantau serta menyiasat mana-mana aktiviti penjualan produk farmaseutikal termasuklah produk Acnotin secara dalam talian.

    Bermula 2017 hingga November 2018, sebanyak 50 laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk Acnotin telah disaring, dipantau dan diambil tindakan di seluruh Malaysia. Selain itu, kementerian juga turut memantau platform e-dagang melibatkan penjualan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar, dicampur racun dan juga kosmetik yang mengandungi racun untuk tujuan jualan di platform-platform ini telah dikenalpasti dan diambil tindakan dalam tempoh tersebut.

    KKM telah mengambil inisiatif mengadakan aktiviti dialog bersama-sama dengan pihak yang berkepentingan termasuklah pengendali platform e-dagang serta menjalankan Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat secara dalam talian, yang bertujuan untuk memberi pendidikan kepada orang ramai tentang bahayanya pembelian ubat melalui cara tersebut.

    “Aktiviti ini melibatkan hebahan mesej kesedaran menerusi aplikasi Whatsapp, membuat posting di dalam akaun Facebook rasmi kementerian dan Program Perkhidmatan Farmasi, mewujudkan laman khas www.pharmacy.gov.my/waspada-belian-ubat-online.html, penulisan berkenaan bahaya pembelian ubat di dalam portal sebenarnya.my dan juga semua media elektronik melalui bantuan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan SKMM,” katanya.

    Kementerian turut menyeru kerjasama dan komitmen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan usaha ini dapat diselesaikan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 08/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan