backup og meta

Pakar Kongsi Rahsia Mudah Untuk Awet Muda, Dapatkan Tidur Yang Lena Setiap Hari!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 16/03/2023

    Pakar Kongsi Rahsia Mudah Untuk Awet Muda, Dapatkan Tidur Yang Lena Setiap Hari!

    Tahukah anda, salah satu rahsia awet muda ialah tidur yang berkualiti? Ramai yang tidak tahu bahawa proses penuaan mempunyai kaitan dengan kualiti tidur kita setiap hari.

    Pasca COVID-19, semakin ramai manusia yang mengalami masalah tidur. Kekurangan tidur bukan sahaja akan mempengaruhi kemampuan kita untuk berfikir, ia juga akan membawa pelbagai lagi masalah kesihatan lain. Malah, ia boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan fizikal dan mental.

    Menurut Perpustakaan Maklumat Ubat & Bioteknologi Kebangsaan, COVID-19 telah menimbulkan kesan sampingan jangka masa panjang dan pendek terhadap masyarakat dunia. Hampir 40% mengalami masalah tidur malam, 31% lagi pula menderita dengan gangguan tidur pasca COVID.

    Tidur juga merupakan rahsia awet muda! Teruskan pembacaan untuk mengetahui kebaikan tidur dan bagaimana ia mempengaruhi kesihatan kita.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tidur Berkualiti, sila dapatkannya di sini.

    AmLife sarankan ‘tidur regeneratif’

    rahsia awet muda

    Berpegang dengan cogan kata Mentaktifkan Semua Kehidupan, AmLife menerajui inisiatif Hari Tidur Sedunia dengan harapan dapat membantu rakyat Malaysia mendapatkan tidur yang lebih lena. Ini merupakan tahun ke-8 AmLife menganjurkan acara ini di negara kita.

    Bersama AmLife, rakan kerjasama selama 3 tahun mereka iaitu Persatuan Penjagaan Tidur Taiwan turut mengambil bahagian dalam acara ini dengan tema ‘Tidur Amat Penting Untuk Kesihatan’. Usaha ini merupakan sebuah inisiatif jalinan serantau meliputi 3 negara iaitu Malaysia, Hong Kong dan Taiwan.

    Pengasas dan Presiden AmLife, Lew Mun Lee berkata, lebih ramai orang perlu tahu akan kepentingan tidur. Gangguan tidur boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik, contohnya diabetes jenis 2, sakit jantung, kegemukan, masalah sistem imun dan kemurungan.

    “Dalam jangka masa panjang, kekurangan tidur boleh menyebabkan penyakit degeneratif. Kajian menunjukkan tidur ialah cara terbaik untuk menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko jangkitan virus.”

    “Tidur dan penuaan mempunyai hubung kait antara satu sama lain. Seperti yang kita tahu, gangguan tidur boleh menjejaskan kesihatan, sistem imun dan fungsi keseluruhan badan, yang secara tidak langsung mempercepatkan penuaan,” katanya.

    AmLife juga membincangkan “Rahsia Awet Muda” menerusi tidur regeneratif. Menurut laporan akhbar, Malaysia akan menjadi sebuah negara warga emas menjelang 2030.

    Ini bermakna dalam masa hanya lapan tahun, jumlah penduduk 60 tahun dan lebih akan mencecah 15.3%, iaitu seorang daripada setiap enam orang akan berusia lebih 60 tahun.

    Baca juga:

    Tidur yang lena melambatkan proses penuaan, rahsia awet muda

    rahsia awet muda

    Beberapa orang pakar tidur telah berkongsi hasil penemuan mereka mengenai tidur bagaimana ia menjadi rahsia awet muda di acara media tersebut.

    Dr. Ariel B. Neikrug, PhD, Pakar Psikologi Kesihatan Klinikal dan Pakar Perubatan Tidur dan juga Penolong Profesor Klinikal Berdaftar, Psikiatri & Tingkah Laku Manusia, Fakulti Perubatan, University of California, Irvine berkongsi fakta tentang pemulihan berkaitan usia & antipenuaan.

    Di samping itu, beliau juga membincangkan isu kesihatan mental yang dialami oleh orang ramai selepas COVID-19.

    “Tidur memainkan peranan sangat penting dalam proses penuaan, kesihatan mental dan kesejahteraan umum kita, terutamanya dalam proses baik pulih badan dan otak.”

    Usahawan Bidang Penjagaan Warga Emas, Pelopor Inovasi dan Doktor Perubatan, Dr. Lim Geng Yan pula berkongsi tentang degenerasi atau kemerosotan sel dan bagaimana tahap imunisasi boleh dipertingkatkan menerusi tidur berkualiti dan terapi sel stem.

    “Walaupun strategi rawatan COVID-19 semasa tidak boleh membantu sel-sel organ yang rosak untuk dihasilkan semula, namun banyak kajian perubatan mendapati bahawa sel stem mesenkima (MSC) mempunyai keupayaan untuk memulihkan organ yang rosak dan MSC berpotensi membalikkan kesan sampingan COVID-19 jangka panjang.”

    Selain tidur, makanan dan senaman juga adalah rahsia awet muda.

    proses penuaan

    Pakar Pemakanan Bertauliah, KS Chan dan doktor geriatrik serta perubatan regeneratif, Dr. Choo Hao Jian, berkongsi hasil penemuan tentang cara mendapatkan tidur yang berkualiti menerusi pemakanan yang sihat.

    “Tidur yang berkualiti boleh dicapai dengan mengamalkan kitaran sirkadian, di mana kita melatih badan kita untuk membiasakan diri dengan rutin yang mengawal kitaran tidur-bangun,” kata Dr. Choo.

    “Satu cara untuk memastikan anda dapat tidur lena adalah dengan menutup lampu apabila kita pulang ke rumah selepas bekerja, dan menutup semua peranti elektronik supaya badan kita secara automatik akan tahu bahawa sudah tiba masanya untuk berehat.”

    “Kita juga perlulah meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, sambil makan lebih banyak daging tanpa lemak. Orang ramai juga harus mengelakkan makanan yang diproses.”

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 16/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan