Masyarakat kita khususnya orang Melayu, amat popular dengan warna kulit sawo matang yang tidak terlalu cerah tetapi bukan pula terlampau gelap. Menariknya, ada banyak keunikan dan kelebihan di sebalik warna kulit sebegini seperti dalam artikel.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apa maksud sawo matang yang sebenar?
Untuk pengetahuan anda semua, perkataan sawo matang itu berasal daripada buah bernama sawo atau ciku yang berwarna kecoklatan apabila sudah masak. Anda sudah dapat lihat kaitannya?
Dalam konteks warna kulit, ia bermaksud individu yang memiliki kulit berwarna coklat di mana ia berada di tengah-tengah tona warna yang cerah dan gelap (brown skin atau mature tan).
Selain faktor genetik, warna kulit yang coklat juga mungkin dipengaruhi oleh aspek tempat tinggal di mana individu itu mendiami sekitar kawasan dekat dengan garisan khatulistiwa dunia.
Disebabkan itu, majoriti individu di Malaysia dan negara di sekitarnya mempunyai warna kulit seakan sama dengan mereka yang tinggal di wilayah beriklim khatulistiwa seperti beberapa buah negara di benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
Alasannya, tempat-tempat dengan iklim ini cuma ada 2 jenis musim cuaca yakni panas atau hujan sepanjang tahun sekali gus memberi kesan secara langsung kepada warna kulit individu itu.
Ini keunikan & kelebihan kulit sawo matang!
Sebelum pergi lebih dalam, anda kena tahu bahawa individu dengan kulit seperti ini tinggi melanin dalam tubuh badan. Melanin ini akan memberikan kebaikan kesihatan seperti yang berikut:
#1. Memiliki tubuh badan yang lebih sihat
Pertama dan paling penting, anda perlu tahu bahawa kandungan melanin yang tinggi bukan sahaja akan memberi warna pada mata, rambut dan kulit malah membuat tubuh badan lebih kuat.
Bagaimana? Melanin itu mampu meningkatkan sistem saraf serta fungsi otak selain menggalakkan penglihatan mata serta pertumbuhan sel tubuh badan. Kesannya, anda akan jadi lebih sihat.
Keunikan kulit sawo matang #2. Melawan radikal bebas
Kedua, individu dengan warna kulit ini tinggi kemampuan untuk melawan radikal bebas yang akan merosakkan sel kulit dan tubuh badan lantas meningkatkan risiko kanser kulit. Ini kerana melanin yang tinggi mampu menghalang sinar UV daripada masuk ke dalam kulit.
Keunikan kulit sawo matang #3. Menolak masalah kulit
Ketiga, mereka dengan warna kulit ini turut mungkin agak jarang mengalami masalah kulit seperti jerawat, komedo, cela, parut, selar matahari serta lain-lain. Ini kerana melanin yang tinggi mampu menjaga kulit daripada anasir buruk termasuk alahan atau jangkitan.
Baca lagi artikel berkaitan:
#4. Mempunyai tulang badan yang susah rapuh
Dalam pada itu, melanin juga boleh membantu kulit serta tubuh badan menyerap vitamin penting seperti vitamin D daripada cahaya matahari yang sangat bagus untuk membentuk kalsium.
Hasilnya, kalsium yang tinggi dalam tubuh badan mampu membuat tulang badan anda lebih kuat. Dalam kesan jangka masa panjang, ia mampu mencegah masalah osteoporosis daripada berlaku.
#5. Awet muda juga kelebihan kulit sawo matang
Terakhir, anda yang berkulit sawo matang ini akan tampak lebih gagah bagi lelaki dan manis untuk wanita berkat daripada kandungan melanin tinggi. Ia juga mungkin hasil kesan antipenuaan yang dibawa oleh melanin sekali gus buat anda lebih awet muda.
Jadi, syukuri warna kulit & sayangi tubuh badan!
Kadangkala, individu dengan kulit sawo matang mungkin tidak begitu gemar lantas akan sedaya-upaya mengubah warna kulit mereka sama ada untuk menjadi lebih cerah atau lebih gelap.
Bagi mencerahkan kulit, individu akan mencuba pelbagai ubatan, rawatan dan prosedur sehingga sanggup berhabis wang serta tenaga untuk melakukan pembedahan skin peeling dan lain-lain.
Untuk menggelapkan kulit pula, mereka turut akan mencuba pelbagai cara termasuk berjemur di tengah panas agar mendapatkan kulit tan yang sebenarnya wujud risiko dan kesan sampingan.
Sebenarnya, anda perlu menukar persepsi diri sendiri di mana kulit berwarna coklat itu cantik lagi menarik pada pandangan mata orang lain. Mengapa anda harus mengubah ciptaan yang membawa banyak keunikan dan kebaikan yang tersendiri?
Konklusinya, tolong syukuri warna kulit dan sayangi tubuh badan. Anda tidak perlu mengubahnya!