backup og meta

Hubungan Intim Bakar Banyak Kalori, Sebab Itu Asyik Lapar Lepas Bersama, Benarkah?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/05/2023

    Hubungan Intim Bakar Banyak Kalori, Sebab Itu Asyik Lapar Lepas Bersama, Benarkah?

    Perasan tak lepas habis sahaja aktiviti di ranjang, pasti perut lapar? Perkara ini bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka yang kerap melakukan hubungan seks.

    Bahkan kajian sains telah menunjukkan hormon seks mempunyai peranan penting yang mengawal atur tabiat makan dan metabolisme badan.

    Situasi perut lapar selepas seks seringkali menimbulkan salah faham dalam kalangan individu bahawa aktiviti di ranjang membakar banyak kalori.

    Maka, jika anda kerap melakukan hubungan seks, anda perlu ambil lebih banyak kalori.

    Malangnya, aturan biologi di dunia realiti tidak sebegitu. 

    Walaupun aktiviti seksual membakar kalori, ia tidaklah begitu banyak untuk menjustifikasikan pengambilan kalori tambahan.

    Walau bagaimanapun persoalan berkenaan dengan mengapa kita cenderung untuk berasa lapar selepas seks sering bermain di fikiran.

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Jumlah kalori yang dibakar ketika seks berdasarkan kajian sains

    perut lapar

    Aktiviti seksual terdiri daripada beberapa aspek fizikal yang memperuntukkan jumlah tenaga berbeza.

    Ciuman, urutan erotik, seks penetrasi dan seks oral, kesemuanya menggunakan sejumlah tenaga yang berlainan dan ia boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

    Pada tahun 2013, kajian yang dibiayai oleh Universiti Quebec melibatkan 21 pasangan heteroseksual telah menyenaraikan anggaran jumlah kalori yang digunakan ketika seks penetrasi.

    Jumlah kalori yang dibakar berbeza mengikut posisi, rentak dan durasi hubungan seksual. 

    Melalui kajian tersebut, dapatan menunjukkan secara puratanya, wanita berupaya untuk bakar 69 kalori dalam masa 25 minit. 

    Lelaki pula boleh bakar 100 kalori dalam tempoh masa yang sama.

    Penggunaan kalori semasa hubungan seks meningkat apabila durasi aktiviti tersebut meningkat.

    Jika tahap kelaparan seseorang itu bergantung kepada pembakaran kalori, maka, semakin lama aktiviti seks berlangsung, semakin meningkatlah kebarangkalian untuk anda berasa lapar.

    Faktor lain seperti mengerang kesedapan juga boleh membakar di antara 18 hingga 30 kalori.

    Posisi cowgirl (wanita duduk di atas, lelaki baring di bawah) merupakan satu bentuk aktiviti yang boleh membakar banyak kalori dalam tempoh masa 30 minit. 

    Ia juga merupakan satu bentuk senaman yang boleh menguatkan otot paha dan punggung.

    Kajian ini menunjukkan terdapat pelbagai jenis pemboleh ubah yang boleh menyebabkan anda membakar lebih banyak kalori semasa melakukan hubungan seks.

    Namun, adakah ia merupakan faktor utama yang boleh buat anda lapar selepas seks? 

    Hormon seks punca anda berasa lapar selepas selesai bersenggama

    perut lapar

    Ketika hubungan seks sedang berlangsung, hormon seks wanita (estrogen) dan lelaki (testosteron) meningkat kesan daripada aturan semula jadi sistem biologi badan.

    Keadaan ini bukan sahaja memberikan kebaikan dari segi mood untuk bersenggama malah ia boleh memberikan tenaga dan keseronokan.

    Lazimnya, paras hormon seks akan terus meningkat sehingga ia mencapai satu tahap jumlahnya kekal dan tidak akan bertambah (plateau).

    Apabila kedua pasangan mengalami orgasme, paras hormon tersebut akan menurun kepada bacaan normal.

    Jika ingin dibandingkan berkaitan dengan magnitud kenaikan hormon seks tersebut, lelaki mengalami peningkatan testosteron yang lebih tinggi berbanding peningkatan estrogen pada wanita.

    Apabila tamat aktiviti seks, paras hormon testosteron yang sedang menurun itulah yang menjadi punca kepada rasa lapar dan ingin mengambil kalori tambahan.

    Bagaimana pula dengan wanita? Berbeza dengan lelaki, hormon estrogen tidak meningkatkan rasa lapar, malah ia menghalang pengaktifan reseptor lapar di otak.

    Semakin tinggi hormon estrogen, semakin kuranglah rasa lapar wanita terbabit.

    Walau bagaimanapun seusai aktiviti seks, penurunan pada paras estrogen menyebabkan reseptor lapar di otak mula aktif kembali.

    Ini menyebabkan wanita berasa lapar selepas melakukan hubungan seks.

    Anda mungkin berminat:

    Sistem saraf turut main peranan sebabkan rasa lapar selepas hubungan seks

    perut lapar

    Sistem saraf boleh dibahagikan kepada dua peranan berbeza:

    1. Sistem saraf simpatetik
    2. Sistem saraf parasimpatetik

    Sistem saraf simpatetik melibatkan proses fisiologi yang menggunakan konsep “lawan atau lari”.

    Semasa kita sedang melakukan hubungan seks bersama pasangan, sistem ini diaktifkan.

    Kita mula mengalami peningkatan pada kadar degupan jantung, aktiviti liang peluh dan kadar pernafasan.

    Sistem ini direka khas bagi menyesuaikan persekitaran dalaman terhadap aktiviti yang memerlukan jumlah tenaga yang banyak.

    Setelah seseorang itu mengalami orgasme, sistem saraf parasimpatetik akan mengambil alih peranan fisiologi badan.

    Sistem ini direka khas bagi mengawal atur proses fisiologi menggunakan konsep “rehat dan cerna”.

    Oleh sebab itulah kita mudah untuk berasa lapar selepas orgasme dan bagi sesetengah individu, mudah untuk tertidur selepas bersenggama.

    Konklusi

    Perut lapar tidak selalunya bermakna anda perlu makan untuk terus berfungsi dengan baik.

    Kadangkala, terdapat penerangan biologi di sebalik fenomena tersebut.

    Jika anda berasa lapar selepas melakukan hubungan seks, ia merupakan situasi normal yang dialami oleh majoriti manusia.

    Walau bagaimanapun, anda perlu peka dan berdisiplin terhadap kadar pengambilan kalori agar kesihatan anda berada pada tahap optimum.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan