Selain alat penyaman udara, masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidur menghadap kipas angin bagi mendapatkan udara nyaman lagi dingin.
Mungkin ia sudah menjadi satu tabiat normal kerana tidak ramai yang tahu bahawa perbuatan tersebut mungkin boleh membawa kesan tidak bagus.
Antara mitos yang popular adalah tidur menghadap kipas angin boleh membawa masalah perut kembung angin. Benarkah? Jom teruskan membaca artikel!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Apa punca sebenar perut kembung angin?
Kondisi ini adalah antara keadaan kesihatan yang biasa dialami oleh individu ekoran terlalu banyak angin yang terperangkap di dalam perut.
Ia akan menyebabkan kekembungan, kesakitan atau ketidakselesaan. Ini gara-gara angin yang terperangkap di dalam perut dan tidak mampu untuk keluar.
Antara punca yang menyebabkan angin terperangkap di dalam perut termasuklah:
- Diet pemakanan: Pengambilan makanan dan minuman yang tinggi gula, garam, gas dan rendah serat boleh jadi punca utama
- Tabiat pemakanan: Tabiat seperti makan dengan laju, makan lebih banyak dan melengahkan waktu makan juga adalah puncanya
- Hormon: Khusus bagi kaum wanita, perubahan hormon ketika sedang dalam proses datang haid juga boleh jadi punca kondisi ini
- Sistem penghadaman: Isu berkaitan seperti sembelit, intoleransi gangguan dan alahan pemakanan boleh membawa masalah ini
- Penyakit: Beberapa jenis penyakit seperti asid refluks, radang usus, pedih ulu hati dan stres juga boleh menyumbang pada kondisi kesihatan ini
Dalam pada itu, perut kembung juga turut dikaitkan dengan tabiat tidur menghadap kipas. Pun begitu, ia masih menjadi tanda tanya sehingga kini.
Kipas angin bukan salah satu puncanya?
Menurut kepercayaan orang lama, perbuatan tidur menghadap kipas mungkin tidak bagus untuk tubuh badan anda terutamanya terhadap organ perut.
Ini dibuktikan lagi dengan kepercayaan mereka untuk tidak menidurkan bayi di hadapan alat ini kerana khuatir boleh menyebabkan perut masuk angin.
Sebenarnya, ia mungkin merupakan satu mitos yang belum terbukti. Ini kerana punca bayi perut kembung angin adalah disebabkan salah cara penyusuan.
Jadi, ia bukan salah satu punca perut masuk angin bagi individu tidak kira usia.
Pun begitu, kepercayaan orang lama ini mungkin tepat kerana memang wujud beberapa mudarat lain buat tubuh badan jika tidur menghadap kipas angin.
Mengapa ia tidak bagus untuk kesihatan?
Perbuatan tidur menghadap kipas itu tidak bagus kerana dikhuatiri boleh menyebabkan:
#1. Alahan
Kipas yang terpasang berupaya menyerap dan memutar pencetus alahan seperti debu, habuk, debunga atau bulu haiwan terhadap individu tertentu.
Malahan, bilah kipas itu sendiri mungkin akan mengumpul kotoran jika tidak dicuci dengan betul dan kerap, lantas membawa kepada masalah alahan.
#2. Penyumbatan mukus
Sirkulasi udara daripada kipas boleh menyebabkan mulut, hidung dan tekak kering. Ia lantas membawa kepada masalah penghasilan dan penyumbatan mukus.
Ia sekali gus akan mengakibatkan hidung berair, hidung tersumbat, sakit tekak serta tidur berdengkur yang boleh dicegah dengan minum lebih banyak air.
#3. Kekeringan kulit & mata
Udara daripada kipas yang terpasang boleh menyebabkan kulit dan mata menjadi kering kerana ia telah mengeringkan cairan yang sepatutnya ada pada organ ini.
Disebabkan itu, anda mungkin perlu melembapkannya dengan losen, untuk disapukan pada kulit atau menggunakan ubat titis untuk mata bagi mengelakkan kekeringan ini terjadi.
#4. Kesakitan otot & badan
Pengaliran udara pada tubuh badan secara menerus boleh mengakibatkan otot mengalami tekanan lantas lebih berisiko untuk kejang selepas bangun tidur.
Kesannya, anda akan mengalami kesakitan otot dan badan yang mungkin tidak begitu teruk dan boleh dicegah dengan menghala kipas angin ke arah lain.
Jadi, tidak perlu pasang kipas angin ketika tidur?
Hakikatnya, tidur dengan pengaliran udara bukan satu kemahuan. Namun, ia satu keperluan ekoran cuaca di negara kita terutamanya semasa musim panas.
Jadi, tidak salah untuk terus melakukannya atau beralih ke alternatif lain. Contohnya seperti memasang pendingin hawa atau penyaman udara dalam usaha mendapatkan tidur yang nyaman.
Pun begitu, anda mungkin perlu memastikan bahawa alat pengudaraan seperti kipas dinding dan lain-lain ini bebas daripada kotoran untuk mengelakkan pencetus alahan.
Anda juga mungkin boleh mengarahkan ia bukan tepat pada tubuh badan. Atau, anda boleh menggunakan tahap putaran yang rendah untuk tubuh badan lebih sihat.
[embed-health-tool-bmr]