Anda sering senak perut sebelah kiri, namun tidak tahu apakah puncanya? Sakit perut boleh menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan. Malah, masalah kejang perut sebelah kiri juga boleh menimbulkan panik, lebih-lebih lagi jika ia berlarutan dalam satu tempoh masa yang lama.
Mari dapatkan jawapan kepada segala persoalan anda dalam artikel kami di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Definisi
Mengapa saya senak perut sebelah kiri?
Jika anda sering rasa senak perut sebelah kiri, kemungkinan besar anda sedang mengalami masalah perut kembung. Perut kembung berlaku apabila perut anda terlalu penuh dan meregang.
Pada masa yang sama, pesakit juga akan mengalami simptom lain seperti kekejangan, kerap sendawa, cirit-birit, sembelit dan selalu kentut.
Masalah senak perut atau perut kembung adalah sesuatu yang normal. Semua orang akan mengalaminya dalam hidup disebabkan diet yang tidak sihat atau makan terlalu banyak.
Malah, pengumpulan gas yang terlalu banyak atau masalah sembelit juga boleh menyebabkan anda rasa sakit di kawasan kiri abdomen.
Walau bagaimanapun, senak perut sebelah kiri bawah juga boleh menandakan penyakit yang lebih serius seperti batu karang atau endometriosis. Oleh sebab itu, jika anda runsing mengenai kondisi anda, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Punca
Punca senak perut sebelah kiri
Jika kesakitan yang anda alami berpunca daripada perut kembung, besar kemungkinan dalangnya ialah gaya pemakanan anda. Kadangkala, pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan keseimbangan bakteria dalam perut terganggu dan mengakibatkan penghasilan gas.
Bukan itu sahaja, pengambilan makanan yang masin atau kaya dengan karbohidrat juga boleh membuatkan anda rasa kembung perut. Angin yang ‘ditelan’ ketika minum air gas boleh menyebabkan perut anda kembung tanpa sedar.
Namun, ada banyak lagi punca yang boleh menyebabkan perut anda sakit:
- Sembelit
- Penyakit seliak
- Intoleransi makanan, terutamanya intoleransi terhadap gluten atau susu
- Perubahan hormon ketika datang haid atau sewaktu menopaus
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu
- Penambahan berat badan
- Stres yang berlebihan
Diagnosis
Bagaimanakah ia didiagnosis?
Selalunya, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal. Doktor juga akan bertanya beberapa soalan terutamanya mengenai simptom yang anda alami. Beritahu doktor jika anda kerap mengalami masalah senak perut.
Masalah kembung perut merupakan sesuatu yang normal. Ia juga tidak akan mendatangkan masalah jika berlaku sekali-sekala. Namun, masalah perut kembung yang kerap perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin.
Untuk menentukan punca sebenar kesakitan yang anda alami, doktor mungkin akan melakukan beberapa jenis ujian. Antaranya ialah imbasan X-ray atau CT untuk melihat kawasan abdomen anda secara lebih dekat.
Rawatan
Rawatan untuk masalah kejang perut sebelah kiri
Ada banyak ubat-ubatan yang boleh dibeli di farmasi untuk merawat masalah senak perut sebelah kiri bawah. Sebelum beli, dapatkan khidmat nasihat daripada ahli farmasi yang bertugas.
Pengambilan probiotik juga dapat melegakan kesakitan. Anda juga boleh cuba beberapa jenis teh herba seperti teh kamomil, jintan manis atau halia untuk mengurangkan simptom yang dialami.
Tindakan
Bila saya patut berjumpa doktor?
Jarang sekali masalah perut kembung menandakan penyakit yang serius. Jika masalah ini tidak pulih dalam masa beberapa hari, anda perlu jumpa doktor segera.
Selain itu, pastikan anda dapatkan pemeriksaan secepat mungkin jika:
- Anda alami cirit birit
- Senak perut sebelah kiri yang tidak pulih dan abnormal
- Ada darah dalam tinja
- Warna tinja bertukar
- Berat badan turun tanpa sebab
- Tidak lalu makan atau cepat kenyang
Jika anda mengalami masalah di atas, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ia mungkin tanda penyakit lain yang masih belum dikesan.
Cara hilangkan sakit perut sebelah kiri
Cegah masalah senak perut sebelah kiri bawah
Ada banyak langkah yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan masalah senak perut sebelah kiri.
Cuba lakukan:
- Senaman ringan untuk mengurangkan rasa senak perut sebelah kiri bawah. Ia juga boleh memastikan sistem pencernaan anda berjalan lancar
- Mengunyah dengan mulut tertutup untuk mengelakkan ‘tertelan’ angin
- Minum banyak air
- Tambah makanan yang kaya dengan serat dalam diet seharian
- Makan lebih kerap, namun dengan saiz hidangan yang kecil
- Urut perut dari kanan ke kiri untuk keluarkan gas yang terperangkap dalam perut
Jangan sesekali:
- Mengambil makanan atau minuman berperisa kola, bergas atau mengandungi alkohol atau kafein
- Elakkan pengambilan sayur-sayuran yang boleh menyebabkan gas seperti kubis atau kekacang
- Jangan makan terlalu banyak sebelum tidur
- Kurangkan pengambilan makanan yang diproses, bergula, pedas atau berlemak
Untuk memastikan sistem pencernaan anda berfungsi dengan baik, amalkan pemakanan yang sihat dan tambah serat dalam diet harian. Minum banyak air dan ambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor juga dapat mengurangkan masalah kejang perut sebelah kiri.
Kesimpulan
[embed-health-tool-bmr]