backup og meta

Susah Nak Sendawa? Lakukan 6 Perkara Ini Untuk Paksa Angin Keluar!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/01/2023

    Susah Nak Sendawa? Lakukan 6 Perkara Ini Untuk Paksa Angin Keluar!

    Sendawa merupakan cara yang terbaik untuk melegakan masalah perut kembung. Ia sangat membantu dalam memberikan kelegaan pantas. Walau bagaimanapun, ada orang yang susah nak sendawa walaupun perut rasa sangat tidak selesa.

    Sendawa adalah satu cara badan mengeluarkan udara yang terperangkap di dalam saluran pencernaan kita.

    Apabila kita makan terlalu cepat atau bercakap ketika makan, secara tidak sedar kita akan turut sama menelan udara di sekeliling kita. 

    Udara ini tidak akan sampai ke perut. Namun ia akan berkumpul di dalam esofagus.

    Ada juga orang yang akan menelan udara ketika mereka rasa berdebar atau gelisah. Perbuatan ini menjadi satu tabiat buat mereka. 

    Oleh sebab itu, ada orang yang akan sendawa lebih banyak berbanding orang lain.

    Mengapa rasa susah nak sendawa?

    Seksanya kalau kita susah untuk sendawa! Perut pun akan rasa penuh dan tidak selesa.

    Malah, kesukaran untuk sendawa juga akan menyebabkan masalah lain seperti sakit perut dan kembung perut.

    Selalunya, masalah susah sendawa terjadi kerana sfinkter di bahagian atas esofagus hilang keupayaannya untuk melepaskan angin.

    Otot sfinkter kita akan relaks ketika menelan. Pada waktu lain, otot ini akan mengecut. Untuk sendawa, otot sfinkter ini perlulah relaks seketika supaya udara boleh keluar.

    Jika anda mengalami kesukaran untuk sendawa, ada beberapa tip mudah yang anda boleh amalkan. Antaranya ialah:

    1. Minum air dengan banyak

    susah nak sendawa

    Jika anda susah nak sendawa, cuba minum air berkarbonat dengan banyak dan pantas. Jika tidak mahu air gas, air biasa pun sudah mencukupi.

    Selain itu, minum air menggunakan straw juga dapat membuatkan kita sendawa dengan lebih kerap.

    Walau bagaimanapun, minum sahaja tidak cukup. Anda perlu minum dengan cepat dan banyak jika ingin memaksa diri untuk sendawa.

    2. Makan buah jika susah nak sendawa

    Ada beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh mengatasi masalah susah untuk sendawa. Antara makanan yang mungkin dapat membantu anda sendawa adalah:

    1. Buah epal.
    2. Buah pear.
    3. Buah pic.
    4. Lobak merah.
    5. Roti bijirin penuh.
    6. Chewing gum.
    7. Gula-gula yang keras.

    3. Gerakkan badan anda

    Paksa udara untuk keluar dengan cara bersenam. Cuba berjalan, berjoging atau lakukan senaman ringan untuk memudahkan kita sendawa.

    Selain itu, cuba letakkan tekanan pada kawasan perut. Sebagai contoh, lakukan senaman bangun duduk beberapa kali.

    Atau, anda boleh cuba berbaring di atas perut dan rapatkan lutut pada dada. Regangkan lengan sejauh mungkin. Senaman ini juga mungkin dapat memudahkan proses sendawa.

    4. Ubah cara bernafas

    susah nak sendawa

    Cuba bernafas dengan badan yang tegak. Hela nafas dengan mulut sehingga anda rasa udara terperangkap pada belakang tekak.

    Kemudian, lepaskan udara tersebut perlahan-lahan. Kadangkala, amalan ini boleh menyebabkan kita sendawa.

    5. Susah nak sendawa? Telan lebih banyak angin

    Sendawa berlaku kerana anda menelan terlalu banyak angin. 

    Jadi, jika anda susah untuk sendawa, cuba tarik nafas sedalam mungkin dan tahan seketika. Kemudian, hembuskan nafas dan ulang semula proses tadi.

    Jika anda ingin sendawa dengan lebih cepat, cuba minum air terlebih dahulu.

    6. Ambil antasid

    Jika semua cara di atas tidak berkesan dan anda masih lagi susah sendawa, mungkin sudah sampai masanya untuk anda mengambil antasid.

    Antasid mengandungi kalsium karbonat yang dapat membantu anda sendawa.

    Bahaya sendawa terlalu banyak

    susah nak sendawa

    Sebenarnya, terlalu banyak sendawa juga ada keburukannya! 

    Individu yang kerap sendawa mungkin mempunyai penyakit seperti GERD atau sedang mengalami jangkitan bakteria Heliobacter pylori yang boleh menyebabkan pembentukan ulser perut.

    Jika anda mempunyai masalah sendawa, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkannya:

    1. Makan dan minum dengan perlahan. Jangan makan terlalu cepat untuk elakkan udara masuk terlalu banyak ke dalam perut.
    2. Elakkan minuman berkarbonat. Minuman ini akan membuatkan sendawa menjadi semakin teruk.
    3. Tinggalkan gula-gula serta chewing gum. Kedua-dua manisan ini akan membuatkan anda sendawa tanpa henti.
    4. Jangan merokok. Ketika anda merokok, anda turut sama menelan udara.
    5. Bersenam dengan kerap. Cuba berjalan sedikit selepas makan. Pasti sendawa anda akan berkurangan.
    6. Rawat masalah GERD yang dialami. Jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan makan ubat mengikut arahan doktor.

    Kesimpulan

    Sendawa merupakan satu masalah yang akan selesai dengan sendirinya dalam satu tempoh masa tertentu. 

    Benar, susah nak sendawa boleh membuatkan perut kita rasa tidak selesa.

    Namun, jika simptom ini berulang dan berlaku dengan kerap sehingga ia mengganggu kehidupan seharian, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, lebih-lebih lagi jiKa ia berlaku dengan simptom lain seperti:

    1. Cirit-birit.
    2. Sakit perut.
    3. Darah di dalam tinja.
    4. Tinja berubah warna.
    5. Berat badan menurun dengan drastik.
    6. Sakit dada.
    7. Selalu loya dan muntah-muntah.

    Ini merupakan tanda masalah susah nak sendawa pada sistem pencernaan anda. Dengan rawatan yang betul, masalah ini boleh melegakan sebarang ketidakselesaan yang anda alami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan