Sindrom Gilbert adalah keadaan hati tidak berbahaya yang terdapat bilirubin berlebih dalam darah. Bilirubin adalah pigmen berwarna kuning-coklat yang berasal dari pecahan sel darah merah. Jika tahap bilirubin adalah tinggi, ia boleh menyebabkan penyakit kuning (jaundis) – mata dan kulit akan menguning.
Gilbert, atau biasanya disebut “Jeel-bear”, dinamakan sempena doktor Perancis yang pertama kali menggambarkan sindrom ini pada tahun 1901. Merupakan satu keadaan yang akan berlaku seumur hidup dan tidak memerlukan rawatan, sindrom ini juga dikenali sebagai hyperbilirubinaemia yang tidak terkawal.
Bagaimana ia terjadi?
Gen tidak normal yang diwarisi dari ibu bapa menjadi punca sindrom Gilbert ini. Individu dengan sindrom ini kekurangan enzim yang dirujuk sebagai UGT (Uridine 5’-diphospho-glucuronosyltransferase) yang bertanggungjawab untuk memproses bilirubin dalam hati.
Secara normal, gen akan mengawal enzim yang membantu memecahkan bilirubin dalam hati. Walau bagaimanapun, apabila anda memiliki gen yang tidak efektif (tidak normal), menyebabkan kandungan bilirubin dalam darah menjadi berlebihan kerana tubuh anda tidak dapat menghasilkan enzim yang mencukupi.
Bagaimana tubuh normal memproses bilirubin?
Bilirubin adalah pigmen kekuningan yang terhasil apabila tubuh anda memecahkan sel darah merah lama. Bilirubin akan bergerak melalui aliran darah ke hati, dan enzim akan memecahkan pigmen dan menghilangkannya dari aliran darah.
Bilirubin akan melalui hati dan terus ke usus dengan hempedu. Ia kemudiannya akan disingkirkan dalam najis. Hanya sejumlah kecil bilirubin masih tertinggal dalam darah.
Bagaimana gen tidak normal diwarisi?
Gen tidak normal yang menyebabkan sindrom Gilbert ini adalah perkara biasa. Ramai individu memiliki satu gen ini dalam tubuh. Dalam kebanyakan kes, individu yang memiliki 2 gen ini dalam tubuh akan menghidapi sindrom ini.
Apakah simptomnya?
Kebiasaannya, simptom yang paling mudah dikenal pasti adalah apabila kulit dan mata putih berubah menjadi kekuningan akibat dari peningkatan bilirubin dalam darah. Peningkatan bilirubin pada individu dengan sindrom Gilbert ini boleh berlaku apabila terjadi situasi seperti:
- Menghidapi selsema.
- Berpuasa atau makan makanan berkalori rendah.
- Dehidrasi.
- Haid.
- Tekanan.
- Senaman atau aktiviti berat.
- Kurang tidur.
- Melangkau waktu malam.
- Minum alkohol.
- Cuaca sejuk.
Rawatan
Sindrom yang lebih banyak menghidapi individu lelaki berbanding wanita ini tidak mempunyai rawatan spesifik merawat sindrom ini. Tahap bilirubin dalam darah akan naik dan turun dari masa ke masa. Ada masanya anda mungkin mengalami jaundis dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah jangka panjang.
Anda boleh lakukan beberapa perkara untuk mengelakkan peningkatan paras bilirubin, seperti:
- Jangan melangkau waktu makan.
- Banyakkan minum air.
- Praktikkan teknik atau kaedah yang dapat mengawal tekanan.
- Pastikan mendapat tidur malam yang berkualiti.
- Hadkan pengambilan minuman alkohol.
- Pastikan doktor mengetahui anda mempunyai sindrom Gilbert. Ini kerana sindrom ini turut mempengaruhi tubuh anda memproses ubat-ubatan tertentu.
Berdepan dengan peristiwa atau sesuatu keadaan yang menyebabkan tekanan, adalah antara punca yang boleh mencetuskan peningkatan kadar bilirubin yang tinggi untuk sindrom ini, yang boleh mengakibatkan penyakit kuning. Amalkan cara kehidupan yang dapat mengawal dan mengurangkan tekanan untuk membantu mengekalkan paras bilirubin dalam tubuh.
[embed-health-tool-bmr]