
Sakit Tumit Kaki Bila Pijak Terutama Lepas Bangun Tidur? Kena Pakai Stoking Khas!
Pernahkah anda mengalami sakit tumit kaki kiri dan kanan apabila memijak sesuatu permukaan terutama selepas bangun tidur? Ia petanda anda mungkin menghidapi kondisi plantar fasciitis!

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Tulang/Otot, anda boleh klik di sini.
Apa yang dimaksudkan dengan plantar fasciitis?
Merupakan sejenis kondisi yang juga disebut sebagai sindrom bonjolan tulang (heel spur syndrome), ia akan berlaku pada kawasan tumit anda tidak kira sama ada di sebelah kiri ataupun kanan!
Ia adalah keadaan di mana terdapat bonjolan tulang pada tumit, iaitu tepat pada bahagian bawah tulang tersebut.
Kesannya, ia akan mengakibatkan kesakitan yang teramat terutama ketika individu memijak dan menggerakkan kaki.
Disebabkan oleh rasa sakit itu, penderita penyakit ini tentu sahaja akan mengalami masalah untuk berjalan, berlari, bergerak mahupun berdiri sekali gus menyebabkan kesulitan dalam kehidupan.
Dikatakan bahawa masalah ini lebih kerap dialami oleh wanita. Mengapa? Ia mungkin didalangi oleh faktor di mana mereka menggunakan kasut tumit tinggi atau stiletto ketika berada di luar rumah.
Apa yang lebih membimbangkan, kondisi ini sering kali menyerang pada tahap paling teruk pada waktu pagi selepas individu bangun daripada tidur lalu merencatkan mood dan aktiviti seharian.
Apa punca sakit tumit kaki kiri dan kanan terjadi?
Persoalannya, apa punca dan faktor risiko yang menjadi dalang kepada kondisi sakit tumit kiri ataupun kanan ini?
Untuk pengetahuan anda semua, terdapat sejenis tisu khas di tumit yang berfungsi untuk menahan hentakan kaki dan menyokong tekanan daripada berat badan individu ketika berdiri dan bergerak.
Apabila berlaku masalah bonjolan tulang pada kawasan ini, ia akan memicu plantar fasciitis. Selain itu, kesakitan juga akan datang akibat kerengsaan, keradangan atau kekoyakan pada ligamen tumit.
Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan kesakitan pada tumit kiri dan kanan anda seperti berikut:
- Berat badan yang berlebihan atau obesiti
- Penggunaan kasut dan sarung kaki tidak sesuai
- Kulit pada tumit kaki yang tercedera
- Sendi dalam tumit kaki yang terseliuh
- Mempunyai struktur kaki yang abnormal
- Masalah kesihatan lain seperti sindrom terowong tarsal atau gout

Masalah ini boleh menjadi lebih teruk jika individu terlalu kerap berdiri atau bergerak gara-gara faktor pekerjaan yang memaksa. Dalam usaha untuk meminimumkan risiko, anda perlu buat sesuatu segera!
Rawatan sakit tumit kaki kiri dan kanan!
Jangan sesekali cepat mengalah dengan menyangka bahawa masalah ini adalah perkara normal seiring perjalanan usia yang semakin meningkat itu. Tidak, anda masih berpeluang untuk merawatnya!
Anda masih boleh mencuba untuk merawat kondisi sakit tumit kaki kiri dan kanan dengan cara-cara di bawah:
#1. Ubatan klinikal
Pertama dan paling penting, doktor akan memberikan anda preskripsi ubat tahan sakit dan anti radang bukan steroid seperti paracetamol atau ibuprofen untuk mengurangkan rasa sakit pada tumit itu.
#2. Suntikan streroid
Sekiranya ia tidak membuahkan hasil, doktor mungkin bakal mencadangkan pengambilan suntikan steroid tepat pada tisu di tumit yang mengalami kerengsaan angkara keradangan atau bonjolan tulang.
#3. Rawatan fisioterapi & elektroterapi
Bagi menyokong rawatan berbentuk ubatan atau suntikan tadi, anda juga boleh mendapatkan rawatan fisioterapi dan elektroterapi bersama pakar juruterapi yang bertauliah bagi mengurangkan kesakitan pada tumit.

#4. Penggunaan stoking khas
Sebagai langkah tambahan pula, anda boleh menggunakan sarung kaki khas dengan tapak yang diperbuat daripada bahan silikon bagi mengurangkan tekanan dalam hentakan sekali gus mengelakkan rasa sakit.
Dalam pada itu, penggunaan kasut yang tidak ideal seperti kasut tumit tinggi atau bertapak dan bersaiz tidak sesuai adalah pantang larang terbesar jika individu mengalami masalah sakit tumit kaki kiri atau kanan.
#5. Pembedahan minor tumit
Terakhir, masalah sakit tumit kiri dan kanan mungkin terpaksa diselesaikan dengan prosedur pembedahan. Ia akan dilakukan bagi memperbaiki tisu dan tulang abnormal pada tumit kaki anda.
