backup og meta

Radikulopati Servikal

Definisi

Apa itu Radikulopati Servikal?

Radikulopati Servikal adalah penyakit yang merosakkan atau mengganggu fungsi saraf yang mengakibatkan salah satu akar saraf berhampiran Vertebra Servikal dimampatkan. Bergantung kepada lokasi akar yang rosak, kerosakan kepada akar saraf di kawasan servikal boleh menyebabkan kesakitan dan kehilangan rangsangan di sepanjang laluan saraf ke lengan dan tangan.

Apakah kebarangkalian Radikulopati Servikal?

Keadaan ini biasanya menjejaskan kedua-dua lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun, wanita kelihatan lebih mudah mengalami Radikulopati Servikal, terutama mereka yang berusia lebih 50 tahun.

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Radikulopati Servikal?

Tanda-tanda dan gejala utama Radikulopati Servikal adalah rasa sakit yang merebak ke lengan, leher, dada, belakang atas, atau bahu. Seseorang yang mempunyai Radikulopati mungkin mempunyai kelemahan otot, rasa kebas atau semut-semut pada jari dan tangan. Gejala lain mungkin termasuk kekurangan koordinasi, terutamanya di tangan.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai apa-apa persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Radikulopati Servikal?

Akibat terlalu banyak tekanan dari bahan yang terkeluar daripada cakera tulang belakang yang  pecah, perubahan degeneratif pada tulang, artritis atau kecederaan lain yang dapat memberi tekanan pada akar saraf, kesemuanya ini boleh membuat kerosakan kepada saraf. Dalam kalangan masyarakat yang berumur pertengahan, perubahan degeneratif yang biasa berlaku  dalam cakera boleh menyebabkan tekanan pada akar saraf. Bagi orang yang lebih muda, selalunya Radikulopati Servikal berpunca daripada cakera tulang belakang yang pecah akibat trauma. Bahan cakera ini kemudian memampatkan atau meradangkan akar saraf, dan menyebabkan kesakitan.

Beberapa keadaan yang boleh menyebabkan tisu memampatkan / menghimpit saraf, termasuk:

  • Kecederaan.
  • Postur/posisi badan yang tidak betul.
  • Reumatoid atau artritis pada pergelangan tangan.
  • Tekanan daripada kerja yang berulang.
  • Hobi atau aktiviti sukan.
  • Obesiti.

Tekanan ini menyebabkan keradangan saraf dan mengganggu fungsi saraf. Sekiranya saraf dihimpit hanya untuk masa yang singkat, biasanya tidak ada kerosakan kekal. Setelah tekanan itu lega, fungsi saraf akan kembali normal. Walau bagaimanapun, jika tekanan berterusan, kesakitan kronik dan kerosakan saraf yang berkekalan boleh berlaku.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Radikulopati Servikal?

Terdapat banyak faktor risiko untuk Radikulopati Servikal, seperti:

Postur / posisi badan

Postur / posis badan yang lemah menambah tekanan ke tulang belakang dan saraf anda.

Jantina

Wanita lebih cenderung untuk terkena sindrom Carpal Tunnel, mungkin kerana mempunyai Carpal Tunnel yang kecil.

Artritis Reumatoid

Keradangan yang disebabkan oleh Artritis Reumatoid boleh memampatkan / menghimpit saraf, terutama pada sendi anda.

Diabetes

Orang yang menghidap kencing manis berisiko tinggi untuk sarafnya termampat / terhimpit.

Terlebih guna

Pekerjaan atau hobi yang memerlukan kepada penggunaan tangan, pergelangan tangan atau gerakan bahu secara berulang seperti kerja pemasangan talian, meningkatkan kemungkinan saraf untuk terhimpit / termampat.

Obesiti

Berat yang berlebihan boleh menambah tekanan kepada saraf.

Kehamilan

Air dan berat badan yang bertambah sewaktu kehamilan boleh membengkakkan tisu di sekitar laluan saraf, memampatkan saraf anda.

Keturunan

Sesetengah orang memiliki faktor genetik yang mendedahkan mereka kepada keadaan yang mengakibat sarafnya yang terhimpit.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Radikulopati Servikal didiagnosis?

Sekiranya doktor mengesyaki anda  mengalami keadaan ini, pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian juga akan dilakukan oleh doktor.  Ujian ini mungkin termasuk:

Kajian konduksi saraf

Ujian ini mengukur impuls saraf elektrik dan fungsian dalam otot dan saraf anda. Doktor pakar akan meletakkan elektrod pada kulit anda. Kajian ini akan mengukur impuls elektrik di dalam saraf anda apabila aliran elektrik yang kecil melalui saraf.

Elektromiografi (EMG)

Semasa EMG, doktor akan memasukkan jarum elektrod melalui kulit anda ke dalam mana-mana otot. Ujian ini menilai aktiviti elektrik otot anda ketika mereka mengecut dan berehat.

Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)

Ujian ini menggunakan medan magnet dan gelombang radio yang kuat untuk menghasilkan gambar/ imej badan anda yang terperinci dari pelbagai potongan.

Bagaimana pesakit Radikulopati Servikal dirawat?

Radikulopati Servikal boleh dirawat dengan gabungan ubat tahan sakit seperti kortikosteroid, (ubat anti-radang yang kuat), atau ubat tahan sakit jenis bukan steroid seperti ibuprofen atau naproxen serta terapi fizikal.

Steroid boleh diberikan sama ada secara oral atau disuntik melalui epidural iaitu ruang di atas dura (membran / selaput yang mengelilingi korda spina).

Terapi fizikal mungkin disyorkan oleh doktor anda. Antaranya seperti tarikan servikal secara lembut dan mobilisasi, latihan, dan kaedah-kaedah lain untuk mengurangkan kesakitan. Jika mampatan / himpatan pada saraf begitu ketara sehingga mengakibatkan kelemahan pada motor (pergerakan otot), pembedahan mungkin diperlukan untuk melegakan tekanan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Radikulopati Servikal?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda mengatasi Radikulopati Servikal:

  • Mengekalkan postur / posisi badan yang baik.
  • Memasukkan latihan kekuatan dan fleksibiliti ke dalam program latihan biasa anda.
  • Hadkan aktiviti yang berulang-ulang dan kerap berehat apabila melakukan aktiviti-aktiviti ini.
  • Mengekalkan berat badan yang sihat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Cervical radiculopathy.

http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pinched-nerve/basics/definition/con-20029601  . Accessed February 14, 2017.

Cervical radiculopathy.

http://www.webmd.com/pain-management/pain-management-cervical-radiculopathy  . Accessed February 14, 2017.

Cervical radiculopathy.

http://www.spine-health.com/conditions/neck-pain/what-cervical-radiculopathy . Accessed February 14, 2017.

Versi Terbaru

13/09/2019

Ditulis oleh Muhammad Zofir Wajdi

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Kerap Diserang Sakit Belakang Selepas Bangun Tidur? Pakar Kongsi Petua Atasinya!

7 Nutrien Ini Perlu Ada Untuk Membina Tulang Yang Kuat, Ini Cara Untuk Anda Dapatkannya!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Zofir Wajdi · Disemak pada 13/09/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan