backup og meta

Gangguan sendi temporomandibular

Definisi

Apa itu Gangguan sendi temporomandibular?

Sendi temporomandibular adalah engsel yang menghubungkan rahang pada tulang temporal tengkorak anda, yang terletak di hadapan setiap telinga. Ia membolehkan anda menggerakkan rahang ke atas dan bawah serta ke kiri dan kanan, jadi anda boleh bercakap, menguyah, dan menguap. Masalah pada rahang dan otot pada wajah dikenali sebagai gangguan sendi temporomandibular (TMD).

Apakah kebarangkalian Gangguan sendi temporomandibular?

TMD sering mengakibatkan sakit dan ketidakselesaan yang teruk. Ia boleh jadi untuk sementara sahaja atau sehingga bertahun-tahun lamanya. Ia mungkin melibatkan sebelah atau kedua-dua belah wajah anda. Wanita lebih cenderung mengalaminya berbanding lelaki, dan kebanyakannya berumur antara 20 dan 40 tahun.

Walau bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berjumpa doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Gangguan sendi temporomandibular?

Tanda-tanda dan simptom gangguan TMD termasuklah:

  • Sakit atau rasa lembut pada kawasan sendi rahang, tengkuk dan bahu anda, dan dalam atau sekitar telinga apabila anda kunyah, cakap, atau membuka mulut dengan luas anda.
  • Mengalami masalah apabila anda cuba membuka mulut anda dengan luas.
  • Rahang menjadi “terperangkap” atau “terkunci” dalam posisi mulut terbuka atau tertutup.
  • Bunyi klik, pop, atau gerit dalam sendi rahang apabila anda membuka atau menutup mulut atau mengunyah.
  • Rasa penat pada wajah anda.
  • Mempunyai masalah untuk mengunyah atau gigitan rasa tidak selesa secara tiba-tiba – seolah-olah gigi atas dan bawah tidak selari bersama dengan baik.
  • Bengkak pada kedua belah muka anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh menghalang TMD daripada menjadi lebih teruk, oleh itu jumpa doktor secepat yang mungkin bagi mengelakkan keadaan serius ini.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang tidak di senaraikan di atas atau ada sebarang soalan, rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Gangguan sendi temporomandibular?

Sendi temporomandibular menggabungkan fungsi engsel dan pergerakan meluncur. Bahagian tulang yang berhubung di dalam sendi, di tutup dengan tulang rawan dan dipisahkan dengan disk kecil yang menyerap kejutan. Ini bagi memastikan pergerakan yang lancar.

Gangguan TMD yang menyakitkan boleh berlaku jika:

  • Disk terhakis atau tergerak keluar daripada laluannya.
  • Tulang rawan sendi rosak disebabkan oleh artritis.
  • Sendi rosak disebabkan oleh pukulan atau impak lain.

Bagi kebanyakan kes, punca sebenar gangguan TMD tidak diketahui.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Gangguan sendi temporomandibular?

Terdapat beberapa faktor risiko bagi sindrom TMD:

  • Postur yang tidak elok pada tengkuk dan bahagian belakang atas otot boleh mengakibatkan tengkuk tegang dan fungsi otot rahang menjadi tidak normal.
  • Stress akan meningkatkan ketegangan otot dan rahang mengetap.
  • Wanita berumur 18-44 tahun berisiko tinggi.
  • Pesakit yang mengalami artritis inflamatori kronik yang lain mempunyai risiko tinggi.
  • Individu dengan kecederaan rahang atau mempunyai gigi yang tidak tersusun rapi mempunyai risiko tinggi.
  • Individu yang mewarisi genetik yang cenderung untuk rasa sakit dan stress, lebih mudah untuk mendapat sindrom ini,

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Gangguan sendi temporomandibular didiagnosis?

Banyak keadaan lain yang menyebabkan simptom yang sama seperti gigi reput, masalah sinus, artritis, atau penyakit gusi. Bagi mengenal pasti apa punca sebenar anda, doktor gigi akan bertanya mengenai sejarah kesihatan dan menjalankan pemeriksaan fizikal.

Doktor gigi akan melakukan X-ray penuh pada wajah agar dia dapat melihat rahang, sendi temporomandibular, dan gigi anda bagi menolak kemungkinan masalah lain. Doktor juga memerlukan ujian lain, seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) atau tomografi komputer (CT). MRI dapat menunjukkan sama ada disk TMD berada di posisi yang betul ketika rahang anda bergerak. Pengimbas CT dapat menunjukkan perincian tulang sendi.

Bagaimana pesakit Gangguan sendi temporomandibular dirawat?

Bagi sesetengah kes, simptom gangguan TMD boleh hilang dengan sendirinya tanpa rawatan. Jika simptom anda masih ada, doktor akan mencadangkan pelbagai pilihan rawatan, selalunya lebih daripada satu pilihan akan dilakukan pada masa yang sama.

Ubat- ubatan

Bersama rawatan tanpa pembedahan yang lain, pilihan ini boleh melegakan kesakitan yang disebabkan oleh gangguan TMD:

  • Pelega kesakitan dan anti-radang
  • Antimurung trisiklik. Ubat ini, seperti amitriptyline, awalnya digunakan untuk merawat kemurungan, tetapi ubat ini kadang kala digunakan sebagai pelega kesakitan.
  • Penenang otot. Ubat jenis ini kadang kala digunakan untuk beberapa hari atau minggu bagi melegakan kesakitan yang disebabkan oleh gangguan TMD.

Terapi

Terapi tanpa ubat bagi gangguan TMD termasuk:

  • Splin oral atau pelindung mulut (peralatan oklusal). Selalunya, individu yang mengalami sakit rahang akan dapat manfaat daripada pemakaian alat yang lembut atau kukuh di mana alat tersebut dimasukkan pada bahagian atas gigi pesakit, tetapi bagaimana alat berfungsi ini masih tidak difahami.
  • Terapi fizikal. Rawatan mungkin termasuk ultrasound, haba lembap dan ais – bersama dengan senaman untuk meregang dan menguatkan otot rahang.
  • Pendidikan dan kaunseling boleh membantu anda untuk memahami faktor dan tabiat yang boleh menambah kesakitan anda, supaya anda dapat menjauhinya.

Pembedahan atau prosedur lain

Jika kaedah lain tidak membantu, doktor anda mungkin akan mensyorkan prosedur-prosedur seperti:

  • Artrosentesis: Artrosentesis adalah prosedur invasif secara minimal di mana jarum kecil dimasukkan ke dalam sendi supaya cecair dapat di salurkan melalui sendi untuk membuang kotoran dan produk sampingan yang menyebabkan bengkak.
  • Suntikan:

    Bagi sesetengah individu, suntikan kortikosteroid ke dalam sendi boleh membantu.

  • Artroskopi TMD:

    Bagi sesetengah kes, pembedahan artroskopi berkesan untuk merawat pelbagai jenis gangguan TMD sama seperti pembedahan buka sendi.

  • Condilotomi di ubahsuai:

    Condilotomi di ubahsuai merawat TMD secara tidak langsung, dengan melakukan pembedahan pada

    mandible, tapi bukan pada sendi itu sendiri. Ini membantu merawat kesakitan dan rahang terkunci jika pernah mengalaminya.

  • Pembedahan buka sendi: Jika sakit rahang anda tidak sembuh melalui rawatan konservatif dan disebabkan oleh masalah struktur dalam sendi, doktor atau doktor gigi anda akan mensyorkan pembedahan buka sendi untuk membaiki atau mengganti sendi.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Gangguan sendi temporomandibular?

Berikut adalah perkara yang boleh anda cuba sendiri bagi melegakan simptom TMD. Doktor akan mensyorkan anda untuk mencuba beberapa kaedah rawatan sampingan ini;

  • Ambil ubat tanpa preskripsi. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), seperti naproxen atau ibuprofen, boleh melegakan sakit otot dan bengkak.
  • Guna haba lembap atau pek sejuk. Letak pek ais pada sisi wajah dan kawasan pelipis anda selama 10 minit. Lakukan beberapa regangan ringkas pada rahang (jika doktor gigi dan pakar terapi fizikal anda membenarkan). Setelah selesai, letak tuala suam atau kain basah pada sisi wajah anda selama 5 minit. Lakukan rutin ini beberapa kali sehari.
  • Makan makanan lembut. Tambah yogut, kentang lecek, keju kotej, sup, telur hancur, ikan, buah dan sayur yang dimasak. Ambil makanan dengan potongan kecil supaya anda kurang mengunyah. Elakkan makanan keras dan rangup (seperti pretzel dan lobak merah mentah), makanan liat (seperti karamel dan tafi), dan makanan yang tebal dan besar di mana anda perlu membuka mulut dengan luas.
  • Elakkan pergerakan rahang yang melampau.
  • Jangan menongkat dagu anda dengan tangan.
  • Pastikan gigi anda sedikit jarak.

Semua perkara ini dapat menjadikan simptom anda lebih baik.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Temporomandibular joint disorders.  http://www.webmd.com/oral-health/guide/temporomandibular-disorders-tmd#4 . Accessed 2 Mar, 2017.

Temporomandibular joint disorders. http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tmj/diagnosis-treatment/treatment/txc-20209408    . Accessed 2 Mar, 2017.

Temporomandibular joint disorders. http://www.tmj.org/Page/52/33. Accessed 2 Mar, 2017.

Versi Terbaru

14/08/2023

Ditulis oleh Fariha Zakaria

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Kerap Diserang Sakit Belakang Selepas Bangun Tidur? Pakar Kongsi Petua Atasinya!

Untuk Ibu-Ibu Yang Selalu Alami ‘Demam Urat’, Buat 6 Petua Ini Untuk Legakannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fariha Zakaria · Disemak pada 14/08/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan