Rasa Berdebar Ketika Bangun Tidur? Ini Mungkin Sebab Diet Anda!

    Rasa Berdebar Ketika Bangun Tidur? Ini Mungkin Sebab Diet Anda!

    Tidak dinafikan, jantung berdegup kencang sejurus bangun tidur merupakan satu pengalaman yang sangat menakutkan.

    Bangun pada tengah malam dengan jantung yang berdebar mungkin akan membuatkan kita rasa risau. Namun, selalunya kondisi ini bukanlah tanda penyakit yang serius.

    Jantung yang berdegup kencang dan laju mungkin berlaku disebabkan masalah palpitasi jantung atau aritmia.

    Walaupun kondisi ini agak membimbangkan, ia selalunya berkait rapat dengan faktor lain seperti kegelisahan dan gaya makan.

    Bukan itu sahaja, seseorang itu mungkin berdebar selepas bangun tidur disebabkan penyakit tertentu seperti diabetes, masalah tidur atau anemia.

    Tetapi, ada banyak lagi faktor lain yang boleh menyebabkan masalah ini ketika bangun tidur. Mari ikuti kupasan kami di dalam artikel di bawah.

    Mengapa jantung berdegup kencang selepas bangun tidur?

    Kadangkala, gaya hidup yang tidak sihat dan penyakit tertentu boleh meningkatkan degupan jantung dan menyebabkan palpitasi.

    Selain itu, anda juga mungkin mengalami masalah ini disebabkan:

    1. Jantung berdegup kencang kerana kegelisahan

    jantung berdegup kencang

    Adakah anda tertekan di tempat kerja? Atau runsing dengan masalah keluarga hingga tidak boleh tidur malam?

    Menurut American Family Physician, 31% penyebab palpitasi adalah disebabkan masalah mental seperti stres, kegelisahan ataupun masalah peribadi dan konflik dalaman.

    Untuk pengetahuan anda, hormon stres seperti kortisol akan dirembeskan ketika kita rasa gelisah. Hormon ini juga akan membuatkan kita risau lalu menyebabkan jantung berdegup pantas.

    Selain itu, masalah kegelisahan atau depresi boleh membuatkan kita berdebar sejurus bangun tidur.

    Jika anda berada dalam keadaan yang sangat tertekan, simptom ini akan menjadi semakin teruk dan kerap.

    Malah, kondisi ini juga boleh mendatangkan masalah yang lebih serius dan boleh mengganggu kehidupan seharian.

    Individu yang menghidap masalah kegelisahan dan depresi juga akan mengalami simptom lain seperti:

    1. Kesukaran untuk tidur.
    2. Rasa risau yang berpanjangan.
    3. Sukar untuk berehat.
    4. Sering sesak nafas.
    5. Sukar untuk bernafas atau nafas yang pendek.

    2. Gaya pemakanan

    Diet juga mempunyai impak tersendiri terhadap degupan jantung kita.

    Malah, ada beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan kita bangun tidur dengan jantung yang berdebar.

    Sebagai contoh, pengambilan makanan yang manis sebelum tidur boleh menyebabkan jantung berdegup pantas sejurus bangun pagi.

    Semua gula yang diambil pada malam sebelumnya akan diserap masuk ke dalam darah. Akibatnya, kita akan bangun pagi dengan kadar gula dalam darah yang tinggi.

    Kandungan gula yang berlebihan ini juga akan menyebabkan badan merembeskan hormon stres yang turut menyumbang kepada semua simptom yang anda alami.

    Selain gula, kafein juga mempunyai efek yang sama. Pengambilan kopi, teh atau air berkarbonat yang terlalu banyak boleh membuatkan jantung berdegup dengan kencang sebelum dan juga selepas tidur.

    3. Mimpi ngeri punca jantung berdegup laju

    jantung berdegup kencang

    Tidak dinafikan, mimpi ngeri boleh membuatkan jantung kita berdegup dengan kencang.

    Masalah ini bukanlah sesuatu yang serius jika ia jarang berlaku. Malah, ia juga merupakan satu pengalaman biasa yang dialami oleh semua orang tidak kira peringkat umur.

    Walaupun mimpi ngeri merupakan sesuatu yang biasa, namun mimpi ngeri yang terlalu kerap merupakan satu masalah kesihatan.

    Jika masalah ini kerap berlaku, ia boleh menyebabkan kita rasa tertekan dan susah tidur malam. Pada waktu siang pula, kita akan rasa mengantuk dan sukar untuk fokus ketika bekerja.

    Mimpi ngeri boleh menyebabkan individu tersebut rasa takut untuk tidur. Malah, kita juga mungkin akan takut untuk tidur dan bangun pula dengan jantung berdegup kencang.

    Jika anda mengalami masalah ini, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    4. Apnea tidur juga punca jantung berdegup kencang

    Apnea tidur merupakan satu kondisi yang mengganggu pernafasan seseorang ketika tidur.

    Individu yang menghidap apnea tidur sukar untuk tidur malam kerana pernafasan yang tersekat. Malah, mereka juga sering terbangun kerana terkejut.

    Selain itu, antara simptom lain apnea tidur yang perlu diperhatikan ialah:

    1. Dengkuran yang sangat kuat.
    2. Bangun tidur secara tiba-tiba dengan nafas yang tercungap-cungap.
    3. Mulut kering.
    4. Rasa tidak cukup tidur pada keesokan hari.

    Masalah apnea tidur memerlukan rawatan dan intervensi daripada pakar. Jika tidak, pesakit akan rasa lemah, tidak sihat dan mungkin tertekan kerana tidak cukup tidur.

    5. Diabetes

    jantung berdegup kencang

    Siapa sangka kencing manis boleh menyebabkan jantung berdegup laju?

    Pesakit kencing manis akan mengalami penurunan kadar gula dalam darah yang boleh menyebabkan jantung berdegup kencang.

    Kadar gula yang rendah juga boleh menyebabkan keletihan, kelaparan dan juga rasa mual.

    Bagi pesakit diabetes, masalah palpitasi boleh diatasi dengan cara menjaga pemakanan dan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat.

    Elakkan masalah jantung berdegup kencang

    Jika anda bangun pagi dengan jantung yang berdegup laju, ikuti langkah ini untuk mengembalikan degupan jantung anda kepada paras yang normal.

    1. Jangan panik. Ia hanya akan membuatkan masalah palpitasi anda menjadi semakin teruk.
    2. Tarik nafas dan cuba untuk relaks sehinggalah degupan jantung anda kembali normal.
    3. Basuh muka dengan air sejuk untuk meredakan palpitasi. Sensasi yang dirasai ketika muka dibasahi dengan air sejuk amat menenangkan dan boleh membantu meredakan rasa gelisah.

    Walau bagaimanapun, langkah terbaik untuk mengelakkan masalah palpitasi adalah dengan mengubah gaya hidup dan menjaga diet.

    Jika semua langkah yang diambil tidak berkesan, mungkin sudah sampai masanya untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dan pendapat daripada doktor.

    Doktor boleh memastikan simptom yang anda alami bukanlah disebabkan penyakit yang tersembunyi.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Sumber Rujukan
    1. Heart palpitations and ectopic beats. https://www.nhs.uk/conditions/heart-palpitations/. Accessed December 30, 2021.
    2. Heart Palpitations at Night: Symptoms, Causes and Treatment. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21874-heart-palpitations-at-night. Accessed December 30, 2021.
    3. Heart palpitations – Symptoms and causes. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-palpitations/symptoms-causes/syc-20373196. Accessed December 30, 2021.
    4. Nightmare disorder – Symptoms and causes. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/nightmare-disorder/symptoms-causes/syc-20353515. Accessed December 30, 2021.
    5. Sleep apnea – Symptoms and causes. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/sleep-apnea/symptoms-causes/syc-20377631. Accessed December 30, 2021.
    6. Skipping a beat — the surprise of heart palpitations. https://www.health.harvard.edu/heart-disease/skipping-a-beat–the-surprise-of-palpitations. Accessed December 30, 2021.
    Gambar penulisbadge
    Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin Disemak pada 20/06/2022
    Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan