Perentak jantung (pacemaker) merupakan alat elektronik yang membantu jantung berdetak dengan normal. Antara keperluan penggunaan perentak jantung adalah heart block dan bradikardia. Pendetak jantung memantau dan merawat rima jantung agar anda dapat menjalani kehidupan yang normal.
Apa itu Bradikardia?
Bradikardia adalah denyutan jantung yang perlahan, biasanya kurang daripada 60 denyutan seminit. Oleh kerana ruang jantung anda tidak mengalami kontraksi dengan kekerapan yang mencukupi untuk membekalkan jumlah darah yang betul, tubuh anda tidak mendapat oksigen dan nutrien yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik. Akibatnya, anda mungkin berasa letih atau pening, mempunyai sesak nafas, atau pengsan.
Bagaimana Perentak Jantung (Pacemaker) Berfungsi
Alat perentak jantung mengandungi komputer dengan bateri kecil, yang biasanya dipasang dalam dada anda, dan satu atau dua wayar, yang disambungkan kepada alat tersebut. Perentak jantung terus memantau rima jantung anda dan menyampaikan tenaga elektrik (seperti yang diprogramkan oleh doktor anda) untuk mempercepatkan jantung anda jika ia berdegup terlalu perlahan.
Perentak jantung anda juga menyimpan maklumat mengenai jantung anda. Ini membolehkan doktor anda menilai terapi yang ditetapkan untuk rima jantung anda dan mengubah tetapan perentak jantung jika perlu.
Bateri Perentak Jantung (Pacemaker)
Seperti mana-mana bateri, bateri perentak jantung anda akan kehabisan. Disebabkan bateri tersebut terkandung dalam perentak jantung secara kekal, ia tidak boleh digantikan apabila tenaganya habis. Jadi jika bateri anda habis, seluruh alat perentak jantung anda perlu diganti. Hayat bateri ini bergantung pada tetapan program doktor anda dan berapa banyak terapi yang anda terima.
Perentak jantung anda akan selalu memeriksa baterinya sendiri. Di samping itu, doktor anda akan menyemak untuk melihat berapa banyak tenaga bateri anda yang tersisa pada setiap lawatan susulan.
Risiko Implantasi Perentak Jantung
Walaupun komplikasi jarang berlaku, penting untuk mengetahui bahawa terdapat risiko yang berkaitan dengan implantasi sebarang alat. Anda harus berbincang dengan doktor tentang risiko-risiko ini, termasuk yang berikut.
Beberapa risiko yang dihadapi semasa prosedur implan termasuk, tetapi tidak terhad kepada, yang berikut:
- Pendarahan
- Pembentukan darah beku
- Kerosakan kepada struktur berdekatan (tendon, otot, saraf)
- Tertusuk pada paru-paru atau vena
- Kerosakan jantung (penembusan atau kerosakan tisu)
- Aritmia berbahaya
- Serangan sakit jantung
- Strok
- Kematian
Beberapa risiko yang dihadapi selepas sistem perentak jantung dimasukkan termasuklah:
- Anda mungkin mengalami jangkitan
- Anda mungkin mengalami hakisan kulit berhampiran peranti anda
- Perentak jantung boleh bergerak daripada tapak implan asal
- Elektrod mungkin bergerak keluar dari jantung
- Elektrod mungkin menyebabkan kesan kerengsaan atau merosakkan pada tisu sekitarnya, termasuk tisu jantung dan saraf
- Anda mungkin menghadapi kesukaran menghadapi alat peranti yang diimplan
- Alat ini mungkin dihalang daripada berdetak kerana gangguan elektromagnet
- Anda mungkin menerima terapi perentak apabila tidak diperlukan
- Alat ini mungkin tidak dapat mengesan atau merawat rima jantung anda dengan sewajarnya
- Kerosakan alat boleh mengganggu terapi
Pastikan anda berbincang dengan doktor anda supaya anda memahami sepenuhnya semua risiko dan faedah yang berkaitan dengan implantasi sistem perentak jantung. Doktor anda akan bekerjasama dengan anda untuk menentukan jenis perentak jantung yang terbaik untuk anda.
[embed-health-tool-heart-rate]