Rimas sebab selalu bersin banyak kali? Inginkan petua hilangkan bersin yang berkesan? Jangan risau, anda berada di tempat yang betul!
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai cara hilangkan bersin yang mungkin dapat membantu anda. Jom baca!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.
Mengapa saya bersin banyak kali?
Banyak benda yang boleh menyebabkan iritasi pada kawasan hidung. Sebagai contoh, partikel kecil seperti habuk, debu, bulu haiwan dan juga debunga yang terampai di udara boleh menyebabkan anda bersin.
Tetapi, mengapa kita bersin?
Sebenarnya, bersin merupakan satu cara untuk badan membuang atau mengeluarkan alergen, virus dan juga bahan yang boleh menyebabkan keradangan daripada badan.
Sama seperti bernafas atau mengelipkan mata, bersin merupakan satu refleks separa automatik. Ini bermaksud, kita tidak boleh mengawal atau menghentikannya.
Namun, mengapa ada antara kita yang bersin banyak kali?
Adakah sebarang petua kurangkan bersin yang boleh kita praktikkan? Jom, kami akan jawab persoalan anda dalam perenggan seterusnya.
Apakah penyebab bersin?
- Bahan yang menyebabkan keradangan seperti asap, minyak wangi dan pencemaran udara.
- Alahan yang disebabkan bulu haiwan atau debunga.
- Jangkitan seperti demam, COVID-19 atau selesema.
- Udara kering yang menyebabkan lapisan mukus dalam hidung mengalami iritasi.
- Lada seperti cili atau lada sulah yang boleh menimbulkan kerengsaan pada lapisan dalam hidung.
5 petua hilangkan bersin
Apa yang boleh kita lakukan jika bersin banyak kali? Rasa rimas bukan? Selalunya, kita akan bersin bukan sekali, tetapi 2-3 kali. Tetapi, mengapa?
Jika anda bersin banyak kali, besar kemungkinan bahan yang menyebabkan keradangan itu masih lagi tersangkut dalam saluran pernafasan.
Jadi, kita perlu bersin beberapa kali untuk mengeluarkannya daripada badan.
Jika anda terlalu kerap bersin, anda mungkin mengalami inflamasi yang berpanjangan atau alahan. Jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut ya!
1. Petua hilangkan bersin menggunakan bawang putih
Bagi penghidap resdung, petua ini mungkin dapat membantu. Mudah sahaja, anda cuma perlukan beberapa ulas bawang putih dan juga air. Cara-caranya:
- Potong dan hancurkan 3-4 ulas bawang putih. Kemudian, rebus bawang putih tadi dalam kuali yang mengandungi 2 cawan air.
- Panaskan sehingga naik wap.
- Ambil tuala dan tutup muka anda. Kemudian, hela wap bawang putih yang terhasil daripada rebusan tadi.
Bawang putih mengandungi bahan-bahan yang boleh meredakan keradangan. Selepas menghidu wap bawang putih, penghidap resdung selalunya akan rasa lega dan boleh bernafas seperti biasa.
Baca juga:
- Aachuummm… Aachuummm… Kenapa Kita Bersin?
- Selalu Bersin & Hidung Berair, Cuba 4 Petua Pantas Ini Untuk Legakannya!
2. Tolak lidah ke lelangit
Kedengaran tidak munasabah bukan? Namun, ini merupakan satu petua hilangkan bersin yang berkesan sekiranya anda ingin kurangkannya dengan serta-merta.
Apabila anda rasa ingin bersin, tolak lidah merapat ke lelangit atau gigi. Dalam masa 5 hingga 10 saat, keinginan untuk bersin pasti akan hilang. Tidak percaya? Cubalah!
3. Gunakan halia antara petua hilangkan bersin
Selain bawang putih, halia juga berkesan sebagai petua hilangkan bersin. Anda boleh minum teh biasa dengan hirisan halia untuk kurangkan bersin.
Minuman hangat juga dapat meredakan bersin dan mengurangkan hingus. Selain itu, ada banyak juga minuman herba di luar sana yang dapat mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan.
Namun, elakkan pengambilan minuman yang terlalu hangat atau terlalu dingin. Minuman jenis ini hanya akan menyebabkan bersin menjadi semakin teruk.
Cara buat teh halia untuk kurangkan bersin:
- Potong 2 inci halia mentah. Gunakan teh kegemaran anda
- Ketuk halia dan masukkan ke dalam teh. Rebus teh selama 10 minit
- Tambah 1 atau 2 sudu madu sebagai pemanis
- Tambahkan hirisan lemon atau perahan limau jika anda suka
4. Tutup hidung
Ingin hentikan bersin serta-merta? Cuba tutup hidung sebelum bersin.
Anda juga boleh picit hidung di kawasan atas batang hidung, dekat dengan kening. Kedua-dua cara ini mungkin dapat membantu mengurangkan bersin.
5. Elakkan cahaya terang
Percaya atau tidak, ada antara kita yang mudah bersin jika terdedah kepada cahaya terang, contohnya cahaya matahari!
Kondisi ini juga dikenali sebagai refleks photic sneeze. Sehingga hari ini, pakar masih belum pasti apakah yang menyebabkan kondisi ini. Namun, refleks bukanlah sesuatu yang jarang berlaku, ia mempengaruhi hampir 18 hingga 35% populasi di dunia.
Jadi, jika anda mudah bersin selepas terdedah kepada cahaya terang, cuba berteduh sebentar.