backup og meta

Sering Alami Resdung Hingga Rasa Tak Selesa? Ketahui Punca Resdung Anda Di Sini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 11/08/2022

    Sering Alami Resdung Hingga Rasa Tak Selesa? Ketahui Punca Resdung Anda Di Sini!

    Selalu bersin, hidung berair atau alami kegatalan pada bahagian mulut, mata dan kulit? Jika jawapan anda adalah ya, anda mungkin sedang mengalami alahan rhinitis atau penyakit resdung. Tetapi, apakah punca resdung yang anda alami?

    Untuk pengetahuan anda, alergen seperti habuk dan debu merupakan bahan yang tidak mencetuskan sebarang bahaya kepada manusia yang normal.

    Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai alergi rhinitis, badan anda menganggap alergen tersebut sebagai sesuatu yang berbahaya.

    Oleh sebab itu, badan akan mula merembeskan hormon yang dikenali dengan nama histamin.

    punca resdung

    Histamin akan menyebabkan lapisan mukosa pada kawasan hidung, mata dan tekak mengalami inflamasi dan gatal-gatal ketika ia berusaha untuk menyingkirkan allergen tersebut.

    Sebab itulah anda akan mengalami simptom lazim resdung seperti hidung tersumbat dan kerap bersin.

    Sukar untuk pesakit alahan rhinitis mengelakkan reaksi alergi, lebih-lebih lagi jika ia berpunca daripada debunga, habuk dan haiwan peliharaan.

    Namun, dengan mengetahui punca resdung yang anda alami, anda boleh lakukan beberapa langkah untuk mencegah reaksi alergi daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

    Jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang Alahan, sila klik di sini.

    Punca alahan rhinitis atau resdung yang lazim

    Selalunya, alahan rhinitis berlaku apabila pesakit terhidu partikel alergen secara tidak sengaja.

    Sebagai contoh, alergen yang terampai di udara seperti debunga, spora, sel kulit haiwan dan habuk boleh menyebabkan anda mengalami resdung.

    Antara punca resdung yang lazim adalah:

    1. Hama debu di rumah

    punca resdung

    Hama merupakan sejenis serangga kecil yang tinggal di bahagian tilam, karpet, sofa, dan bantal. Haiwan ini selalunya makan sel-sel kulit mati manusia yang tertinggal pada perabot-perabot tersebut.

    Namun, resdung bukanlah berpunca daripada serangga itu sendiri. Sebaliknya, reaksi alergi berlaku disebabkan sejenis bahan kimia yang wujud di dalam tinja mereka.

    Cara yang terbaik untuk menghapuskan hama di rumah adalah dengan membersihkan persekitaran rumah sekerap mungkin.

    2. Debunga dan spora

    Debunga dan spora merupakan partikel kecil yang dihasilkan oleh pokok dan rumput. Ia boleh menyebabkan alergi rhinitis, lebih-lebih lagi ketika musim pendebungaan.

    Resdung juga boleh berlaku akibat spora yang dihasilkan oleh kulat dan fungi yang tumbuh di kawasan rumah yang lembap.

    3. Haiwan peliharaan punca resdung

    Tidak dinafikan, ramai orang mengalami alahan terhadap haiwan seperti kucing dan anjing. 

    Namun, mungkin ramai yang tidak tahu, reaksi alergi yang berlaku selalunya bukan berpunca daripada bulu haiwan tersebut, tetapi daripada cebisan kulit mati serta tinja mereka.

    Tetapi, bukan kucing dan anjing sahaja yang menjadi punca resdung. Binatang lain seperti kuda, arnab, tikus mondok dan lembu juga boleh menyebabkan pesakit alergi mengalami tindak balas yang sama.

    4. Alergen di tempat kerja

    punca resdung

    Ada orang yang mengalami resdung atau alahan rhinitis di tempat kerja. Sebagai contoh, alahan tersebut boleh berpunca daripada habuk kayu, debu ataupun getah.

    Kesimpulan

    Hingga hari ini, pakar masih lagi tidak pasti apakah yang menyebabkan sensitiviti terhadap alergen. Malah, jika anda mempunyai sejarah alahan di dalam kalangan keluarga, risiko untuk anda alami alahan yang sama juga lebih tinggi.

    Salah satu faktor yang memainkan peranan yang penting ialah tempat tinggal pesakit. 

    Kajian mendapati, jika penghidap alergi tinggal di rumah yang kotor dan dipenuhi hama, pesakit mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami alergi apabila dewasa.

    Sama jugalah jika mereka tinggal sebumbung dengan individu yang merokok. 

    Pendek kata, jika ingin mengurangkan masalah alahan, pesakit perlulah mencari cara untuk melakukan pembersihan berkala untuk menghapuskan debu dan hama di rumah.

    Jangan tunggu hingga simptom alahan menjadi teruk sebelum mendapatkan rawatan yang bersesuaian. 

    Berjumpalah dengan doktor secepat mungkin supaya anda boleh mendapatkan kelegaan daripada ketidakselesaan yang berlaku disebabkan resdung.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 11/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan