Pneumonia boleh menjadi satu keadaan yang serius bagi sebahagian orang khususnya bayi, kanak-kanak, warga emas berumur 65 tahun ke atas, penghidap penyakit kronik dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah. Golongan berisiko tinggi ini terdedah kepada beberapa risiko komplikasi meskipun telah menerima rawatan sewajarnya.
Komplikasi pneumonia
Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah:
Bakteria dalam darah (bacteremia)
Bakteria yang menyebabkan jangkitan pada paru-paru boleh masuk ke dalam darah dan merebak ke organ-organ lain dalam badan serta berpotensi menyebabkan kegagalan organ.
Kesukaran untuk bernafas
Jika pneumonia sangat teruk dan pesakit menghidap penyakit kronik, pesakit mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas. Kadangkala, pesakit tersebut perlu ditahan di hospital dan menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) untuk membantu paru-paru sembuh.
Paru-paru berair (pleural efussion)
Pneumonia boleh menyebabkan cecair terkumpul di dalam ruang nipis antara lapisan yang melitupi paru-paru dan rongga dada. Ruang tersebut disebut sebagai pleura. Keadaan ini membuatkan paru-paru gagal mengembang dan mengempis dengan baik. Jika cecair tersebut dijangkiti kuman, tiub khas mungkin diletakkan di dada untuk mengeluarkan cecair tersebut.
Paru-paru bernanah (lung abscess)
Nanah terbentuk di dalam rongga paru-paru. Kebiasaannya, antibiotik digunakan sebagai rawatan. Kadangkala, pembedahan mungkin menjadi pilihan atau membuang nanah tersebut menggunakan jarum atau tiub.
Bagaimana pneumonia dirawat?
Rawatan bertujuan menghapuskan jangkitan, mengawal simptom, dan mengelakkan berlaku komplikasi. Mereka yang mengalami community-acquired pneumonia (CAP) kebiasaannya boleh dirawat di rumah dengan ubat tanpa perlu ditahan di hospital. Simptom selalunya akan hilang selepas beberapa hari atau minggu tetapi rasa letih mungkin berlarutan sehingga sebulan atau lebih.
Rawatan khusus bergantung kepada jenis dan tahap pneumonia. Pilihan yang ada ialah:
- Antibiotik. Pilihan ini digunakan khas untuk pneumonia yang disebabkan oleh bakteria. Doktor akan memilih antibiotik yang paling berkesan mengikut bakteria terbabit. Jika simptom tidak bertambah baik, antibiotik mungkin akan ditukar atau ditambah. Pastikan antibiotik diambil sehingga habis mengikut arahan doktor meskipun simptom sudah tiada.
- Ubat batuk. Ubat ini diberikan agar pesakit dapat berehat tanpa perlu menghadapi simptom batuk. Walau bagaimanapun, doktor mungkin akan memastikan batuk tidak hilang sepenuhnya memandangkan ia membantu membuang cecair yang terkumpul di dalam paru-paru.
- Ubat demam dan tahan sakit. Rawatan ini membantu mengurangkan simptom dan membolehkan pesakit berehat dengan lebih baik.
Dalam sesetengah kes, pesakit mungkin perlu ditempatkan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk mendapatkan bantuan pernafasan daripada ventilator.