Taburan penyakit asma berdasarkan kawasan, GINA 2004
Penyakit asma kebiasaannya bermula pada awal usia kanak-kanak. Dalam kalangan pesakit asma, 95% menghadapi episod pertama pernafasan berdehit (wheezing) sebelum usia 6 tahun. Walaupun punca asma tidak diketahui, terdapat beberapa faktor yang didapati mengurangkan risiko menghidap penyakit asma iaitu:
- mempunyai adik-beradik yang lebih ramai
- diletakkan di nurseri sewaktu masih kecil
- kurang penggunaan antibiotik
- mempunyai haiwan peliharaan daripada awal kelahiran hingga 3 bulan
- pernah mengalami jangkitan tertentu
- membesar di kawasan kampung/ladang
Menariknya, ini membawa kita kepada persoalan mengapa kanak-kanak yang membesar di kawasan kampung, yang mungkin kelihatan lebih comot, lasak bermain tanah dan haiwan kurang berisiko menghidap asma berbanding kanak-kanak di bandar yang lebih rapi penjagaan kebersihan oleh ibu bapa mereka. Antara hipotesis yang dikemukakan terhadap dapatan ini dalam penyakit asma adalah hygiene hypothesis.
Apakah itu Hygiene Hypothesis?
Hygiene Hypothesis yang bermaksud Hipotesis Kebersihan mencadangkan bahawa pendedahan kanak-kanak kepada kuman dan jangkitan tertentu membantu sistem imun berkembang. Ini mengajar tubuh untuk membezakan bahan-bahan yang tidak berbahaya daripada bahan-bahan berbahaya yang mencetuskan asma. Secara teori, pendedahan kepada kuman tertentu mengajar sistem imun untuk tidak bertindak balas secara berlebihan. Tindak balas imun yang berlebihan terkait dengan perkembangan penyakit asma, alahan dan autoimun.
Sebelum kelahiran, sistem imun janin tidak diaktifkan untuk mencegahnya daripada menolak tisu ibu, termasuklah antibodi yang dibekalkan ibunya. Tetapi dalam tempoh sejurus selepas kelahiran sistem imun bayi perlu mengambil alih dan belajar bagaimana untuk menjaga diri sendiri. Persekitaran yang sangat bersih dikatakan tidak memberikan pendedahan yang diperlukan kepada kuman yang ‘mendidik’ sistem imun tubuh.
Oleh itu, berdasarkan teori ini, peningkatan kebersihan dan saiz keluarga yang lebih kecil telah mengurangkan pendedahan kepada kuman berguna, meningkatkan risiko penyakit alahan dan asma.
Sains di sebalik Hygiene Hypothesis
Teori ini disokong dengan dapatan bahawa penyakit alahan dan asma lebih berkemungkinan berlaku apabila tahap endotoksin LPS di rumah rendah. LPS adalah molekul bakteria yang merangsang dan mendidik sistem imun dengan mencetuskan isyarat melalui “suis” molekular yang dipanggil TLR4, yang terdapat pada sel tertentu sistem imun.