backup og meta

Rempah Masakan TERMAHAL Di Dunia, SAFFRON Bagus Untuk Kesihatan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/09/2023

    Rempah Masakan TERMAHAL Di Dunia, SAFFRON Bagus Untuk Kesihatan

    Tahukah anda bahawa saffron merupakan antara jenis rempah termahal di dunia! Apakah khasiat saffron sehingga ia dijual dengan begitu mahal? Kami kupaskan beberapa fakta penting mengenai rempah ini, apa khasiat saffron serta kesan minum air saffron

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Apa itu saffron?

    Saffron (Crocus sativus) yang juga dikenali sebagai ’emas merah’, adalah sejenis rempah yang paling mahal di dunia.

    Ia diperoleh daripada bunga Crocus sativus dan telah digunakan selama beribu-ribu tahun sebagai pewarna, perasa dan ubat dalam pelbagai sejarah tamadun dunia.

    Warna kuning keemasan yang dikeluarkan oleh saffron menjadikannya pilihan utama dalam masakan dan juga dalam industri kosmetik.

    Bagaimana saffron diperoleh?

    khasiat saffron

    Sebelum mengetahui khasiat saffron, anda perlu tahu kenapa ia begitu mahal.

    Untuk makluman, proses pengumpulan saffron memerlukan ketelitian dan kesabaran.

    Ini kerana, setiap bunga Crocus sativus hanya menghasilkan tiga helai benang atau stigma saffron.

    Benang-benang atau stigma ini dikumpulkan dengan tangan satu persatu, dan kemudiannya dikeringkan.

    Proses pengumpulan saffron ini memerlukan ribuan kuntum bunga untuk menghasilkan hanya satu paun saffron.

    Oleh sebab itu, rempah saffron boleh menjadi terlalu mahal kerana proses pengumpulannya yang memerlukan banyak tenaga dan juga masa. 

    5 jenis saffron paling mahal di dunia mengikut negara pengeluar

    khasiat saffron

    Setiap saffron mempunyai gred atau kualitinya yang tersendiri.

    Setiap gred ini tentunya mempunyai harga yang berbeza-beza mengikut dari negara mana ia dihasilkan.

    Berikut adalah lima jenis saffron dengan kualiti terbaik serta harga termahal di dunia: 

    • Saffron Iran: Iran adalah pengeluar saffron terbesar di dunia. Saffron dari Iran dikenali dengan kualiti tertinggi dan aroma yang kuat
    • Saffron Kashmir, India: Saffron ini dikenali dengan warna merah gelap dan aroma yang kuat. Saffron Kashmir adalah salah satu saffron yang paling mahal di pasaran
    • Saffron Sepanyol: Sepanyol terkenal dengan saffron jenis “Coupe” yang mempunyai kualiti tinggi dan digunakan dalam masakan tradisional seperti paella
    • Saffron Maghribi: Dikenali juga sebagai ‘zafran’, saffron Maghribi mempunyai rasa yang unik dan sering digunakan dalam masakan Maghribi
    • Saffron Greek: Meskipun kurang dikenali berbanding jenis yang lain, saffron Greek juga mempunyai kualiti yang baik dan biasa digunakan dalam masakan tradisional orang Greek

    Apa khasiat saffron ini ya?

    Saffron kaya dengan bahan kimia seperti crocin, picrocrocin dan safranal yang memberikan warna, rasa, dan aroma khas kepada rempah ini.

    Crocin adalah antioksidan kuat yang membantu melawan tekanan oksidatif dalam tubuh.

    Tekanan oksidatif ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik.

    Selain itu, crocin juga mempunyai kesan neuroprotektif yang boleh membantu melindungi otak daripada kerosakan.

    Menariknya, beberapa kajian menunjukkan bahawa crocin mungkin mempunyai kesan antidepresan dengan mempengaruhi tahap serotonin dan dopamine dalam otak.

    khasiat saffron

    Apa pula peranan picrocrocin dalam khasiat saffron? Picrocrocin pula mempunyai sifat terapeutik selain memberikan rasa pahit khas pada rempah ini.

    Ia juga memiliki ciri antioksidan yang serupa dengan crocin, yang membantu memerangi tekanan oksidatif dalam tubuh.

    Sebatian safranal pula memberikan aroma khas pada saffron. Aroma ini dilepaskan semasa proses pengeringan benang saffron.

    Selain memberikan aroma, safranal juga mempunyai kesan neuroprotektif dan antioksidan.

    Ia juga menunjukkan potensi dalam mengurangkan gejala kemurungan dengan mempengaruhi neurotransmiter dalam otak.

    Tambahan pula, safranal mempunyai sifat antiradang yang bermanfaat terhadap keadaan yang mempunyai ciri-ciri keradangan.

    Saffron bukan sahaja memberikan rasa dan warna kepada masakan, tetapi juga terbukti mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan.

    Ia telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti masalah pencernaan, insomnia dan penyakit kulit.

    Kajian terkini menunjukkan bahawa saffron juga boleh membantu dalam mengurangkan simptom kemurungan, meningkatkan ingatan dan juga mempunyai kesan anti inflamasi.

    Khasiat saffron terkenal dalam masakan

    Walaupun saffron adalah salah satu rempah yang paling mahal di dunia, namun faedah kesihatan dan aromanya dalam masakan menjadikannya berbaloi untuk digunakan.

    Saffron sememangnya ’emas merah’ dalam dunia masakan kerana ia bukan sahaja memberikan warna dan rasa, tetapi juga mempunyai pelbagai kebaikan.

    Bagi mereka yang mahu menambahkan sentuhan istimewa dalam masakan atau mencari faedah kesihatan semula jadi, saffron adalah pilihan yang sempurna.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan