
Tak Salah Kalau Anda Nak Guna Bekas Plastik Tapi Kena Tahu Dulu Apa Itu KOD!
Amnya, terdapat bekas plastik yang selamat digunakan untuk menyimpan makanan serta minuman dan ada juga bekas tidak selamat.

Jadi bagaimana menentukan bekas yang diperbuat daripada plastik itu boleh digunakan untuk bawa bekal makanan atau tidak? Bagaimana pula dengan makanan panas, boleh ke diletakkan dalam bekas ini?
Dalam perkongsian artikel ini ada jawapannya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Apa itu bekas plastik?
Plastik adalah bahan yang sangat serba boleh.
Unsur-unsur daripada jadual berkala seperti karbon hidrogen, oksigen, nitrogen dan sulfur – adalah bahan binaan untuk plastik yang digunakan bagi menghasilkan pelbagai produk harian.
Sesetengah plastik adalah lutsinar dan tahan lama untuk digunakan dalam cermin mata atau goggle keselamatan. Ada juga plastik lain dengan ciri kuat dan ringan.
Plastik juga boleh menjadi produk tahan bakteria untuk digunakan dalam pembungkusan makanan dan peralatan perubatan.
Jadi bagaimana dengan bekal makanan yang diperbuat daripada plastik, adakah ia selamat untuk digunakan?
Fahami perbezaan bekas plastik
Tidak salah untuk menggunakan bekas yang diperbuat plastik sebagai bekal makanan, cuma ada perlu pastikan ia sesuai dan selamat digunakan.
Bagaimana?

Anda mesti pernah melihat nombor 1 hingga 7 di bahagian bawah atau sisi bekas plastik? Nombor ini adalah ‘kod pengenalan resin’ plastik – juga dikenali sebagai ‘nombor kitar semula’.
Nombor atau kod ini membolehkan anda mengenali jenis plastik yang selamat untuk digunakan atau tidak.
Plastik yang selamat digunakan untuk membawa bekal makanan
#1
PET atau PETE – (Polyethylene Terephthalate) – plastik jelas, kuat dan ringan yang menjadikan ia pilihan baik bagi penyimpanan minuman dan makanan, terutamanya untuk tempoh jangka masa panjang.
#2
HDPE (High-Density Polyethylene) – tahan hentaman, tahan lama dan tahan cuaca. Ia berfungsi dengan baik sebagai bekas air untuk mencuci pinggan mangkuk atau pakaian dan bukan sebagai bekas minuman, melainkan anda dapat membersihkannya dengan teliti.
Terdapat juga beberapa baldi gred makanan tahan lama diperbuat daripada HDPE yang berfungsi dengan baik untuk menyimpan makanan untuk jangka panjang.
#4
LDPE (Low-Density Polyethylene) – dianggap kurang toksik berbanding plastik lain dan selamat digunakan.
Ia termasuk sebagai beg runcit dan beg sampah, bungkusan roti, aplikasi filem, makanan sejuk beku, cawan minuman, botol picit dan juga bekas makanan.
#5
PP – (Polypropylene) – lasak, ringan dan mempunyai rintangan haba yang tinggi. Jadi bekas ini tidak mungkin melarutkan bahan kimia seperti kebanyakan plastik lain.
Bekas plastik harus dielakkan
#3
PVC – (Polyvinyl Chloride) –Mengandungi banyak kandungan phthalates – untuk menjadikan ia elastik dan lembut. Antara produk yang menggunakan plastik ini seperti barang mainan, bekas syampu, balang minyak dan langsir mandian.
Dianggap lebih berbahaya kerana terdiri daripada bisphenol A (BPA), plumbun, phthalates, mercury, dioksin dan kadmium.
#6
PS – (Polystyrene) – dihasilkan untuk item seperti karton telur, cawan styrofoam dan barang plastik. Boleh mencarikan stirena – neurotoksin yang diketahui membawa kesan kesihatan berbahaya.
Stirena juga merupakan bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok pasif dan dianggap sebagai karsinogen.
Ia juga boleh merosakkan sistem saraf dan korteks. Beberapa kajian berkaitan kod #6 menunjukkan ia boleh merosakkan paru-paru, hati dan genetik serta memberi kesan buruk kepada sistem imun.
#7
Dikenali sebagai O – merujuk kepada semua plastik lain yang mengandungi polikarbonat (PC)

Antara produk #7 adalah seperti botol dan bekas air, botol bayi, bekas jus, kanta cermin mata, alat ganti kereta dan peralatan makmal.
Plastik dengan PC boleh mencairkan bisphenol A (BPA), menjejaskan endokrin dan hormon estrogen seseorang.
Ia boleh menjejaskan pengeluaran sperma pada lelaki dan kromosom pada wanita. Ia turut menyumbang kepada gangguan akil baligh dan mempunyai kesan buruk terhadap tingkah laku, imuniti, fungsi saraf dan kesihatan kardiovaskular.
Ia juga bersifat karsinogenik dan boleh menyebabkan kanser payudara dan prostat. Plastik ini bertanggungjawab untuk keguguran, diabetes, obesiti, penyakit metabolik, dan rintangan kemoterapi.
Bekal makanan panas dalam bekas plastik?
Nampaknya plastik akan berada di mana-mana sahaja dalam kehidupan seharian kita, betul tak?
Anda akan menjumpai plastik sebagai pembungkus makanan, beg beli-barang serta bekas yang digunakan untuk menyimpan makanan dan minuman.

Tetapi boleh ke memasukkan makanan panas ke dalam bekas yang diperbuat daripada plastik ini?
Apabila plastik dipanaskan atau sesuatu yang panas dituangkan ke dalamnya, ia boleh melarutkan bahan kimia 55x lebih cepat daripada biasa.
Ada yang mengatakan, situasi itu adalah lebih selamat berbanding gelombang mikro. Namun pucuk pangkalnya, ia masih akan mencairkan bahan kimia.
Jadi meletakkan makanan panas terus ke dalam bekas plastik adalah idea yang mengerikan dan perlu dielakkan!
Pilihan lebih selamat
Tidak salah menggunakan bekas diperbuat daripada plastik sebagai bekas makanan, tetapi pastikan anda memilih kod yang betul.
Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan bekas kaca atau keluli tahan karat kerana kedua-duanya sesuai untuk makanan sejuk atau panas serta boleh digunakan untuk menyimpan makanan di rumah.