backup og meta

7 Jenis Juadah Yang Popular Dan Sihat Anda Boleh Jumpa Di Bazar Ramadan!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 02/03/2023

    7 Jenis Juadah Yang Popular Dan Sihat Anda Boleh Jumpa Di Bazar Ramadan!

    Apabila tiba sahaja bulan puasa, para food hunter sudah tentu akan mula memburu makanan bazar Ramadhan untuk mencari juadah iftar mereka. Menariknya, ada banyak jenis juadah yang popular, sedap dan sihat di sini!

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda juga boleh klik di sini.

    Berpuasa, amalan hebat untuk semua individu?

    Untuk pengetahuan anda semua, amalan berpuasa sudah dilakukan oleh umat Islam sejak 1400 tahun yang lalu. Kini, amalan ini turut telah dipraktikkan oleh ramai orang bukan Islam di seantero dunia.

    Alasannya, amalan berpuasa tidak sahaja mampu memberikan kebaikan berbentuk pahala malah turut mendatangkan manfaat terhadap kesihatan tubuh badan yang telah dibuktikan dalam banyak kajian.

    Antara kebaikan yang anda boleh dapat dengan berlapar atau berpuasa pada separuh hari adalah seperti berikut:

  • Membantu mengawal berat badan
  • Membantu mengawal kencing manis
  • Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
  • Mengurangkan gejala penyakit refluks usus
  • Menyihatkan organ termasuk jantung dan otak
  • Melanjutkan lagi usia individu
  • makanan bazar ramadhan

    Dengan berpuasa juga, anda akan lebih menghargai setiap juadah semasa berbuka yang selama ini mungkin anda pandang sebelah mata sahaja. Dalam erti kata mudah, anda bakal lebih berjimat dan bersyukur!

    Sehubungan di atas, lambakan makanan di bazar Ramadhan akan tampak lebih menyelerakan. Adakah anda setuju?

    Makanan bazar Ramadhan yang sedap & sihat!

    Sudah lumrah bulan paling mulia dalam kalendar umat Islam, ganjaran yang akan dikejar bukan sahaja dalam bentuk pahala tetapi juga makanan. Namun, ini bukan bermakna anda perlu berbuka tanpa waspada.

    Ada banyak jenis makanan bazar Ramadhan yang bukan sahaja sedap malah sihat untuk tubuh badan, antaranya:

    Makanan bazar Ramadhan #1. Aneka kuih-muih

    Sebagai pembuka selera atau pemanis mulut, anda boleh cuba banyak jenis kuih popular di bazar Ramadhan. Jika anda tidak tahu pilih yang mana, perhatikan dahulu bahan kandungan bagi kuih-muih itu.

    Contohnya, anda sudah tentu tidak mahu terlepas kuih seri muka, lompat tikam, tepung pelita serta macam-macam lagi bukan? Tidak salah untuk makan yang manis-manis, cuma harus awas dengan kuantitinya.

    Kalau tidak mahu yang manis, ada alternatif lebih sihat seperti pulut panggang, roti jala, talam ubi dan lain-lain!

    makanan bazar ramadhan

    #2. Ayam percik

    Merupakan pilihan makanan paling popular, tidak sah jika ia tidak ada di pasar Ramadhan. Meskipun ia tinggi dengan kalori, kolesterol dan lemak, namun menu ini juga kaya dengan protein dan banyak nutrisi lain yang akan mengimbanginya.

    #3. Kambing bakar

    Sudah jemu makan ayam? Tidak mengapa kerana kambing bakar juga ada dijual di bazar. Apa yang bagus tentang menu makanan di bazar Ramadhan ini adalah cara ia dimasak yakni dibakar lantas bebas daripada penggunaan minyak masak yang perlu diawasi.

    Makanan bazar Ramadhan #4. Murtabak

    Murtabak mungkin sarat dengan inti daging atau ayam di dalamnya. Namun, anda juga perlu ingat bahawa ia turut padat dengan bahan seperti bawang, kentang, halia serta telur yang boleh dikategorikan sebagai antara juadah seimbang.

    Makanan bazar Ramadhan #5. Sate

    Logiknya, mungkin ramai orang fikir jika menu ini hanya sekadar isi daging atau ayam. Ia betul kalau anda cuma makan sate sahaja tanpa kuah kacang dan hidangan yang ada di tepinya seperti bawang, timun, tomato serta mungkin pelbagai aneka sayuran atau buah yang lain.

    #6. Nasi campur/lemak/minyak dan lain-lain

    Sebagai anak jati Melayu, tidak sah kalau menu iftar kita tidak ada nasi bukan? Usah khuatir, di pasar Ramadhan anda boleh bertemu pelbagai jenis nasi bervariasi warna, rasa dan aroma yang anda mungkin jarang jumpa pada hari biasa.

    Ambil contoh nasi campur. Bersama hidangan utama nasi putih, anda boleh campur ia dengan pelbagai jenis lauk-pauk, sayur, buah atau kuah kegemaran yang sudah tentu seimbang, sihat dan kaya dengan zat serta khasiat.

    makanan bazar ramadhan

    #7. Pelbagai jenis air

    Meskipun air kosong merupakan pilihan paling bagus, namun ada banyak lagi minuman yang mungkin sedap dan sihat untuk anda ambil ketika iftar lebih-lebih lagi jika ia berasaskan kepada sayur atau buah serba segar.

    Air jagung, tebu, katira dan banyak lagi minuman lain turut baik bagi menyegarkan anda yang seharian telah dahaga.

    Cuma, anda perlu hindari minuman terlalu banyak gula, susu atau bahan tersembunyi lain yang menggugat kesihatan.

    Konklusinya, tidak salah untuk menjamu selera ketika iftar namun jangan pula melantak sampai tidak kenal dunia ya?

    Ini merupakan peluang untuk kita semua berjuang bukan sahaja untuk merebut pahala malah menjaga tahap kesihatan tubuh badan. Jadi sila lebih bersederhana dan berwaspada dengan setiap apa yang anda makan dan minum!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 02/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan