backup og meta

Kurus Tapi Gemuk? Ramai Yang Belum Tahu Kondisi Skinny Fat Yang Bahaya Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/08/2022

    Kurus Tapi Gemuk? Ramai Yang Belum Tahu Kondisi Skinny Fat Yang Bahaya Ini!

    Tidak semua orang yang mempunyai badan kurus itu sihat. Malah, ada juga individu kurus yang sebenarnya mempunyai kandungan lemak dalam badan yang tinggi.

    Inilah kondisi yang disebut sebagai skinny fat. Apakah maksud kondisi ini dan ia benar bahaya?

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Badan kurus tapi lemak badan tinggi? Ia skinny fat!

    Skinny fat ialah satu keadaan di mana seseorang itu mempunyai berat badan yang normal namun mempunyai kadar lemak dalam badan yang tinggi.

    Keadaan seperti ini juga disebut sebagai normal weight obesity.

    Secara umumnya, mereka yang dikategorikan sebagai skinny fat ini mempunyai risiko kesihatan yang sama dengan mereka yang obes.

    Mereka yang tergolong dalam keadaan skinny fat ini mempunyai indeks jisim tubuh atau BMI yang normal.

    Malah, paras lemak dalam badan mereka juga masih berada pada paras yang normal.

    Akan tetapi, jika dilakukan pemeriksaan MRI, kita akan dapat melihat pengumpulan lemak yang tinggi di beberapa bahagian tubuh, terutamanya pada bahagian perut

    Apa punca badan kurus tetapi kadar lemak tinggi?

    badan kurus

    Lemak pada bahagian perut merupakan salah satu penyebab mengapa seseorang yang mempunyai badan kurus boleh berisiko mengalami obesiti.

    Ini kerana, lemak perut tergolong dalam kategori lemak viseral yang tersembunyi di antara organ-organ tubuh.

    Perlu diketahui bahawa dalam tubuh badan manusia terdapat dua jenis lemak iaitu lemak subkutan dan juga lemak viseral.

    Lemak subkutan ialah jenis lemak yang berada di bawah kulit dan ia membuatkan kita kelihatan gemuk.

    Lemak viseral pula ialah jenis lemak yang terletak di celah-celah organ dalam tubuh seperti di jantung.

    Disebabkan lemak viseral ini agak tersembunyi, ia agak sukar untuk dikesan.

    Oleh itu, mereka yang mempunyai kadar lemak viseral yang tinggi tidak menyedari bahawa mereka juga sedang mengalami obesiti.

    Berikut ialah punca-punca yang boleh menyebabkan anda mengalami skinny fat:

    #1. Gaya pemakanan yang tidak sihat

    Pengumpulan lemak viseral boleh berlaku disebabkan gaya atau pola pemakanan yang tidak sihat.

    Walaupun jumlah bahagian yang anda makan tidak begitu besar, namun ia mungkin boleh mempengaruhi tubuh badan anda.

    Sebagai contoh, jika anda gemar meminum minuman bergas, anda berisiko untuk mendapat peningkatan jumlah lemak viseral yang lebih tinggi dalam tubuh.

    Ini kerana, air bergas mempunyai kandungan pemanis buatan yang merupakan sebatian kimia asing bagi tubuh.

    #2. Jenis aktiviti sukan yang salah

    Tabiat bersukan sememangnya sangat baik untuk menurunkan berat badan dan mengelakkkan obesiti.

    Namun, jenis sukan yang salah hanya akan melambatkan atau menyekat aktiviti pembakaran lemak dalam badan.

    Oleh itu, gabungan senaman kardio dan angkat berat merupakan jenis sukan yang sangat baik untuk membentuk otot tubuh.

    Apabila otot terbentuk dengan semakin banyak, maka tubuh badan anda juga akan semakin mudah untuk membakar kalori dan juga lemak viseral. 

    #3. Selalu mencuba pelbagai jenis diet

    Kini terdapat pelbagai jenis diet yang boleh anda pilih untuk menurunkan berat badan.

    Namun, tidak semua jenis diet itu perlu dicuba oleh anda.

    Jika anda kerap mencuba atau bertukar-tukar jenis diet, dibimbangi ia boleh mempengaruhi cara tubuh menyimpan lemak dalam badan.

    Apa kesan buruk skinny fat pada tubuh badan?

    badan kurus

    Keadaan skinny fat atau normal weight obese ini sama sahaja dengan masalah kegemukan yang lain.

    Ini kerana, ia boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat pelbagai masalah kesihatan yang kronik seperti penyakit jantung dan juga diabetes.

    Selain itu, paras kolesterol dalam tubuh juga mungkin akan menjadi tidak normal di mana lemak jahat berada pada paras yang tinggi dan lemak baik pula berada pada paras yang rendah.

    Anda juga mungkin akan mengalami tekanan darah tinggi dan sindrom metabolik.

    Cara untuk elak kondisi skinny fat berlaku!

    Terdapat empat kaedah utama yang boleh membantu badan kurus anda daripada mengalami skinny fat:

    #1. Amalkan pelan diet yang seimbang

    Sekiranya anda mengubah gaya pemakanan harian anda, ini sememangnya dapat mencegah skinny fat daripada berlaku.

    Antara tip yang boleh anda lakukan ialah:

    • Kerap makan buah-buahan dan juga sayur-sayuran
    • Makan sumber protein yang rendah atau tanpa lemak
    • Mengambil sumber karbohidrat kompleks seperti ubi, kentang dan gandum penuh
    • Elakkan pengambilan makanan yang manis dan tinggi lemak

    badan kurus

    #2. Lakukan jenis sukan yang ideal

    Anda boleh cuba bersenam dan bersukan selama 30 minit setiap hari.

    Selain itu, pilih jenis sukan yang menggabungkan latihan kardio dengan kekuatan tubuh seperti joging, berlari atau berbasikal.

    Jenis sukan seperti ini boleh membantu untuk membakar kalori dan juga lemak dalam badan dengan lebih cepat.

    #3. Amalkan gaya hidup yang sihat

    Antara gaya hidup sihat yang perlu anda amalkan adalah dengan mendapatkan tidur yang berkualiti dan berkualiti.

    Dapatkan antara 7 hingga 8 jam waktu tidur setiap hari.

    Selain itu, anda juga perlu mengawal stres yang anda hadapi dengan cara yang lebih baik. 

    #4. Kerap berjumpa doktor

    Anda bukan hanya perlu berjumpa doktor ketika anda jatuh sakit sahaja.

    Anda juga boleh berjumpa dengan mereka untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tubuh bagi membantu anda memperbaiki gaya hidup dengan lebih baik.

    Anda boleh tahu akan risiko anda mendapat obesiti atau tidak melalui pemeriksaan doktor.

    Ingatlah, badan kurus tidak menjamin anda bebas daripada masalah obes!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan