
Kopi Putih Lagi Bagus Daripada Kopi Hitam? Ini Fakta Yang Anda Mesti Tahu!
Anda penggemar jenis kopi hitam atau kopi putih? Mungkin sebahagian daripada anda lebih gemarkan kopi hitam, dan ada juga yang menggemari minuman kopi putih. Namun, ada yang mendakwa bahawa kopi putih lebih baik daripada segi nutrisi berbanding kopi hitam. Adakah dakwaan ini tepat?

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan pemakanan sihat, anda boleh klik di sini.
Bagaimana jenis kopi hitam dihasilkan?
Hampir setiap isi rumah di Malaysia pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu beg uncang kopi O atau kopi hitam.
Ini kerana kopi O menjadi antara minuman kegemaran ramai yang biasa dinikmati sewaktu sarapan pagi atau minum petang.
Tetapi tahukah anda bagaimana kopi hitam ini dihasilkan? Secara umumnya, biji kopi yang hitam itu diperoleh selepas biji kopi dipanggang dalam tempoh masa tertentu.
Setelah ia dipanggang, ia akan dikisar halus sebelum direndam dalam air panas bagi mendapatkan rasa, aroma, warna, kandungan kafein dan juga nutrisi daripada biji kopi tersebut.
Kandungan nutrisi yang ada dalam secawan kopi hitam
Tahukah anda, bahawa kopi hitam ini sebenarnya kaya dengan antioksidan yang berfungsi melindungi diri anda daripada kerosakan sel?
Selain itu juga, antioksidan juga boleh membantu mengurangkan risiko anda untuk mengalami keadaan kesihatan yang serius seperti penyakit jantung dan juga kanser.
Di Amerika Syarikat, kopi merupakan antara sumber utama antioksidan bagi penduduk di sana. Selain daripada kandungan antioksidan, kopi juga mempunyai vitamin B2, kafein dan magnesium.
Satu hidangan kopi O (236 mililiter) mengandungi sekitar 2 kalori, 5 miligram sodium, 118 mg potasium dan tanpa sebarang protein, lemak, karbohidrat (kopi tanpa gula), dan juga serat.
Daripada kandungan nutrisi ini, dapat disimpulkan bahawa kopi merupakan antara jenis minuman yang sihat dan rendah kalori.
Namun, jika anda menambahkan susu, perasa, sirap, gula atau krim putar, maka kalorinya pasti akan bertambah!
Adakah benar kopi putih lebih baik daripada kopi hitam?

Sebelum ini, kami telah menerangkan berkenaan kandungan nutrisi yang terdapat dalam satu hidangan kopi O.
Bagi jenis kopi putih pula, satu cawan kopi ini mempunyai 25 kalori dan 1 gram lemak jika tanpa kandungan gula.
Kandungan kalori kopi putih ini pula berbeza-beza mengikut cara penyediaan, jenama, atau kandungan yang ditambah bersama.
Sebagai contoh, ada jenama kopi putih yang mengandungi sehingga 180 kalori dan 32 karbohidrat disebabkan kandungan susu dan gula tambahan.
Daripada segi perbezaan nutrisi ini, dapat kita lihat bahawa kopi hitam ternyata lebih sihat berbanding kopi putih.
Selain itu, ramai yang tidak tahu bahawa kopi putih juga mengandungi kandungan kafein yang lebih tinggi berbanding kopi hitam.
Kebaikan jika anda minum jenis kopi hitam
Walaupun kopi hampir tidak mempunyai sebarang nilai nutrisi, namun ia masih mampu memberikan beberapa kebaikan kepada kesihatan kita. Antaranya ialah:
#1. Menggalakkan penurunan berat badan
Kafein telah lama dikaitkan dengan penurunan berat badan, dan ia telah terbukti melalui kajian saintifik.
Terdapat satu kajian meta-analisis pada tahun 2019 yang telah mengkaji kesan kafein terhadap penurunan berat badan.
Kajian tersebut mendapati bahawa pengambilan kafein boleh menggalakkan penurunan berat badan, penurunan indeks jisim badan (BMI) dan juga lemak badan.
#2. Menurunkan risiko diabetes jenis 2
Satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition telah mendapati bahawa, individu yang mengambil empat atau lebih cawan kopi setiap hari mengalami pengurangan 30% risiko diabetes jenis 2.
Kajian ini mendapati, pengambilan kopi setiap hari boleh memberi kesan positif yang ketara kepada keadaan kronik seseorang individu.
#3. Mengurangkan risiko kegagalan jantung
Persatuan Jantung Amerika telah menerbitkan ulasan pada tahun 2012 yang menunjukkan bahawa, pengambilan kopi secara sederhana setiap hari (sekitar empat hidangan) mempunyai kesan positif dalam mengurangkan risiko kegagalan jantung.
#4. Membantu mencegah penyakit hati
Satu kajian pada tahun 2006 telah mengkaji mengenai kesan kopi terhadap kesihatan hati. Kajian tersebut mendapati, kafein membantu melindungi hati daripada penyakit sirosis.
Perlindungan ini juga akan meningkat seiring dengan jumlah pengambilan, dengan empat cawan kopi atau lebih akan memberikan perlindungan tambahan.
Jangan melampau ketika minum kopi
Di sebalik pelbagai manfaatnya terhadap kesihatan, kopi juga mempunyai beberapa kesan sampingan, lebih-lebih lagi jika diambil dengan jumlah yang tinggi.
Pengambilan kopi dengan jumlah yang tidak terkawal dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit refluks gastroesophageal (GERD).
Perlu diketahui juga bahawa kopi mempunyai kandungan kafein. Oleh itu, ia pastinya akan memberikan kesan buruk jika diambil terlalu banyak.
Seseorang yang minum lebih daripada enam cawan kopi setiap hari mungkin akan mengalami peningkatan risiko cirit-birit, insomnia, sakit kepala, degupan jantung yang tidak normal, loya, dan sakit perut.
Anda sudah semestinya boleh meminum kopi setiap hari, tetapi jumlah pengambilan harian perlulah dikawal.
