Makanan yang sihat sering mempunyai imej sebagai makanan yang kurang sedap, tidak mempunyai rasa dan tidak mengenyangkan. Adakah anda ingin tahu beberapa contoh makanan berkhasiat yang sedap, mengenyangkan tetapi rendah kalori? Ini senarai contoh makanan seimbang untuk anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkan di sini.
Ini contoh makanan berkhasiat yang rendah kalori
Tidak semua makanan yang sihat kurang menyelerakan seperti yang sering kita bayangkan.
Ada beberapa jenis atau contoh makanan seimbang yang bukan sahaja sedap, tetapi mengenyangkan perut anda.
Paling penting, contoh makanan berkhasiat yang ingin kami kongsikan ini adalah rendah kalori.
Apakah jenis makanan tersebut?
Contoh makanan berkhasiat 1: Oat
Bijirin oat menjadi salah satu daripada jenis makanan yang kerap dipilih oleh bagi mereka yang berdiet.
Bijirin oat amat terkenal dengan peranannya yang membantu menurunkan berat badan.
Oat sangat kaya dengan kandungan protein dan juga serat. Malah ia turut rendah kandungan kalori.
Ini menjadikan oat sebagai contoh makanan berkhasiat yang rendah kalori dan sesuai untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan.
Contoh makanan berkhasiat 2: Sup
Anda mungkin terfikir bahawa sup bukanlah jenis makanan yang mengenyangkan.
Namun, ada kajian yang menyatakan, sup adalah jenis makanan yang lebih mengenyangkan berbanding makanan pejal yang lain.
Salah satu cara lain untuk membuatkan anda cepat kenyang adalah dengan mengambil sup terlebih dahulu sebelum mengambil makanan lain.
Dengan cara ini, perut anda akan menjadi lebih cepat kenyang.
Sup bukan sahaja sedap dan berkhasiat, malah ia juga rendah kalori. Oleh sebab itu, sup adalah makanan yang sukar untuk membuatkan anda menjadi obes.
Contoh makanan seimbang 3: Yogurt
Yogurt adalah sejenis makanan hasil daripada proses penapaian atau fermentasi susu.
Yogurt amat terkenal sebagai makanan yang sangat baik untuk usus. Bakteria baik yang terdapat dalam yogurt menggalakkan penghadaman dan meningkatkan tahap kesihatan usus manusia.
Selain itu, yogurt juga kaya dengan kandungan protein dan membuatkan anda berasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama.
Kajian ada menunjukkan bahawa, mereka yang makan yogurt kurang berasa lapar berbanding individu yang memakan jenis snek yang lain.
Malah, yogurt juga rendah kalori dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai pengganti snek yang tidak sihat.
Contoh makanan seimbang 4: Telur
Telur adalah contoh makanan berkhasiat yang bukan sahaja kaya dengan pelbagai nutrien, tetapi semestinya rendah kalori.
Sebiji telur bersaiz besar hanya mengandungi 72 kalori dan 6 gram protein.
Kajian ada menyatakan bahawa, dengan memakan sebiji telur sewaktu sarapan boleh mengurangkan rasa lapar dan menggalakkan rasa kenyang.
Jadi, ambillah telur sebagai pilihan makanan sewaktu sarapan pagi agar anda kurang berasa lapar sepanjang hari.
Contoh makanan seimbang 5: Kentang
Kentang adalah antara contoh makanan berkhasiat yang sangat mengenyangkan.
Kentang mempunyai sejenis sebatian yang membantu mengurangkan selera makan dan menggalakkan rasa kenyang.
Bukan itu sahaja, kentang juga adalah antara jenis makanan yang rendah kalorinya.
Kentang boleh digunakan sebagai bahan utama untuk masakan yang enak.
Antara contoh makanan enak dan sihat berasaskan kentang adalah seperti salad kentang, kentang lenyek dan kentang bakar.
Walau bagaimanapun, makan kentang terlalu banyak boleh menyebabkan hiperglisemia. Oleh sebab itu, ambillah kentang secara sederhana. Jangan melebih-lebih pula ya!
Makanan ini sihat tetapi jangan ambil berlebihan
Lima jenis makanan yang kami sarankan ini adalah antara contoh makanan berkhasiat yang boleh anda ambil setiap hari.
Makanan-makanan ini bukan sahaja sihat, tetapi juga sangat mengenyangkan, sedap dan juga rendah kalori.
Oleh itu, anda tidak perlu berasa bimbang dengan kenaikan berat badan anda apabila mengambil makanan ini.
Namun, pengambilan setiap jenis makanan perlulah diambil secara bersederhana dan tidak melampau.
Ini untuk mengelakkan sebarang kesan atau komplikasi lain akibat makan secara berlebih-lebihan.
[embed-health-tool-bmr]