Malah, kebanyakan sayur mempunyai kandungan air yang banyak. Oleh sebab itu, anda akan rasa lebih kenyang selepas makan sayur walaupun ia mempunyai kalori yang rendah.
Sayur terbaik untuk diet
Makan sayur bukan sahaja baik untuk badan, ia juga dapat membantu anda untuk menurunkan berat badan.
Sebagai permulaan, di bawah kami senaraikan 5 jenis sayur-sayuran yang boleh membantu anda untuk menurunkan berat badan:
1. Makan lebih banyak bayam

Bayam bukan sahaja mempunyai kalori yang rendah, ia juga sejenis sayur yang versatil dan boleh digunakan di dalam pelbagai jenis resepi.
Malah, menurut CDC, bayam amat bagus untuk mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, sakit jantung dan beberapa jenis kanser.
Anda boleh menikmati sayur ini dengan cara tumis air, goreng atau makan bersama salad. Malah, ia juga sesuai digandingkan dengan nasi, pasta dan juga sup.
2. Sayur brokoli untuk diet
Selain bayam, brokoli juga merupakan satu lagi jenis sayur yang versatil. Secawan brokoli mengandungi 31 kalori, vitamin K dan vitamin C yang baik untuk badan.
Brokoli juga merupakan satu cara yang terbaik untuk menambah lebih banyak serat ke dalam hidangan anda. Anda boleh makan brokoli sebagai hidangan sampingan, atau tambah ke dalam nasi atau pasta.
3. Tambah kubis bunga ke dalam hidangan
Kubis bunga merupakan sejenis sayur yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Hanya mengandungi 27 kalori secawan, sayur ini rendah garam dan mengandungi serat yang tinggi.
Bukan itu sahaja, kubis bunga juga bebas lemak dan kolesterol, sesuai untuk dimakan oleh mereka yang sedang berdiet. Cuba gabungkan kubis bunga bersama nasi atau sup, pasti anda dapat rasakan perbezaannya.
4. Kacang hijau sayur terbaik untuk diet

Ramai yang suka masukkan kacang hijau di dalam sup dan nasi goreng untuk menambah rasa. Disebabkan ia dijual secara sejuk beku, mudah untuk anda menggabungkan kacang hijau dengan makanan kegemaran anda.
Tetapi bukan itu sahaja, kandungan serat di dalam kacang hijau yang tinggi juga memudahkan anda untuk memenuhi keperluan serat anda setiap hari.
5. Tambahkan ubi keledek
Ubi keledek mempunyai rasa yang manis dan boleh dimakan begitu sahaja. Cara terbaik untuk makan ubi keledek adalah dengan membakarnya di atas api.
Malah, setiap biji ubi keledek mempunyai lebih vitamin A daripada keperluan badan setiap hari. Bukan itu sahaja, ia juga mengandungi vitamin C, vitamin B6, potasium dan beta karotena yang baik untuk kesihatan mata.
Ubi keledek merupakan makanan yang bagus untuk mereka yang menghidap diabetes. Ia mempunyai kandungan serat yang tinggi dan indeks glisemik yang rendah, sesuai untuk mereka yang menghidap kencing manis.
Kesimpulan
Sayur-sayuran merupakan makanan yang sihat dan baik untuk kesihatan.
Bukan hanya 5 jenis sayur di atas sahaja yang sesuai dimakan ketika diet, ada banyak lagi sayur lain yang boleh dinikmati oleh mereka yang sedang menjaga berat badan.
Kebanyakan buah dan sayur-sayuran mempunyai kalori yang rendah tetapi amat mengenyangkan. Oleh sebab itu, jika anda ingin berdiet cuba tambahkan makanan di atas di dalam menu anda setiap hari.