Anda ingin menurunkan berat badan? Tahukah anda, ada banyak jenis sayur untuk diet yang boleh anda amalkan. Semua jenis makanan sihat ini mudah disediakan dan boleh dimasak dengan pelbagai cara.
Sayur dan buah adalah komponen yang penting untuk diet.
Kedua-dua makanan ini mengandungi banyak vitamin dan mineral yang boleh mengekalkan kesihatan badan. Malah, ia juga boleh melindungi anda daripada penyakit.
Ramai orang Malaysia tidak suka makan sayur ataupun buah-buahan. Oleh sebab itu, ramai yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan disebabkan cara pengambilan makanan yang tidak seimbang.
Sebelum kita mengupas lebih lanjut tentang sayur untuk diet, mari baca mengenai khasiat sayur serta kebaikannya untuk kesihatan kita.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkan di sini.
Sayur untuk diet
Sayur-sayuran mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan anda. Sebagai contoh, sayur mengandungi vitamin A (beta karotena), vitamin C dan vitamin E.
Selain itu, sayur juga kaya dengan mineral seperti zat besi, fosforus dan asid folik.
Asid folik boleh menurunkan tahap homocysteine di dalam darah, sejenis bahan yang boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap penyakit jantung koronari.
Sayur juga rendah gula, garam dan lemak. Selain itu, ia juga merupakan sumber serat yang baik.
Jika anda mengambil sayur di dalam diet seharian, bersama dengan senaman dan gaya hidup yang aktif, sayur dapat mengurangkan berat badan, menurunkan kolesterol dan tekanan darah.
Walau bagaimanapun, untuk menurunkan berat badan, anda perlulah mengambil kalori yang lebih sedikit daripada kalori yang digunakan oleh badan.
Tetapi, itu tidak bermaksud anda tidak makan langsung! Sebenarnya, dengan gabungan sayur-sayuran dan buah-buahan, anda boleh menghasilkan satu hidangan yang rendah kalori dan sedap untuk dimakan.
Malah, kebanyakan sayur mempunyai kandungan air yang banyak. Oleh sebab itu, anda akan rasa lebih kenyang selepas makan sayur walaupun ia mempunyai kalori yang rendah.
Sayur untuk diet
Makan sayur bukan sahaja baik untuk badan, ia juga dapat membantu anda untuk menurunkan berat badan.
Sebagai permulaan, di bawah kami senaraikan 5 jenis sayur untuk diet bagi menurunkan berat badan:
1. Makan lebih banyak bayam
Bayam bukan sahaja mempunyai kalori yang rendah, ia juga sejenis sayur yang versatil dan boleh digunakan di dalam pelbagai jenis resepi.
Malah, menurut CDC, bayam amat bagus untuk mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, sakit jantung dan beberapa jenis kanser.
Anda boleh menikmati sayur ini dengan cara tumis air, goreng atau makan bersama salad. Malah, ia juga sesuai digandingkan dengan nasi, pasta dan juga sup.
2. Sayur untuk diet – brokoli
Selain bayam, brokoli juga merupakan satu lagi jenis sayur untuk diet yang versatil. Secawan brokoli mengandungi 31 kalori, vitamin K dan vitamin C yang baik untuk badan.
Brokoli juga merupakan satu cara yang terbaik untuk menambah lebih banyak serat ke dalam hidangan anda. Anda boleh makan brokoli sebagai hidangan sampingan, atau tambah ke dalam nasi atau pasta.
3. Tambah kubis bunga ke dalam hidangan
Kubis bunga merupakan sejenis sayur yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Hanya mengandungi 27 kalori secawan, sayur ini rendah garam dan mengandungi serat yang tinggi.
Bukan itu sahaja, kubis bunga juga bebas lemak dan kolesterol, sesuai untuk dimakan oleh mereka yang sedang berdiet. Cuba gabungkan kubis bunga bersama nasi atau sup, pasti anda dapat rasakan perbezaannya.
4. Kacang hijau sayur terbaik untuk diet
Ramai yang suka masukkan kacang hijau di dalam sup dan nasi goreng untuk menambah rasa. Disebabkan ia dijual secara sejuk beku, mudah untuk anda menggabungkan kacang hijau dengan makanan kegemaran anda.
Tetapi bukan itu sahaja, kandungan serat di dalam kacang hijau yang tinggi juga memudahkan anda untuk memenuhi keperluan serat anda setiap hari.
5. Tambahkan ubi keledek
Ubi keledek mempunyai rasa yang manis dan boleh dimakan begitu sahaja. Cara terbaik untuk makan ubi keledek adalah dengan membakarnya di atas api.
Malah, setiap biji ubi keledek mempunyai lebih vitamin A daripada keperluan badan setiap hari. Bukan itu sahaja, ia juga mengandungi vitamin C, vitamin B6, potasium dan beta karotena yang baik untuk kesihatan mata.
Ubi keledek merupakan makanan yang bagus untuk mereka yang menghidap diabetes. Ia mempunyai kandungan serat yang tinggi dan indeks glisemik yang rendah, sesuai untuk mereka yang menghidap kencing manis.
Kesimpulan
Sayur-sayuran merupakan makanan yang sihat dan baik untuk kesihatan.
Bukan hanya 5 jenis sayur untuk diet di atas sahaja yang sesuai, ada banyak lagi sayur lain yang boleh dinikmati oleh mereka yang sedang menjaga berat badan.
Kebanyakan buah dan sayur-sayuran mempunyai kalori yang rendah tetapi amat mengenyangkan. Oleh sebab itu, jika anda ingin berdiet cuba tambahkan makanan di atas di dalam menu anda setiap hari.
[embed-health-tool-bmi]