backup og meta

Pucuk Betik Sebagai Rawatan Denggi: Adakah ia Berkesan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 18/01/2023

    Pucuk Betik Sebagai Rawatan Denggi: Adakah ia Berkesan?

    Pucuk betik sangat signifikan dalam rawatan denggi. Ia telah diamalkan di Malaysia, juga di negara lain seperti Pakistan sejak berzaman-zaman. Rawatan tradisional ini didakwa berkesan dalam mempercepatkan proses pemulihan daripada demam denggi.

    Melihat keberkesanan pucuk betik

    Perbincangan tentang pucuk betik merupakan topik yang lama. Bukan sahaja dalam kalangan makcik dan pakcik di kampung-kampung, malah juga oleh golongan profesional.

    Pelbagai laporan kes dan kajian telah dijalankan di beberapa buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka.

    Di Pakistan misalnya, terdapat satu laporan kes seorang lelaki berumur 45 tahun yang dikatakan menghidap demam denggi. Pesakit tersebut menerima 25 ml jus pucuk betik dua kali sehari selama 5 hari. Selepas 2 hari, ujian darahnya menunjukkan peningkatan positif pada bilangan platelet dan sel darah putih (dua bacaan ini menjadi rendah dalam pesakit denggi).

    Satu kajian di Indonesia pula melibatkan 80 pesakit dengan bacaan platelet rendah. Sebahagian daripada mereka diberikan kapsul ekstrak pucuk betik di samping rawatan biasa denggi, manakala sebahagiannya hanya menerima rawatan biasa. Hasilnya, bacaan platelet bagi kumpulan yang menerima kapsul tersebut meningkat lebih cepat berbanding kumpulan satu lagi.

    Sementera itu di Malaysia, kajian melibatkan 290 pesakit dijalankan. Semuanya diberikan rawatan biasa denggi. Dalam masa yang sama, 111 daripadanya diberikan tambahan jus pucuk betik. Kajian ini menemui peningkatan bacaan platelet yang signifikan bagi kumpulan yang menerima jus pucuk betik.

    Perkembangan semasa

    Semua kajian yang dijalankan berkaitan keberkesanan pucuk betik dalam rawatan denggi menunjukkan hasil yang positif. Dua kandungan utamanya iaitu chymopapain dan papain dipercayai membantu mempercepatkan proses pemulihan demam denggi.

    Walau bagaimanapun, masih terdapat kekangan dan kekurangan dalam kajian-kajian serta laporan kes yang ada. Kes dan sampel yang ada masih terlalu sedikit dan banyak kes yang tidak benar-benar disahkan demam denggi melalui ujian serologi, tetapi hanya bergantung kepada andaian daripada bacaan platelet serta sel darah putih yang rendah.

    Hal ini mungkin disebabkan oleh kos yang tinggi diperlukan untuk menjalankan ujian serologi denggi. Usaha ke arah memperkasa rawatan denggi harus disokong. Setakat ini, hanya rawatan sokongan dalam bentuk air atau pemindahan darah sahaja dilakukan. Kita memerlukan banyak pihak yang sanggup membantu, dari sudut dana contohnya, demi mencari solusi terbaik dalam membanteras demam denggi.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 18/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan