Denggi: Satu Beban Kepada Negara dan Masyarakat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus bawaan nyamuk Aedes aegypti. Rantau Asia Tenggara mencatatkan antara angka tertinggi, berbanding kawasan lain di dunia. Dengan bilangan kes yang banyak, ia tentunya menjadi satu beban yang besar ke atas masyarakat dan negara.

Bilangan kes dan kematian

Kes tertinggi yang pernah dilaporkan di Malaysia adalah pada tahun 2015, iaitu sebanyak 120,836. Dua tahun berikutnya menunjukkan penurunan iaitu 101,357 pada tahun 2016 (penurunan sebanyak 16.1%) dan 83,849 pada tahun 2017 (penurunan sebanyak 17.3%). Trend yang ditunjukkan dalam tahun-tahun terbaru adalah baik, meskipun jumlah kes yang tercatat masih lagi tinggi.

Statistik demam denggi diambil daripada laman http://idengue.remotesensing.gov.my

Bilangan kes yang berakhir dengan kematian juga menampakkan trend penurunan yang sama. Pada tahun 2015, sebanyak 336 kes dilaporkan (0.27% daripada keseluruhan kes), diikuti dengan 237 kes pada 2016 (0.23% daripada keseluruhan kes) dan 177 kes pada 2017 (0.21% daripada keseluruhan kes).

Statistik demam denggi diambil daripada laman http://idengue.remotesensing.gov.my

Kerugian sumber manusia

Golongan paling banyak dilaporkan di dalam kes denggi adalah dewasa muda (16-30 tahun). Ini adalah umur perdana (prime age) bagi seseorang dan mereka mewakili skala yang besar dalam sumber manusia di dalam pelbagai sektor di seluruh negara.

Purata tempoh masa penyakit bagi pesakit luar adalah 8.6 hari, manakala pesakit di dalam wad pula selama 12.6 hari. Dalam kalangan mereka yang ditahan di dalam wad, pelajar secara purata kehilangan 2.2 hari persekolahan dan pekerja pula bercuti 6.7 hari.

Kualiti hidup akan terganggu dalam tempoh tersebut. Meskipun pergi ke sekolah dan masuk bekerja, prestasi yang ditunjukkan akan berkurang.

Beban ekonomi

Berdasarkan kajian yang dibuat di Hospital Seremban oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016, setiap isi rumah membelanjakan purata RM12.33 sebulan bagi langkah pencegahan termasuk penyembur nyamuk, ubat nyamuk lingkar dan elektrik. Kos rawatan pula dianggarkan RM118 bagi setiap kes, tidak termasuk kos-kos seperti pengangkutan, makan dan minum. Jika ada berlaku komplikasi, lebih banyak wang yang perlu dikeluarkan.

Dalam kajian lain, beban ekonomi ke atas demam denggi dianggarkan sebanyak RM196,000,000 setiap tahun, iaitu sekitar RM7.14 bagi setiap seorang rakyat Malaysia (per kapita). Ini tidak termasuk kos untuk menguruskan penyakit seperti pengawalan nyamuk dan kajian-kajian ke atasnya yang boleh mencecah RM308,000,000 (RM11.2 per kapita) hingga RM752,500,000 (RM27.4 per kapita).

Jelas, demam denggi merupakan satu beban yang signifikan ke atas masyarakat dan negara, khususnya di Malaysia. Wang berjuta-juta perlu dikeluarkan untuk menampung perbelanjaan penyakit ini. Jika ia dapat dijimatkan, tentunya lebih banyak boleh digunakan bagi tujuan lain termasuk makanan sihat, perbelanjaan pendidikan dan sebagainya.

Banyak faktor perlu dikaji untuk mengurangkan kes denggi. Antaranya, faktor cuaca seperti kelembapan, suhu dan hujan. Begitu juga kecekapan sistem kesihatan dalam memberikan notis awal serta menjalankan langkah-langkah penghapusan jentik-jentik dan nyamuk. Tidak dilupakan, sikap dan kesedaran masyarakat dalam membasmi tempat-tempat pembiakan nyamuk di kawasan rumah mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 26, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 15, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut