backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

H. Pylori (Ujian)

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Firdaus Rahim · Disemak pada 27/11/2019

Definisi

Apa itu Ujian H. Pylori?

Ujian Helicobacter pylori dilakukan untuk mengesan jangkitan Helicobacter pylori (H. pylori) di dalam perut dan bahagian atas usus kecil (duodenum). H. pylori boleh menyebabkan ulser peptik. Walaubagaimanapun, kebanyakan orang yang mengandungi H. pylori di dalam sistem penghadaman mereka tidak menghidap ulser.

Empat jenis ujian yang dilakukan untuk mengesan H. pylori:

  • Ujian antibodi darah. Ia merupakan sejenis ujian darah untuk melihat samada badan kita telah menghasilkan antibodi ke atas bakteria H. pylori. Jika anda mempunyai antibodi ke atas H. pylori di dalam darah, ia bermaksud bahawa anda sedang dijangkiti atau pernah dijangkiti pada masa yang lalu.
  • Ujian pernafasan urea. Ujian ini mengesan bakteria H. pylori di dalam perut anda. Ujian ini boleh menunjukkan jika anda ada jangkitan bakteria H. pylori. Ia juga boleh digunakan untuk melihat adakah rawatan yang diberikan berkesan menghapuskan H. pylori.
  • Ujian antigen najis. Ujian ini mengesan di dalam najis kehadiran bahan-bahan yang merangsang sistem imun untuk melawan jangkitan H. pylori (antigen H. pylori). Ujian antigen najis boleh dijalankan untuk menyokong diagnosis jangkitan H. pylori atau melihat samada rawatan untuk H. pylori berkesan atau tidak.
  • Biopsi perut. Sampel biopsi kecil diambil daripada lapisan perut dan usus kecil melalui endoskopi. Beberapa ujian yang berbeza boleh dijalankan pada sampel biopsi tersebut.
  • Mengapa ujian H. pylori dijalankan?

    Ujian boleh dipesan jika anda mengalami sakit perut dan tanda-tanda serta simptom-simptom ulser. Antaranya adalah:

    • Sakit perut yang datang dan pergi
    • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
    • Ketidakhadaman
    • Rasa perut penuh dan kembung
    • Mual
    • Sendawa

    Anda mungkin mengalami tanda-tanda dan simptom-simptom yang lebih serius yang memerlukan perhatian perubatan segera seperti sakit perut yang tajam, berpanjangan dan secara tiba-tiba, najis hitam atau berdarah atau muntah darah atau muntah seperti warna kopi.

    Ujian H. pylori juga boleh dipesan selepas anda menyempurnakan rejimen antibiotik yang telah dipreskrip untuk memastikan bahawa H. pylori telah dihapuskan. Ujian susulan walaubagaimanapun tidak dijalankan pada semua orang.

    Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

    Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian H. pylori?

    Ujian pernafasan urea kebiasaannya tidak disyorkan untuk kanak-kanak kecil. Untuk kanak-kanak, ujian yang disyorkan adalah ujian antigen najis.

    Seseorang boleh mengalami sakit perut atas banyak sebab; ulser disebabkan H. pylori hanya salah satu daripadanya.

    Jika seseorang menggunakan anti-asid dalam tempoh seminggu sebelum ujian, ujian urease pantas mungkin memberikan keputusan palsu negatif. Antimikrob, perencat pam proton (proton pum inhibitor) dan penyediaan bismuth boleh mengganggu semua ujian ini melainkan ujian antibodi darah.

    Ketahui apa yang berlaku

    Apakah persediaan ujian H. pylori?

    Ujian antibodi darah

    Tiada persediaan yang diperlukan sebelum ujian.

    Ujian antigen najis

    Sesetengah ubat boleh mengubah keputusan ujian ini. Pastikan anda beritahu pada doktor anda tentang semua ubat preskripsi dan non-preskripsi yang anda ambil. Doktor anda mungkin akan menyesyorkan anda berhenti mengambil sebahagian ubat tersebut.

    Jangan ambil antibiotik atau ubat-ubatan yang mengandungi bismuth (seperti Pepto-Bismol) sebulan sebelum ujian.

    Jangan ambil perencat pam proton (seperti Nexium atau Prilosec) 2 minggu sebelum ujian.

    Biopsi perut atau ujian pernafasan urea

    Jangan makan atau minum sekurang-kurangnya 6 jam sebelum ujian.

    Sesetengah ubat boleh mengubah keputusan ujian ini. Pastikan anda beritahu pada doktor anda tentang semua ubat preskripsi dan non-preskripsi yang anda ambil. Doktor anda mungkin akan menyesyorkan anda berhenti mengambil sebahagian ubat tersebut.

    • Jangan ambil antibiotik atau ubat-ubatan yang mengandungi bismuth (seperti Pepto-Bismol) sebulan sebelum ujian.
    • Jangan ambil perencat pam proton (seperti Nexium atau Prilosec) 2 minggu sebelum ujian.
    • Jangan ambil penghalang H2 seperti Pepcid, Zantac, Axid atau Tagamet 24 jam sebelum ujian.

    Sila berbincang dengan doktor anda tentang sebarang kebimbangan yang anda ada berkenaan keperluan ujian, risiko-risikonya, bagaimana ia dijalankan atau apakah maksud keputusannya.

    Apa yang berlaku ketika ujian H. Pylori?

    Ujian antibodi darah

    Professional kesihatan yang mengambil sampel darah anda akan:

    • Melilit pembalut elastik di sekeliling bahagian atas lengan anda untuk menghentikan aliran darah. Ini akan membuatkan vena di bawah pembalut menjadi lebih besar sekaligus memudahkannya untuk dilihat dan dicucukkan jarum.
    • Membersihkan tempat jarum bakal dicucuk dengan alkohol.
    • Memasukkan jarum ke dalam vena. Lebih daripada satu cucukan mungkin diperlukan.
    • Melekatkan satu tiub ke jarum untuk diisi dengan darah.
    • Mengalihkan pembalut tadi daripada lengan anda apabila darah yang dikumpul sudah mencukupi.
    • Meletakkan pad kain kasa atau bebola kapas di atas tempat jarum dicucuk selepas jarum dialihkan.
    • Menekan dan membalut tempat terbabit.

    Ujian pernafasan urea

    Sampel pernafasan diambil ketika anda meniup di dalam belon atau meniup buih ke dalam sebotol cecair. Professional kesihatan yang mengambil sampel pernafasan anda akan:

    • Mengumpul sampel pernafasan anda sebelum ujian bermula.
    • Memberikan anda satu kapsul atau sedikit air yang mengandungi label atau bahan radioaktif untuk ditelan.
    • Mengumpul sampel pernafasan anda pada waktu yang berbeza. Sampel pernafasan tersebut akan diuji untuk melihat bahan yang terbentuk apabila H. pylori bersentuhan dengan label atau bahan radioaktif tersebut.

    Ujian ini kebiasaannya mengambil masa sekitar 30 minit.

    Ujian antigen najis

    Sampel najis untuk ujian ini boleh diambil di rumah. Jika ada berada di hospital, profesional kesihatan akan bantu anda mengumpul sampel.

    Utnuk mengumpul sampel tersebut, anda perlu:

    • Membuang najis ke dalam bekas kering. Najis pejal atau cecair, kedua-duanya boleh dikumpul. Sila berhati-hati agar tidak mencampurkan air kencing atau tisu tandas ke dalam sampel berkenaan.
    • Ganti penutup bekas dan labelkan bekas tersebut dengan nama anda, nama doktor, dan tarikh ia dikumpul.
    • Basuh tangan anda dengan sebaiknya selepas mengumpul sampel tersebut untuk mengelakkan bakteria merebak.
    • Hantar bekas yang telah dibungkus secepat mungkin kepada pejabat doktor anda atau terus ke makmal.

    Doktor anda juga mungkin menggunakan swab kapas yang dimasukkan ke dalam rektum anda untuk mengumpul sampel najis ketika ujian.

    Biopsi perut

    Endoskopi digunakan untuk mengumpul sampel tisu daripada perut dan duodenum. Doktor boleh mengambil sebanyak 10 sampel tisu.

    Sampel tisu tersebut diuji di dalam makmal untuk melihat jika ia mengandungi H. pylori

    Dalam kes-kes yang jarang, sampel biopsi diletakkan ke dalam sebuah bekas yang menggalakkan pembiakan bakteria H. pylori. Ini dinamakan kultur H. pylori. Jika bakteria membiak di dalam kultur tersebut, ujian lain (yang dinamakan ujian sensitiviti atau kerentanan) boleh menentukan antibiotik mana yang boleh digunakan untuk merawat jangkitan tersebut.

    Apa yang berlaku selepas ujian H. pylori?

    Doktor akan berbincang dengan anda tentang syarat-syaratnya dan memberikan rawatan yang sesuai. Kadangkala, doktor mungkin akan meminta pemeriksaan lanjut. Sila ikut sebaiknya arahan doktor anda.

    Memahami keputusan

    Apa maksud keputusan saya?

    Keputusan ujian pernafasan urea atau ujian antigen najis kebiasaannya tersedia dalam tempoh beberapa jam.

    Keputusan ujian antibodi darah kebiasaannya tersedia dalam tempoh 24 jam.

    Keputusan sampel biopsi melalui endoskopi kebiasaannya tersedia dalam tempoh 48 jam.

    Keputusan sampel biopsi yang dikultur boleh memakan masa sehingga 10 hari.

    Keputusan positif ujian antigen najis, pernafasan urea atau biopsi bermaksud bahawa sakit perut yang dialami oleh seseorang itu berkemungkinan disebabkan oleh ulser peptik oleh bakteria ini. Rawatan dengan gabungan antibiotik dan ubat-ubatan lain akan dipreskrip untuk membunuh bakteria terbabit dan menghilangkan sakit dan ulser.

    Keputusan positif ujian antibodi darah menunjukkan samada jangkitan terkini atau yang lalu. Ujian lain seperti ujian pernafasan mungkin diperlukan sebagai susulan untuk memastikan ia adalah jangkitan terkini.

    Keputusan negatif bermaksud bahawa seseorang itu tidak berkemungkinan mempunyai jangkitan H. Pylori dan tanda-tanda serta simptom-simptomnya mungkin disebabkan penyakit lain. Walaubagaimanapun, jika simptom-simptom tersebut kekal, ujian tambahan boleh dilakukan termasuk ujian invasif seperti biopsi tisu untuk menyingkirkan kebarangkalian jangkitan dengan lebih konklusif.

    Julat normal bagi ujian-ujian H. pylori mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

    Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan ujian H. pylori, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Firdaus Rahim · Disemak pada 27/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan