Kusta: Adakah Masih Ada Harapan Untuk Sembuh?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kusta sering dianggap sebagai satu penyakit yang sangat mengerikan. Dengan kecacatan pada kulit, muka, dan jari yang menakutkan, ia telah membentuk sebuah stigma dalam masyarakat. Ramai yang mungkin menyangka bahawa penyakit ini tiada penawarnya dan pesakit perlu hidup merana seumur hidup. Adakah dakwaan ini benar?

Kusta bukan lagi penyakit seumur hidup

Juga dikenali sebagai leprosy, penyakit kulit ini telah direkodkan oleh manusia sejak ribuan tahun lepas. Jika dahulu, pesakit mungkin terpaksa melalui saki baki hidupnya dengan penyakit ini bermula daripada hari simptom berlaku.

Bukan sahaja menjejaskan penampilan, pergerakan juga menjadi terbatas apabila jari-jari kaki dan tangan mula terjejas sehingga menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada orang lain.

Itu adalah kisah lama. Segala-galanya berubah apabila rawatan efektif bagi penyakit kusta mula ditemui bermula pada awal abad ke-20. Rawatan dalam bentuk gabungan beberapa ubat-ubatan ini memberi harapan baru kepada pesakit kusta. Ia bukan sahaja mampu mengawal simptom, malah boleh merawat penyakit tersebut sepenuhnya.

Rawatan kusta menggunakan gabungan ubat-ubatan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui jawatankuasa pakar memperkenalkan terapi gabungan ubat-ubatan pada tahun 1984. Sejak daripada itu, ia telah menjadi rawatan standard bagi penyakit kusta di seluruh dunia. Ia juga telah diberikan secara percuma atas pembiyaan oleh WHO kepada seluruh pesakit di negara-negara yang mencatatkan statistik penyakit ini yang tinggi.

Gabungan ubat-ubatan ini terdiri daripada antibiotik, anti-radang, dan ubat yang bertujuan untuk melemahkan sistem imun. Bergantung kepada jenis dan tahap penyakit, gabungan ubat-ubatan yang berbeza akan diberikan.

Antara ubat utama yang digunakan termasuk rifampicin, clofazimine dan dapsone.

Bersama membantu pesakit kusta

Penyakit ini hanya akan berjaya dikawal dengan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, masyarakat, dan ahli keluarga. Hentikan stigma terhadap mereka. Sebaliknya, berikan mereka motivasi serta semangat untuk meneruskan hidup.

Semua pesakit mempunyai harapan untuk sembuh melalui rawatan yang betul pada waktu yang tepat. Oleh itu, jangan padamkan harapan tersebut!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut