Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak Sedunia: Tip Ibu Bapa KUAT Hadapi Anak Hidap Kanser

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kanser adalah satu diagnosis penyakit kesan daripada ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan.

Ia bukanlah satu diagnosis yang mudah diterima oleh pesakit jika dibandingkan dengan penyakit lain seperti masalah jantung dan kencing manis. Ini berikutan potensi kesembuhannya yang sering dikaitkan dengan peratusan rendah dan risiko kematian yang tinggi.

Kanser boleh dialami oleh orang dewasa dan kanak-kanak. Ia merupakan penyakit yang tidak mengenal usia dan kebanyakannya tidak menunjukkan gejala yang jelas. 

Artikel ini akan membincangkan peranan ibu bapa terhadap kanak-kanak yang mengalami kanser. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Reaksi ibu bapa apabila anak didiagnosis dengan masalah kanser 

risau

Kanser dalam kanak-kanak bukanlah satu perkara yang asing. Punca kepada berlakunya kanser tersebut tidak mempunyai penerangan yang jelas.

Namun, penyakit ini berbeza dengan orang dewasa, ia tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan faktor risiko persekitaran atau gaya hidup.

Kemajuan teknologi masa kini telah meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah kanser. Sebagai contoh, kanser leukemia limfoblastik akut yang lazim dialami dalam kalangan kanak-kanak dianggap sebagai kanser yang tidak mempunyai penawar pada tahun 1950-an.

Namun, kini, rawatan kemoterapi telah meningkatkan kebarangkalian sebanyak 90% bagi kanak-kanak untuk hidup dalam tempoh masa 5 tahun selepas diagnosis. Majoriti kanak-kanak tersebut akan sembuh daripada kanser terbabit.

Walau bagaimana maju teknologi perubatan sekalipun, tidak dinafikan bahawa diagnosis kanser dalam kalangan kanak-kanak sememangnya berat untuk diterima oleh pasangan suami isteri. Bukan senang tau seorang ibu hendak melahirkan anak. Kini mereka terpaksa menerima dugaan yang lebih besar.

Kanser bukan sahaja mempengaruhi pesakit, malah individu di sekeliling mereka turut merasai bahangnya. Elisabeth Kubler-Ross pernah cuba untuk menerangkan 5 fasa ratapan (stages of grief) bagi mereka yang menerima diagnosis kanser.

  • Penafian (Denial)
  • Kemarahan (Anger)
  • Tawar-menawar (Bargaining)
  • Kemurungan (Depression)
  • Penerimaan (Acceptance)

Namun, sebahagian besar daripada mereka yang mempunyai anak dengan masalah kanser kebiasaannya cenderung untuk memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi bagi membantu merawat penyakit tersebut. Ini bermakna tempoh 5 fasa ratapan itu pendek berbanding dengan pesakit dewasa yang menerima diagnosis kanser.

Dalam konteks kanser kanak-kanak, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan anak terhadap diagnosis kanser.

Kawal emosi anda dan beri tumpuan sepenuhnya kepada rawatan anak

masalah kanser

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tahap penerimaan ibu bapa terhadap diagnosis kanser anak-anak bergantung kepada persepsi mereka.

Tiada kata-kata yang sesuai bagi menerangkan betapa tidak stabilnya emosi mereka ketika melihat anak mereka yang sedang melalui rawatan kanser.

Rawatan tersebut boleh memberikan kesan sampingan yang teruk seperti mual, muntah dan keguguran rambut

Walaupun nasihat dan petua bagi mempersiapkan ibu bapa untuk menghadapi cabaran tidak membantu sepenuhnya, namun ia boleh meringankan bebanan emosi mereka.

Berikut merupakan tip yang boleh diamalkan bagi mereka yang mempunyai anak dengan masalah kanser.

  • Kaji dan cari maklumat berkenaan dengan rawatan dan cara penjagaan anak dengan masalah kanser
  • Jika terdapat kekeliruan maklumat, tanyakan kepada doktor anda bagi memastikan maklumat tersebut mempunyai sumber yang boleh dipercayai 
  • Jangan cuba untuk menghadapi dugaan kanser ini berseorangan. Luahkan perasaan anda kepada ahli keluarga terdekat atau dapatkan bantuan profesional bagi memenuhi keperluan emosi. Ingat, tahap penerimaan anak anda bergantung kepada sikap anda terhadap diagnosis kanser tersebut
  • Jika anda bekerja, jangan malu untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga anda bagi menjaga anak anda
  • Kebanyakan ibu bapa terlalu memberikan perhatian kepada kebajikan anak yang didiagnosis kanser sehingga terlupa akan kebajikan diri sendiri. Sekali-sekala, tidak salah untuk anda keluar berjalan-jalan, membeli-belah atau menonton wayang. Ia penting untuk memastikan kesihatan mental anda berada pada tahap yang baik. Penjagaan kanak-kanak kanser ibarat larian maraton. Perjalanannya masih jauh maka penting untuk anda mempunyai stamina yang mencukupi
  • Sertai perbincangan meja bulat atau kumpulan ibu bapa yang turut mempunyai anak dengan masalah kanser. Minta nasihat, tunjuk ajar dan berikan tip bagi mereka yang memerlukan
  • Minta maklumat atau bantuan daripada organisasi bukan kerajaan yang berkaitan dengan kanser. Jika anda memerlukan bantuan kewangan bagi membiayai rawatan kanser, rujuk syarikat insurans anda, baitulmal atau jabatan kebajikan masyarakat

Tahap kesembuhan kanser kanak-kanak

masalah kanser

Pada suatu masa dahulu, diagnosis kanser dalam kalangan kanak-kanak ibarat hukuman mati. Walau bagaimanapun, teknologi perubatan menjadi semakin canggih saban tahun dan kini, 80% daripada kanak-kanak yang didiagnosis boleh hidup dalam jangka masa panjang.

Perkara ini berlaku hasil daripada kajian dan pemahaman yang mendalam oleh ahli akademik terhadap subjek kanser. Kesan sampingan rawatan kanser juga berada dalam keadaan terkawal. Kini, mereka yang mengalami simptom teruk hanyalah segelintir daripada populasi yang menerima rawatan kanser.

Suatu ketika dahulu, mereka yang menjalani rawatan kanser limfoma Hodgkin berisiko untuk mendapat kanser perut. Kini, risiko itu berada pada tahap minimum dan mereka yang mengalami kanser terbabit mempunyai kadar peratusan 83% untuk hidup dalam jangka masa panjang.

Kebanyakan kanser kanak-kanak mempunyai kebarangkalian untuk sembuh yang tinggi jika didiagnosis pada peringkat awal. Perkara ini bergantung kepada tahap kesedaran ibu bapa bagi mendapatkan rawatan ketika si kecil mengalami simptom yang tidak jelas menunjukkan jenis penyakit yang dialaminya.

Sebagai contoh, mereka yang mengalami leukemia boleh mendapat simptom lebam. Kebanyakan ibu bapa memandang ringan akan masalah ini dan jika mereka risau sekalipun, mereka lebih cenderung untuk berubat dengan menggunakan kaedah tradisional.

Ibu bapa perlu tahu bahawa jika anak dibawa kepada doktor dan didiagnosis kanser pada peringkat awal, kebarangkalian untuk mereka hidup lebih lama atau sembuh sepenuhnya adalah bergantung tinggi kepada jenis kanser.

Tidak kiralah kanser apa sekalipun, jika dibawa lambat untuk mendapatkan rawatan, risiko kematian berada pada tahap yang tinggi.

Konklusi

Kanser bukanlah penyakit yang mudah untuk didiagnosis. Tanpa pemeriksaan doktor dan ujian makmal, kebarangkalian untuk terlepas pandang akan masalah kanser tersebut tinggi.

Ini boleh mengakibatkan ibu bapa lambat mendapatkan rawatan untuk anak mereka sekali gus meningkatkan risiko kematian mereka. 

Bersempena dengan Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak Sedunia, marilah bersama-sama kita raikan kejayaan ibu bapa dan anak yang berjaya menempuhi kehidupan mereka ketika diduga dengan diagnosis penyakit kanser.

Diharapkan anda semua terus kuat menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan. 

Baca juga:

Tarikh Reviu Februari 14, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 14, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut