Makanan Tambah Darah Untuk Ibu Hamil Cegah Anemia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sepanjang kehamilan, pelbagai kesukaran dan kesusahan akan dialami oleh wanita yang sedang sarat hamil. Ini ekoran pelbagai perubahan drastik yang berlaku terhadap tubuh badan mereka. Antara yang paling diketahui umum adalah wanita hamil sangat mudah untuk menghidapi anemia kekurangan zat besi. Kondisi yang membimbangkan ini sebenarnya mungkin boleh dicegah dengan lebih awal jika wanita hamil mengambil suplemen zat besi yang disarankan oleh doktor atau makanan tambah darah yang juga telah dicadangkan oleh pakar pemakanan.

Persoalannya, apakah contoh-contoh makanan tambah darah tersebut? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu anemia kekurangan zat besi?

Sebelum itu, kita perlu tahu terlebih dahulu apa itu sebenarnya anemia kekurangan zat besi. Ia adalah satu keadaan di mana badan kekurangan sel darah merah yang sangat penting untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh badan. Anemia sebenarnya mempunyai banyak jenis namun anemia kekurangan zat besi (iron deficiency) adalah yang paling kerap dihidapi oleh individu terutamanya wanita hamil dan juga kanak-kanak.

Anemia akibat kekurangan zat besi akan terjadi apabila tubuh badan individu mengalami kekurangan zat besi untuk menghasilkan sel darah merah yang bermutu. Zat besi pula merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sel darah merah. Kekurangannya akan mengakibatkan badan tidak mampu menghasilkan hemoglobin (Hb) iaitu sejenis protein penting dalam sel darah merah yang mencukupi untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh badan.

Apa gejala anemia kekurangan zat besi?

Kondisi ini seterusnya akan mengakibatkan tubuh badan kekurangan sel darah merah dan akan mengalami pelbagai gejala yang agak membimbangkan seperti:

  • Kerap letih
  • Mudah marah
  • Pening kepala
  • Sukar menumpukan perhatian
  • Kurang selera makan
  • Keinginan untuk makan ais atau yang bahan bukan makanan
  • Mata putih kelihatan kebiruan
  • Kuku rapuh dan senang patah
  • Tangan dan kaki sejuk
  • Kulit pucat
  • Lidah pedih
  • Berasa pusing kepala apabila berdiri dari posisi duduk
  • Degupan jantung menjadi cepat
  • Sesak nafas

Pada awalnya, anemia kekurangan zat besi boleh jadi terlalu sederhana dan boleh hilang secara sendiri tanpa disedari oleh anda. Tetapi apabila tubuh badan anda mengalami kekurangan zat besi yang melampau dan anemia bertambah teruk, tanda dan simptom anemia akan menjadi semakin kuat.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang gejala anemia kekurangan zat besi, sila berjumpa dengan doktor.

Apa yang menyebabkan anemia kekurangan zat besi?

Anemia kekurangan zat besi akan terjadi apabila badan anda tidak mempunyai zat besi yang mencukupi bagi menghasilkan hemoglobin. Hemoglobin adalah bahagian sel darah merah yang membuatkan darah berwarna merah dan membolehkan sel darah merah membawa darah yang dioksigenkan ke seluruh tubuh badan.

Jika anda tidak mengambil zat besi yang mencukupi, atau anda kehilangan terlalu banyak zat besi, tubuh badan anda tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi lalu menyebabkan anda menghidapi anemia kekurangan zat besi.

makanan tambah darah

Punca-punca bagi anemia kekurangan zat besi

  • Kehilangan darah

Darah mengandungi zat besi di dalam sel darah merah. Jadi jika anda kehilangan darah, anda juga hilang sedikit zat besi. Wanita dengan haid yang banyak berisiko untuk mengalami anemia kekurangan zat besi kerana mereka banyak hilang darah semasa haid.

Kehilangan darah secara perlahan-lahan, kronik di dalam badan – seperti ulser peptik, hernia hiatal, polip kolon atau kanser kolorektum – boleh menyebabkan anemia kurang zat besi. Pendarahan gastrousus akibat selalu menggunakan beberapa ubat tahan sakit tanpa preskripsi, terutamanya aspirin.

  • Kurang zat besi di dalam diet anda

Tubuh badan anda akan mendapat zat besi daripada makanan yang anda makan. Jika anda mengambil terlalu sedikit zat besi, lama-kelamaan tubuh badan anda akan mengalami kekurangan zat besi.

Contoh makanan yang kaya dengan zat besi termasuklah daging, telur, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai makanan yang diperkuat dengan zat besi. Untuk tumbesaran dan perkembangan yang baik, bayi dan kanak-kanak memerlukan zat besi dalam diet pemakanan mereka.

  • Ketidakakupayaan untuk menyerap zat besi

Zat besi daripada makanan akan diserap ke dalam saluran darah di dalam usus kecil anda. Gangguan usus, seperti penyakit seliak, yang mana mengganggu kebolehan usus anda untuk menyerap nutrien daripada makanan yang telah dicernakan, boleh menyebabkan anda mengalami  anemia kekurangan zat besi.

Sekiranya sebahagian daripada usus anda telah dibuat pintasan atau dibuang melalui pembedahan, perkara ini boleh menganggu kebolehan usus anda untuk menyerap zat besi dan pelbagai nutrien lain.

Tanpa makanan tambahan zat besi, anemia kekurangan zat besi akan berlaku pada ramai wanita hamil kerana simpanan zat besi mereka perlu menampung kuantiti darah yang meningkat serta menjadi sumber kepada hemoglobin bagi fetus yang sedang membesar.

Apa kebarangkalian anemia kekurangan zat besi berlaku?

Anemia kekurangan zat besi sebenarnya sangat biasa berlaku, terutamanya dalam kalangan wanita dan individu yang mengamalkan diet kurang zat besi. Skop ini juga mungkin dapat dikecilkan lagi kepada wanita yang sedang hamil dan juga kanak-kanak. Perkara ini dapat dikawal dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bila anda harus mendapatkan khidmat doktor?

Sekiranya anda mengalami tanda dan simptom yang menunjukkan anemia kekurangan zat besi, segera berhubung atau berjumpa doktor anda. Anda perlu tahu bahawa anemia kekurangan zat besi bukan sesuatu yang boleh didiagnosis atau dirawat dengan sendiri.

Oleh itu, segera mendapatkan khidmat doktor untuk diagnosis terlebih dahulu daripada bertindak mengambil makanan tambahan zat besi secara sendiri tanpa arahan atau saranan pakar pemakanan. Terlalu banyak zat besi di dalam badan sebenarnya boleh jadi berbahaya kerana lebihan zat besi yang terkumpul dalam tubuh badan boleh merosakkan hati dan mengakibatkan komplikasi-komplikasi lain.

makanan tambah darah

Kaitan kekurangan zat besi dan kehamilan

Kekurangan zat besi dan kehamilan mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini kerana kedua-duanya akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap satu sama lain.

Jika anda menghidapi anemia, iaitu masalah kekurangan zat besi, ia bermakna tubuh badan anda sedang mengalami kekurangan sel darah merah sihat – yang bertanggungjawab menghantar oksigen ke seluruh tisu badan anda. Apabila anda sedang hamil, anda akan lebih cenderung untuk menghidapi anemia kekurangan zat besi.

Kenapa anda menghidapi anemia kekurangan zat besi semasa hamil?

Tubuh badan kita memerlukan zat besi untuk menghasilkan hemoglobin – iaitu sejenis protein penting yang wujud di dalam sel darah merah. Semasa sedang sarat hamil, badan anda memerlukan dua kali ganda daripada kuantiti yang biasa diperlukan kerana ia perlu membuat lebih banyak darah untuk bayi anda. Jika tubuh anda tidak mendapat zat besi yang diperlukan, anda akan mendapat anemia kekurangan zat besi.

Adakah anemia kekurangan zat besi membahayakan bayi anda?

Ya, ia sememangnya akan mendatangkan bahaya kepada bayi anda. Anemia yang teruk semasa hamil akan menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan seperti kelahiran bayi pramatang, kelahiran bayi kurang berat semasa lahir, atau lebih menakutkan, meroyan. Beberapa kajian juga mendapati kaitan antara masalah ini dengan kematian bayi (sejurus sebelum atau selepas proses kelahiran).

Adakah anda berisiko untuk mendapat anemia kekurangan zat besi semasa kehamilan?

Anda lebih berisiko untuk mendapat anemia kekurangan zat besi jika anda mengalami keadaan seperti berikut:

  • Kehamilan jarak dekat
  • Kehamilan ramai (kembar)
  • Alahan ketika hamil yang teruk
  • Kekurangan zat besi
  • Haid sebelum hamil yang banyak kauntitinya
  • Sejarah anemia

Bagaimanakah untuk mengetahui jika anda menghidap anemia kekurangan zat besi?

Simptom yang sering terjadi termasuklah:

  • Keletihan dan lemah
  • Pucat
  • Perubahan dalam detak jantung
  • Sukar bernafas
  • Pening kepala atau rasa berpusing
  • Sakit dada
  • Tangan dan kaki sejuk
  • Sakit kepala

Simptom yang disebut mungkin mirip dengan simptom kehamilan yang biasa sahaja, jadi ia mungkin agak sukar untuk dikenal pasti dengan sendiri. Walau bagaimanapun, semasa pemeriksaan pranatal, doktor anda biasanya akan melakukan ujian darah untuk melihat jika anemia atau keadaan lain ada berlaku pada diri anda.

Bagaimana mahu menangani anemia kekurangan zat besi semasa mengandung?

Mengambil vitamin pranatal seperti yang doktor telah arahkan dan sarankan membantu membekalkan badan anda dengan zat besi yang diperlukan, lalu mengurangkan risiko untuk mendapat anemia kurang zat besi. Wanita hamil memerlukan 27 mg zat besi setiap hari. Jadi, doktor anda mungkin memberi anda suplemen zat besi yang berasingan.

Anda juga akan mendapatkan manfaat daripada diet pemakanan yang seimbang. Sumber zat besi yang bagus termasuklah daging merah, daging ayam, ikan, bijirin sarapan yang mengandungi zat besi, jus prun, kekacang kering dan kacang pea. Untuk membantu badan menyerap zat besi dengan lebih baik, tambahkan makanan atau minuman yang mempunyai tinggi kandungan vitamin C seperti jus sitrus atau strawberi.

Walau bagaimanapun, jika anda mengambil suplemen zat besi berserta vitamin C, sila jauhi diri anda daripada pengambilan kalsium yang terlalu banyak. Meskipun kalsium mempunyai khasiatnya yang tersendiri, ia mungkin akan membantutkan penyerapan zat besi.

Jika keadaan anda ini disebabkan oleh penyakit lain yang sedia ada, doktor anda akan merujuk anda kepada mereka yang pakar dalam yang merawat penyakit berkaitan darah (juga dikenali sebagai hematologis). Jika tubuh anda tidak mampu menyerap zat besi yang diambil secara oral, anda mungkin memerlukan kemasukan melalui parentral.

makanan tambah darah

Makanan tambah darah yang ibu hamil boleh ambil

Dalam usaha mencegah anemia, ibu hamil perlu mengambil supleman zat besi atau makanan tambah darah. Ini sangat penting untuk pertumbuhan bayi yang sihat dan mengelakkan komplikasi seperti kelahiran bayi pramatang. Berikut merupakan antara makanan tambah darah yang ibu hamil boleh ambil:

Makanan tambah darah #1. Daging merah

Seperti yang kebanyakan kita tahu, zat besi daripada sumber daging merah seperti lembu dan kambing adalah sangat mudah diserap ke dalam tubuh badan kita berbanding sumber makanan yang lain. Oleh itu, ia sangat membantu untuk wanita hamil mencegah anemia.

Makanan tambah darah #2. Hati ayam

Menurut pakar pemakanan, makan hati ayam dapat menambah kepekatan darah dalam tubuh badan kita. Pun begitu, anda disarankan untuk tidak mengambilnya terlalu kerap kerana organ dalaman haiwan adalah tidak baik untuk kesihatan janin dalam kandungan.

Makanan tambah darah #3. Kerang

Selain makanan darat, ada juga makanan laut yang mampu membantu wanita hamil mencegah anemia. Makanan laut tersebut adalah kerang. Namun begitu, anda harus memastikan ia dimasak sepenuhnya terlebih dahulu kerana dengan memakannya secara mentah adalah tidak bagus.

Makanan tambah darah #4. Pisang

Buah pisang dapat membantu menambah sel darah merah dalam tubuh badan wanita hamil. Oleh itu, anda perlu ambil makan ia sekurang-kurangnya 2 biji setiap hari kerana asid folik yang terkandung di dalamnya dapat membantu menghasilkan sel baru dan membantu perkembangan janin.

Makanan tambah darah #5. Delima

Selain buah pisang, buah delima juga sebenarnya mampu mengurangkan gejala-gejala dan tanda-tanda anemia. Ini sekali gus dapat membantu wanita hamil mempertahankan jumlah sel darah yang mencukupi sepanjang tempoh kehamilan.

Makanan tambah darah #6. Bayam

Anda semua perlu tahu bahawa sayur bayam adalah sayur yang paling bagus dimakan oleh wanita hamil berbanding sayur-sayuran yang lain kerana ia mengandungi zat besi yang sangat tinggi untuk mencegah anemia.

Makanan tambah darah #7. Brokoli

Selain sayur bayam, sayur brokoli juga merupakan antara contoh sayur-sayuran yang mampu membantu wanita hamil mencegah anemia. Ini kerana brokoli mengandungi antioksidan yang mampu melawan penyakit dan jangkitan lalu melindungi kehamilan.

Makanan tambah darah #8. Kuning telur

Kadangkala, kita akan berasa pelik dan aneh jika ada individu hanya makan kuning telur sahaja. Pun begitu, ia perlu dilakukan oleh wanita hamil kerana ia mengandungi nutrien yang dapat menambah dan mengekalkan sel darah merah dan haemoglobin di dalamnya.

Makanan tambah darah #9. Kekacang

Selain daging, sayur dan buah, kekacang juga adalah antara jenis makanan yang mampu membantu wanita hamil mencegah anemia. Anda boleh ambil ia sebagai snek dan ia sekali gus dapat membantu menambah sel darah merah anda.

Makanan tambah darah #10. Madu, kurma & kismis

Doktor menegaskan bahawa individu yang menghidapi anemia perlu menggantikan gula dengan madu dalam makanan dan minuman mereka. Di samping itu, ambil kurma dan kismis kerana ia mampu membantu meningkatkan sel darah merah dan memberi tenaga tambahan buat wanita yang sedang hamil.

Makanan tambah darah #11. Oat

Akhir sekali, ia mungkin berita baik buat penggemar oat. Ini kerana oat adalah mineral yang sangat bagus untuk tubuh badan semasa hamil malah sangat mudah dicernakan. Paling penting, ia juga mampu membantu menambah sel darah merah dalam tubuh badan.

Selain daripada pemakanan, pengamalan gaya hidup sihat juga perlu dilakukan. Sebaiknya, anda sebagai wanita hamil perlu patuh kepada arahan dan saranan doktor untuk melawan dan mencegah anemia.  

Konklusi

Konklusinya, anemia kekurangan zat besi banyak berlaku terhadap wanita hamil. Ini mungkin berlaku disebabkan oleh diet pemakanan dan gaya hidup yang tidak bagus. Disebabkan itu, anda sebagai wanita hamil perlu lebih berhati-hati dalam mengamalkan diet pemakanan dan gaya hidup yang tertentu. Sebaiknya, tidak perlu tunggu sehingga anda hamil kerana setiap individu juga perlu menjalani kehidupan dengan lebih sihat agar sentiasa hidup dalam kesejahteraan dan kebahagiaan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut