Minggu demi minggu

Perkembangan Janin Minggu ke-34: Tulang bayi anda semakin kuat!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Perkembangan bayi

Perkembangan bayi dalam kandungan  

Bayi anda kini seperti saiz sebiji tembikai susu, dengan berat sekitar 2.15 kg dan kepanjangan 46 cm daripada kepala ke tumit. Pada waktu ini kebanyakan bayi berada dalam posisi untuk kelahiran dan doktor dapat menentukan jika bayi anda berposisi kepala atau kaki dahulu.

Pengambilan kalsium sangat penting sewaktu kehamilan kerana bayi anda akan mengambil kalsium daripada ibunya untuk perkembangan tulang. Jika anda tidak mengambil kalsium yang mencukupi, ini akan memberi kesan kepada tulang anda sendiri kerana bayi anda akan mengambil mineral daripada struktur tulang anda mengikut keperluannya.

Lapisan vernix kulit bayi anda bertambah tebal, sementara bulu halus lanugo hampir kesemuanya telah hilang.

Perubahan hidup & tubuh badan

Bagaimanakah perubahan badan saya?

Pada minggu ini, rasa penat mungkin telah kembali lagi, walaupun bukan seperti trimester pertama anda. Rasa penat ini biasa berlaku disebabkan beban fizikal dan tidur yang terganggu dengan keperluan ke tandas dan asyik menukar posisi badan supaya selesa.

Sekarang adalah masa menyimpan tenaga untuk hari kelahiran dan selepasnya. Jika anda duduk atau berbaring untuk waktu yang lama, jangan bangun dengan terlalu cepat. Darah boleh terkumpul pada kaki, menyebabkan tekanan darah rendah yang membuatkan anda berasa pening apabila bangun terlalu cepat. Jika anda mendapati benjolan merah yang menggatalkan pada perut dan juga peha serta punggung, anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil papul urtikaria pruritik dan plak kehamilan.

Hampir 1 peratus wanita hamil mengalami papul urtikaria pruritik dan plak kehamilan, yang tidak berbahaya tetapi menjadikan anda tidak selesa. Temui doktor untuk memastikan ini bukan masalah yang lebih serius, dan rujuk kepada pakar kulit (dermatologis) jika perlu. Maklumkan doktor juga jika anda mengalami rasa gatal yang teruk di seluruh badan, sekalipun anda tidak mengalami sebarang ruam kerana ia mungkin petanda masalah hati.

Apakah yang perlu saya beri perhatian?

Lebih daripada 85 peratus wanita mempunyai plug mukus yang tidak terjejas sewaktu kelahiran. Dan sekalipun anda merupakan wanita dalam kalangan 15 peratus yang kehilangan plug mukus sebelum kelahiran, air ketuban tidak semestinya akan keluar. Melainkan anda berbaring, air ketuban jarang sekali mengalir keluar dan menitik kerana sewaktu berdiri, kepala bayi anda bertindak seperti penutup yang menutupi pembukaan uterus dan memastikan air ketuban masih di dalam.

Pertemuan dengan doktor

Apa yang harus saya maklumkan pada doktor?

Anda patut membincangkan setiap khidmat logistik untuk kelahiran bayi anda. Tulis maklumat yang penting kerana anda mungkin lupa semuanya sewaktu kontraksi berlaku. Pastikan anda mengetahui tempat terbaik untuk bersalin, bagaimana hendak ke sana, dan bantuan jika tiada sesiapa yang dapat menghantar anda ke sana.

Apakah ujian yang perlu saya tahu?

Doktor akan menganggar saiz bayi anda dan meramalkan waktu kelahiran. Anda mungkin perlu menjalani pelbagai ujian bergantung kepada keperluan anda dan kehendak doktor, ini termasuklah:

  • Timbang berat (penambahan berat badan akan berhenti atau berkurang pada waktu ini);
  • Tekanan darah (mungkin lebih tinggi berbanding timester kedua);
  • Ujian air kencing untuk memeriksa tahap gula dan protein;
  • Vena varikos pada kaki, bengkak pada tangan dan kaki;
  • Pemeriksaan degupan jantung janin;
  • Ukuran saiz rahim melalui pemeriksaan luar untuk dibandingkan dengan waktu kelahiran;
  • Ketinggian fundus (bahagian atas rahim);
  • Saiz fetus, arah kelahiran (kepala atau punggung dahulu), kedudukan (muka ke bawah atau ke atas) melalui pemeriksaan dengan sentuhan dari luar.
  • Simptom atau tanda yang tidak normal;
  • Sediakan senarai soalan atau isu yang anda mahu bincangkan dengan doktor anda.

Kesihatan & keselamatan

Apakah yang perlu saya tahu untuk kesihatan dan keselamatan semasa hamil?

Selagi mana kadar bahan kimia diawasi, berenang dalam kolam renang yang diklorinkan tidak membawa sebarang masalah. Bahkan membuatkan anda berasa lebih baik, terutamanya sewaktu hujung kehamilan kerana dapat mengimbangkan diri dalam air dan rasa tidak menanggung berat.

Hingga kini tidak ada data yang menunjukkan terdapat risiko kecacatan kelahiran disebabkan berenang dalam kolam yang diklorinkan. Berenang dalam kolam yang tidak diklorinkan mungkin lebih berbahaya, memandangkan ahli renang sering kali menghidap jangkitan kulit.

Bagaimanakah pertumbuhan bayi anda minggu hadapan?

Hello Health Group tidak memberikan sebarang khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut