Minggu demi minggu

Ketahui 24 tanda-tanda awal kehamilan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Lazimnya, para ibu akan mendapat tahu status kehamilan masing-masing seawal minggu ke 4. Pelbagai simptom boleh dialami ketika saat anda didiagnosis dengan kehamilan. Artikel ini akan menerangkan 24 cara nak tahu hamil atau tidak berdasarkan simptom yang dialami.

1. Lambat datang haid

Apabila janin telah terbenam pada dinding rahim ibu, hormon human chorionic gonadotropin (hCG) akan dirembeskan. Ia bagi mengelakkan berlakunya proses ovulasi dan haid. 

Kebanyakan wanita akan mula sedar seawal 4 minggu kehamilan jika mereka mengira kitaran haid mereka. 

2. Pendarahan ringan

Ramai wanita seringkali tersalah anggap bahawa tompok-tompok pendarahan yang dialami pada fasa awal kehamilan itu haid. Ia merupakan darah yang keluar seusai janin berjaya membenamkan dirinya ke dalam dinding rahim.

Pendarahan tersebut mempunyai warna yang lebih cair dan kuantiti yang sedikit. 

3. Sakit dan kekejangan perut

Apabila anda mengalami pendarahan ringan, kebanyakan wanita turut mengalami kekejangan pada bahagian perut. 

Kajian pada tahun 2011 oleh Universiti North Carolina telah menunjukkan bahawa 28% daripada 4,539 wanita mengalami simptom kesakitan apabila berlaku pendarahan ringan.

4. Suhu badan naik

Kenaikan suhu badan juga merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Namun perlu diingatkan juga, simptom ini agak tidak spesifik. 

Anda boleh mengalaminya ketika sedang bersenam atau ketika cuaca panas.

5. Kelesuan

Apabila hormon progesteron anda memuncak, anda akan mudah untuk berasa letih dan mengantuk. Ini berikutan progesteron juga memainkan peranan penting dalam kitaran tidur jaga.

Cuba dapatkan tidur yang cukup untuk memaksimumkan masa rehat anda.

6. Rasa berdebar-debar

Ini merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Jumlah isi padu darah di dalam badan anda akan meningkat menyebabkan jantung anda berdegup 25% lebih pantas daripada kadar normal.

Jika anda mempunyai masalah jantung, dapatkan nasihat kesihatan daripada doktor anda.

7. Payudara semakin besar

Mungkin ini merupakan masa untuk anda membeli bra baharu? Perubahan pada saiz payudara merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Ia disebabkan oleh perubahan hormon mendadak yang ingin menyediakan diri anda untuk kelahiran bayi.

Puting (areola) anda juga akan menjadi semakin besar dan menghitam.

8. Perubahan mood semasa hamil

Wanita hamil cepat beremosi, kan? Ini semua disebabkan oleh perubahan hormon. Jika anda merasakan pasangan anda mudah melenting atau merajuk daripada biasa, itu juga merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak.

Pujuk mereka. Wanita hamil mudah mendapat masalah kemurungan, keresahan atau kegembiraan yang melampau.

9. Kerap kencing

Apabila jumlah isi padu darah di dalam badan anda meningkat, buah pinggang juga terpaksa bekerja keras bagi memastikan sistem fisiologi badan berada pada paras yang optimum.

Keadaan ini boleh menyebabkan air kencing berkumpul dengan lebih laju di dalam pundi kencing. Minum air secukupnya dan jangan menahan kencing.

10. Perut kembung

Keadaan ini kebiasaannya berlaku selepas makan. Proses penghadaman anda menjadi perlahan berikutan perubahan hormon yang berlaku. 

Jangan risau, apabila badan anda sudah biasa, simptom ini kebiasaannya kurang berlaku. Amalkan gaya pemakanan sihat.

11. Sembelit

Perubahan hormon bukan sahaja akan membuatkan anda rasa kembung perut, ia juga boleh menyebabkan sembelit. Apabila anda mengalami simptom ini, perut anda akan bertambah kembung menyebabkan anda berasa tidak selesa.

Ambil makanan berserat pada kuantiti yang banyak dan minum air secukupnya. 

12. Mabuk hamil

Mabuk hamil (morning sickness) kebiasaannya berlaku pada minggu ke empat kehamilan. Badan anda masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan peningkatan hormon. 

Ini boleh menyebabkan berlakunya simptom muntah dan loya yang kerap kali menjadi salah satu cara nak tahu hamil atau tidak.

13. Sensitif pada bau

Banyak kajian telah membuktikan bahawa wanita hamil lebih sensitif kepada bau terutamanya pada trimester pertama. 

Setakat ini tiada bukti spesifik yang dapat menerangkan mekanisme simptom ini namun ia merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak dan kerap kali dilaporkan pada doktor.

14. Loya dan muntah

Berbeza dengan mabuk hamil yang disebabkan oleh hormon, wanita yang sensitif kepada bau berisiko untuk mengalami simptom loya dan muntah.

Perkara ini juga boleh mempengaruhi tahap selera makan mereka. Maka untuk para suami, jangan pakai baju atau stokin yang sama berulang kali ya?

15. Rasa dunia berpusing

cara nak tahu hamil atau tidak

Pening kepala bukanlah simptom spesifik kepada diagnosis kehamilan namun ia merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Perubahan pada isi padu darah wanita boleh menyebabkan tekanan darah rendah.

Hormon seperti estrogen dan progesteron juga boleh menggalakkan salur darah untuk mengembang menyebabkan tekanan darah anda untuk turun lebih rendah. Anda mungkin akan mengalami simptom pening namun ia akan hilang.

16. Mengidam 

Tiada konsep sains spesifik yang boleh menerangkan fenomena ini namun wanita hamil memang kebiasaannya mengidam untuk makan sesuatu.

Ini merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Penuhilah hasrat mereka dan dalam masa yang sama pastikan makanan tersebut sihat dan berkhasiat.

17. Berat naik

Ini bukanlah tanda awal kehamilan namun, secara perlahan-lahan, berat anda akan naik. Walaupun kenaikan berat badan ini dianggap normal, anda harus memastikan ia berada dalam lingkungan yang sihat mengikut jisim berat badan (BMI) anda.

Jika tidak, anda mudah mendapat penyakit kronik seperti kencing manis jenis II dan masalah berat badan berlebihan selepas bersalin.

18. Pedih ulu hati

Hormon kehamilan boleh menyebabkan spinkter pada bukaan esofagus anda mengendur. Ini membolehkan asid perut untuk memasuki esofagus menyebabkan keradangan pada dinding esofagus.

19. Muka kelihatan berseri

Oleh sebab jumlah isi padu darah dan hormon anda bertambah, lebih banyak darah akan mengalir melalui salur darah menyebabkan kelenjar minyak terpaksa bekerja lebih keras.

Perkara ini boleh menyebabkan kulit anda kelihatan licin dan berseri. 

20. Masalah jerawat

Walaupun peningkatan pada aktiviti kelenjar minyak dianggap positif, buat sesetengah individu, mereka terdedah untuk mendapat masalah jerawat.

Jika ia tumbuh secara mendadak, dapatkan bantuan doktor anda untuk rawatan lanjut.

21. UPT positif

Ini merupakan cara nak tahu hamil atau tidak yang paling mudah. Alat ujian air kencing kehamilan (UPT) boleh mengesan hormon hCG yang meningkat pada awal kehamilan. Pergi ke farmasi dan beli alat tersebut.

Kebanyakan UPT boleh mengesan hormon hCG 8 hari selepas anda terlepas haid.

22. Kurang selera makan

Banyak sebab kenapa isteri anda yang sedang hamil kurang selera makan. Ia boleh disebabkan oleh alahan mengandung yang dialami, kurang vitamin, deria bau terlalu sensitif atau tidak mempunyai mood untuk makan.

Ia mungkin berterusan sehingga anda bersalin, maka adalah lebih baik untuk anda melaporkan kepada doktor.

23. Selera makan bertambah

Setiap wanita mengalami simptom yang berbeza. Ada yang kurang makan, ada juga yang selera makan meningkat secara mendadak. 

Pastikan anda mengawal pengambilan kalori anda. Kenaikan berat badan mendadak atau berlebihan boleh menyebabkan komplikasi kehamilan dan komplikasi kesihatan dalam jangka masa panjang.

24. Selesema

Ibu hamil mudah untuk mendapat jangkitan virus dan bakteria. Perubahan pada status imun badan mereka menyebabkan mereka mudah untuk mendapat penyakit.

Jika anda sakit, pastikan anda berehat secukupnya dan ambil vaksin influenza jika disarankan.

Konklusi

Kebanyakan tanda-tanda awal kehamilan tersebut bersifat tidak spesifik. Maka, amat penting buat anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 21, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 21, 2020

Rujukan