“Pica”: Mengidam Bahan Bukan Makanan Semasa Hamil

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apakah itu kondisi Pica?

Mengidam merupakan satu kondisi yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita hamil. Mengidam boleh ditafsirkan sebagai satu keinginan yang muncul secara tiba-tiba semasa hamil terhadap sesuatu jenis makanan. Namun begitu, ada juga wanita hamil yang mengidam untuk makan bahan bukan makanan yang sangat aneh seperti pasir, sabun, kapur dan lain-lain. Kondisi ini dinamakan sebagai Pica.

Kondisi ini sebenarnya bukan sahaja dialami oleh wanita hamil malahan juga boleh berlaku kepada kanak-kanak serta individu yang mempunyai kelainan upaya intelektual. Kebiasaannya, kondisi ini tidaklah bersifat kekal. Sekiranya kondisi ini masih berlaku walaupun selepas anda bersalin, segera berjumpa pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan. Ini bertujuan mengelakkan kesan sampingan yang serius akibat gangguan pemakanan yang aneh ini.

Simptom kondisi Pica

Simptom pica sangat mudah untuk dikenalpasti. Wanita hamil yang mengalami kondisi ini cenderung menunjukkan minat untuk makan bahan bukan makanan seperti:

  • Ais
  • Pasir
  • Sabun
  • Kapur
  • Rambut
  • Cat
  • Gam
  • Butang
  • Abu atau puntung rokok

Selain itu, terdapat banyak lagi bahan bukan makanan yang selalu dijadikan sasaran oleh wanita hamil yang mengalami kondisi ini. Namun begitu, kondisi ini perlu berterusan sehingga satu bulan lamanya untuk disahkan sebagai Pica.

Komplikasi kondisi Pica

Kondisi ini sememangnya akan mendatangkan pelbagai kumudaratan dan komplikasi kesihatan yang serius terhadap wanita hamil. Antaranya:

  • Keracunan makanan yang serius
  • Infeksi parasit
  • Usus tersumbat
  • Tercekik
  • Sembelit
  • Mengurangkan selera makan

Selain itu juga, bahan bukan makanan yang ditelan juga berisiko menghalang penyerapan nutrien oleh wanita hamil sekaligus menjadi punca berlakunya kekurangan zat yang berterusan. Bahan bukan makanan ini juga jelas sekali mempunyai toksik atau kuman yang berbahaya buat wanita hamil dan kandungannya.

Rawatan kondisi Pica

Kondisi ini mampu mendatangkan pelbagai komplikasi kesihatan seperti keracunan makanan yang serius dan akan memberi kesan negatif terhadap bayi dalam kandungan. Oleh itu, langkah untuk merawatnya perlu segera dilakukan. Pertama sekali, segera berjumpa pakar perubatan untuk berbincang mengenai kondisi anda. Dalam pada itu, anda perlu mengambil tahu mengenai status hemoglobin anda bagi memastikannya kekal stabil.

Pakar berpendapat bahawa rawatan yang paling berkesan untuk merawat Pica adalah melalui pengawalan tingkah laku individu itu sendiri. Oleh itu, pemantauan yang rapi perlu dilakukan sepanjang tempoh anda menjalankan rawatan. Kolaborasi bersama pasukan kesihatan mental juga amat diperlukan untuk membantu anda mengawal keinginan aneh anda ini.

Bagi mengalihkan perhatian anda daripada bahan bukan makanan, kunyah sesuatu seperti gula-gula getah tanpa gula. Selain itu, maklumkan kepada individu yang selalu berada di sekeliling anda agar sentiasa memberi sokongan dan mengingatkan anda untuk tidak mengikut keinginan diri sendiri untuk makan bahan bukan makanan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut