backup og meta

Rawatan Alternatif: Patutkah Doktor Menyokong Pilihan Pesakit Kanser?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 27/05/2022

    Rawatan Alternatif: Patutkah Doktor Menyokong Pilihan Pesakit Kanser?

    Dalam dunia perubatan yang semakin berkembang dengan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan, membincangkan isu berkenaan rawatan alternatif menjadi satu topik penting dan perlu diberikan perhatian kerana ia membabitkan pengamal perubatan dan pesakit itu sendiri dalam merawat keadaan kanser.

    Dalam sesi ‘Big Debate‘ sempena Kongres Kanser Dunia pada hari ketiga, topik berkenaan rawatan alternatif menjadi pilihan perbahasan antara Dr Vijaendreh Subramaniam dari Pusat Perubatan Mahkota yang menyokong dan Dr Ednin Hamzah dari Hospis Malaysia yang menentang isu ini.

    Sebelum perdebatan bermula, audien diminta untuk membuat pilihan secara undian sama ada bersetuju atau tidak dengan isu tersebut. Menerusi undian, hasil dapatan awal menunjukkan 56 peratus (%) daripada audien bersetuju dan selebihnya iaitu 44 peratus tidak bersetuju dengan sokongan doktor terhadap pesakit yang memilih rawatan alternatif.

    Ketika hujah pembukaan usul, Dr Vijaendreh menyatakan bahawa daripada 18 juta pesakit kanser, pada tahun ini terdapat 10 juta kematian akibat kanser dan dijangka bertambah pada tahun hadapan.

    “Pesakit terus mencari dan meneroka kerana ia adalah faktor seorang survivor. Apabila pesakit mencari penyelesaian alternatif, mereka tidak mencari sesuatu yang tidak dipercayainya. Ia adalah mengenai pemulihan diri dengan cara menunjukkan kepercayaan dan pengetahuan.

    “Dalam kehidupan, kita perlu ada perancangan A dan B. Anda perlu bersedia jika ada apa-apa kes anda masih mempunyai perancangan alternatif. Ada pesakit kanser payudara tahap ketiga menolak untuk melakukan apa-apa rawatan perubatan termasuk pembedahan atau kimoterapi, tatapi dia hanya mahukan sesuatu yang lain, iaitu alternatif.

    “Terdapat banyak strategi berguna dalam rawatan alternatif. Doktor mempunyai pengetahuan yang seimbang dan kedudukan yang ideal untuk membimbing, memberi inspirasi, motivasi dan menyokong perjalanan mereka. Jika dengan rawatan konvensional, tiada kesan penyembuhan terhadap keadaan pesakit, mengapa tidak membenarkan mereka melakukan rawatan alternatif? Jika rawatan yang ada efektif dan menyelamatkan kanser, mengapa pesakit mencari rawatan alternatif?

    “Oleh itu, untuk membantu pesakit kita perlu memahaminya dan berada disampingnya. Peningkatan kanser payudara akibat rawatan alternatif adalah disebabkan mereka tidak mendapat bimbingan yang baik. Oleh itu, doktor perlu buat satu penyelesaian dan mula belajar mengenainya untuk mencari sesuatu yang bersesuaian dengan pesakit serta membantu pesakit memilih alternatif yang terbaik,” katanya.

    Berbeza dengan Dr Ednin, baginya apabila berurusan dengan pesakit, perkara pertama yang dilakukannya adalah mengenali pesakit itu sendiri. Baginya, beliau mungkin sudah tahu mengenai kanser tetapi tidak tahu mengenai seseorang itu.

    “Jika ingin tahu apa yang pesakit mahu, tiga perkara yang anda perlukan iaitu memahami nilai pesakit, memahami bukti dan kemampuan anda. dengan bukti yang baik tanpa kemampuan, hasil yang baik tidak dapat diperoleh.

    “Ada seorang pesakit kanser yang dikenalinya mempunyai benjolan payudara dan apabila pesakit berkenaan ke hospital, dia didiagnosis kanser payudara. Rawatan yang diterimanya bertindak balas dengan baik, namun akibat desakan daripada keluarga untuk mendapatkan rawatan alternatif, keadaannya menjadi bertambah teruk dan akhirnya dia mati.

    “Terdapat pelbagai pilihan rawatan alternatif termasuk diet, herba, berasaskan haiwan, farmakologi, spiritual dan lain-lain. Tetapi tiada bukti menunjukkannya berhasil dan ia diperlukan, apakah hasil yang diperlukan dan syarat untuk mencapai hasil itu, serta bukti ia adalah bahaya.

    “Sebab rawatan alternatif perlu ditolak adalah isu-isu sumber seperti kekurangan masa dan kos, ketakutan dan ketidakpercayaan, kekurangan bukti, dan kepuasan dengan rawatan konvensional,” katanya.

    Mengakhiri perdebatan ini, Dr Vijaendreh berkata, sebagai penjagaan primer terhadap pesakit kanser, kita perlu ada pengetahuan, menjadi pembimbing yang baik supaya boleh memberi sokongan terhadap perjalanan pesakit kanser. Haknya perlu dilindungi dan suaranya perlu didengari.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 27/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan