Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Nyamuk Kecil, Tapi Risikonya Banyak! Ini Cara Lindungi Keluarga Setiap Hari
Kesan gigitan nyamuk biasanya menyebabkan benjolan kecil, kemerahan dan rasa gatal pada kulit. Namun, gangguan ini bukan satu-satunya perkara yang perlu diberikan perhatian kerana sesetengah nyamuk juga boleh membawa patogen penyebab penyakit. Sebab itulah perlindungan daripada gigitan nyamuk wajar dijadikan amalan harian, bukan hanya ketika kes denggi meningkat.
Malaysia yang mempunyai iklim panas dan lembap menyediakan keadaan atau habitat yang sesuai untuk nyamuk hidup dan membiak.
Mengenali nyamuk serta memahami risiko gigitannya boleh membantu anda mengambil langkah perlindungan yang lebih konsisten untuk diri sendiri dan keluarga.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, sila dapatkannya di sini.
Jenis nyamuk di Malaysia yang biasa ditemui
Antara jenis nyamuk di Malaysia yang penting untuk diketahui dari sudut kesihatan ialah nyamuk daripada genus Aedes, Anopheles dan Culex.
Setiap genus mempunyai habitat, waktu aktif dan potensi membawa penyakit yang berbeza.
Contohnya,Aedes aegypti danAedes albopictus dikaitkan dengan penularan denggi dan beberapa penyakit virus lain.1
Anopheles pula merupakan vektor utama jangkitan malaria,2 manakala beberapa spesies Culex boleh terlibat dalam penularan jangkitan Japanese Encephalitis (JE).3
Oleh sebab terdapat pelbagai jenis nyamuk di Malaysia, mengelakkan gigitan merupakan antara langkah perlindungan peribadi yang boleh diamalkan selain mengawal tempat pembiakan nyamuk di persekitaran.
Kenapa kena gigit nyamuk gatal? Ini yang sebenarnya berlaku pada kulit
Kenapa kena gigit nyamuk gatal? Apabila nyamuk betina menggigit, ia memasukkan air liur ke dalam kulit ketika menghisap darah.
Sistem imun tubuh kemudian bertindak balas terhadap komponen dalam air liur tersebut, lalu boleh menyebabkan rasa gatal, kemerahan dan bengkak kecil.4
Reaksi setiap individu juga tidak semestinya sama. Ada yang mengalami kesan gigitan nyamuk ringan, manakala individu lain mungkin mendapat benjol dan kegatalan yang lebih ketara.
Walaupun terasa tidak selesa, cuba elakkan menggaru kawasan gigitan secara berlebihan.
Menggaru boleh mencederakan kulit dan meningkatkan risiko jangkitan kulit sekunder.
Jadi, selain mengetahui kenapa kena gigit nyamuk gatal, lebih baik jika kita turut mengambil langkah untuk mengurangkan kemungkinan digigit sejak awal.
Apakah tanda-tanda gigitan nyamuk Aedes? Bolehkah kita mengenalinya?
Gigitan nyamuk biasanya akan menyebabkan kegatalan pada kulit dan benjolan kecil jika digaru.
Apakah tanda-tanda gigitan nyamuk Aedes? Gigitan Aedes boleh menghasilkan reaksi kulit seperti kemerahan, benjolan kecil dan kegatalan, sama seperti gigitan nyamuk lain.
Oleh itu, kita tidak boleh memastikan bahawa sesuatu gigitan datang daripada nyamuk Aedes hanya berdasarkan rupa kesan pada kulit.
Perkara yang lebih penting ialah memantau keadaan kesihatan selepas terdedah kepada gigitan nyamuk.
Sekiranya anda mengalami gejala seperti demam panas, sakit kepala, sakit belakang mata, sakit otot atau sendi, loya, muntah atau ruam, dapatkan pemeriksaan perubatan kerana simptom tersebut boleh dikaitkan dengan denggi.5
Memahami apakah tanda-tanda gigitan nyamuk Aedes dengan tepat dapat mengelakkan salah faham bahawa setiap benjol tertentu pada kulit semestinya berpunca daripada Aedes.
Bukan denggi sahaja, ini penyakit bawaan nyamuk Aedes dan nyamuk lain!
Penyakit bawaan nyamuk Aedes yang paling dikenali di Malaysia ialah denggi. Namun, Aedes juga boleh menyebarkan beberapa virus lain.
Pada masa yang sama, spesies nyamuk daripada genus lain juga boleh menjadi vektor kepada penyakit yang berbeza.
Antara penyakit bawaan nyamuk yang perlu diketahui ialah:
Denggi – Jangkitan virus yang disebarkan terutamanya melalui gigitan Aedes aegypti yang dijangkiti.6 Gejalanya boleh termasuk demam panas, sakit kepala, sakit badan, loya dan ruam. Sesetengah kes boleh berkembang menjadi denggi teruk.
Chikungunya – Turut merupakan antara penyakit bawaan nyamuk Aedes.7 Jangkitan virus ini biasanya menyebabkan demam dan sakit sendi yang boleh menjadi teruk pada sesetengah individu.
Zika – Virus Zika disebarkan terutamanya melalui nyamuk Aedes.8 Kebanyakan jangkitan tidak bergejala, tetapi sesetengah individu boleh mengalami ruam, demam, konjunktivitis serta sakit otot dan sendi. Jangkitan ketika kehamilan memerlukan perhatian khusus kerana risiko terhadap janin.
Malaria – Berbeza daripada denggi, malaria disebabkan oleh parasit Plasmodium dan disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles betina yang dijangkiti.9 Antara simptomnya ialah demam, menggigil dan sakit kepala.
Japanese Encephalitis (JE) – Penyakit virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti, terutamanya daripada genus Culex.10 Kebanyakan jangkitan tidak menunjukkan simptom, tetapi sebilangan kecil boleh mengalami penyakit neurologi yang serius.
Filariasis limfatik – Penyakit parasit ini boleh disebarkan oleh beberapa genus nyamuk termasuk Culex, Anopheles dan Aedes, bergantung kepada lokasi.11 Jangkitan kronik boleh menjejaskan sistem limfa dan menyebabkan pembengkakan anggota badan.
Risiko inilah yang menjadikan pencegahan kesan gigitan nyamuk sebahagian daripada perlindungan diri yang praktikal.
Namun, ia bukan sekadar soal menggunakan penghalau nyamuk.
Jadikan perlindungan daripada gigitan nyamuk sebagai rutin harian, elak kesan gigitan nyamuk
Ramai mungkin lebih berwaspada apabila kes denggi meningkat di kawasan kediaman. Hakikatnya, langkah mengurangkan pendedahan kepada nyamuk boleh diamalkan setiap hari.
Menghapuskan air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk
Memastikan bekas penyimpanan air ditutup dengan baik
Memakai pakaian yang mengurangkan pendedahan kulit apabila sesuai serta menggunakan penghalau nyamuk mengikut arahan pada label
Langkah ini lebih penting ketika melakukan aktiviti luar seperti beriadah, berkhemah, berkelah atau melancong ke kawasan yang mempunyai banyak nyamuk.
Ia membantu mengurangkan kemungkinan gigitan dan kesan gigitan nyamuk yang mengganggu keselesaan anda sekeluarga.
Guna ByeBye-BUG, melindungi dan mengelakkan kesan gigitan nyamuk
Patch penghalau nyamuk Bye-Bye-BUG.
Salah satu cara mudah untuk melengkapkan rutin perlindungan keluarga ialah dengan menggunakan ByeBye-BUG, penghalau serangga yang membantu menghalau nyamuk dan mengurangkan kemungkinan gigitannyamuk ketika menjalani aktiviti harian mahupun aktiviti luar.
ByeBye-BUG menggunakan formulasi Jepun dengan bahan yang diperoleh daripada sumber semula jadi (naturally derived ingredients) dan bebas DEET.
DEET atau N,N-diethyl-meta-toluamide ialah bahan aktif yang biasa digunakan dalam pelbagai produk penghalau serangga.
Ciri DEET Free pada ByeBye-BUG merujuk kepada formulasi produk yang tidak menggunakan bahan aktif tersebut.
Dengan penggunaan yang mudah dan praktikal untuk gaya hidup aktif, ByeBye-BUG sesuai dijadikan teman keluarga ketika berada di rumah, melakukan aktiviti luar atau melancong.
Gunakan produk mengikut arahan pada label bagi mendapatkan penggunaan yang sesuai.
Paling penting, jangan bergantung kepada satu kaedah sahaja.
Gabungkan penggunaan penghalau nyamuk dengan penjagaan persekitaran dan amalan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Langkah kecil yang dilakukan secara konsisten dapat membantu keluarga menikmati aktiviti seharian dengan lebih yakin dan tenang.
Jadikan perlindungan daripada kesan gigitan nyamuk sebahagian daripada rutin keluarga anda.
Ketahui lebih lanjut tentang ByeBye-BUG dan cara ia membantu melengkapkan perlindungan harian anda DI SINI.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Dengue. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue. Diakses Ogos 19, 2026.
Malaria. https://www.cdc.gov/dpdx/malaria/index.html. Diakses Ogos 19, 2026.
Japanese Encephalitis. https://www.cdc.gov/yellow-book/hcp/travel-associated-infections-diseases/japanese-encephalitis.html. Diakses Ogos 19, 2026.
Mosquito Bites. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17695-mosquito-bites. Diakses Ogos 19, 2026.
Symptoms of Dengue and Testing. https://www.cdc.gov/dengue/signs-symptoms/index.html. Diakses Ogos 19, 2026.
How Dengue Spreads. https://www.cdc.gov/dengue/transmission/index.html. Diakses Ogos 19, 2026.
Chikungunya. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/chikungunya. Diakses Ogos 19, 2026.
How Zika Spreads. https://www.cdc.gov/zika/causes/index.html. Diakses Ogos 19, 2026.
How Malaria Spreads. https://www.cdc.gov/malaria/causes/index.html. Diakses Ogos 19, 2026.
Japanese Encephalitis. https://www.chp.gov.hk/en/features/49712.html. Diakses Ogos 19, 2026.
Lymphatic Filariasis. https://www.cdc.gov/dpdx/lymphaticfilariasis/index.html. Diakses Ogos 19, 2026.
Prevent Aedes Mosquito Breeding. https://www.nea.gov.sg/dengue-zika/prevent-aedes-mosquito-breeding. Diakses Ogos 19, 2026.
Versi Terbaru
14/09/2026
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung