Bahaya Melancong, Jangan Ambil Mudah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Melancong atau berjalan-jalan merupakan peluang untuk seseorang individu menyegarkan diri, mencipta memori dan mendapatkan inspirasi. Walau bagaimanapun, ketika melancong, terdapat kemungkinan untuk berdepan dengan pelbagai risiko kesihatan. Ini adalah antara bahaya melancong yang tidak boleh diambil mudah.

Cirit-birit

Cirit-birit bersama masalah pencernaan adalah jenis masalah kesihatan yang paling biasa apabila melancong. Ini disebabkan oleh faktor kebersihan makanan. Banyak individu yang pergi melancong ke negara-negara kurang maju mengalami cirit-birit dalam tempoh 48 jam pertama.

Masalah berkaitan kulit

Pelancong boleh mendapat masalah dengan kulit mereka seperti selaran matahari atau gigitan serangga. Adakalanya, faktor dari cuaca seperti kelembapan boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit dan boleh meninggalkan kesan jangka panjang.

Demam bawaan serangga

Demam seperti denggi atau chikungunya turut akan memberi kesan kepada pelancong. Ia akan membuatkan pesakit mendapat kelesuan akibat sakit kepala, demam panas dan kesakitan di seluruh anggota badan. Malaria boleh menyebabkan kematian seandainya tidak dirawat dengan baik.

Pelbagai jangkitan

Peningkatan jangkitan yang eksotik dan jarang berlaku antara yang turut mengancam pelancong. Antaranya seperti Ebola, selsema burung, jangkitan chagas, japanese encephalitis, zika.

Penyakit kelamin

Merupakan antara penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan pelancong yang sering terlibat dengan kegiatan seks tanpa perlindungan. Malangnya, penyakit seperti ini tidak dapat disembuhkan dengan ubatan ataupun pencegahan melalui vaksin.

Kecederaan fizikal

Ia boleh berlaku kepada pelancong, seperti kemalangan dari aktiviti seperti berperahu, mendaki gunung atau menyelam. Kecederaan sama ada cedera parah atau ringan juga boleh berlaku jika terlibat dengan keganasan politik, penculikan atau tindakan pengganas yang tidak dijangka. Sekiranya kecederaan yang berlaku tidak mendapat rawatan yang betul, ia boleh menyebabkan risiko jangkitan luka, hepatitis, atau AIDS.

Gangguan berkaitan perjalanan udara

Ia mungkin berkaitan jet-lag, gangguan pemakanan, darah terkumpul pada bahagian kaki. Bagi sesetengah individu, mereka mungkin akan berdepan gangguan pergerakan disebabkan keletihan yang melampau.

Masalah berkaitan psikologi

Ada masanya, pelancong boleh mendapat kemalangan yang tidak dijangka ketika melancong. Mereka mungkin diculik, diperkosa atau mendapat kecederaan kerana pengeboman. Kemalangan seperti ini boleh mempengaruhi pesakit secara psikologi, terutamanya kanak-kanak dan wanita.

Pelbagai masalah kesihatan boleh berlaku ketika seseorang individu melancong. Jadi, adalah penting untuk sentiasa berwaspada ketika pergi melancong untuk mengelakkan sebarang kejadian atau masalah yang tidak diingini.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 7, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Januari 7, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut