Punca Rambut Gugur: Apa yang Patut Anda Ketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tidak kira sama ada bagi individu lelaki mahupun wanita, rambut merupakan antara bahagian yang paling berharga. Ini kerana ia merupakan antara bahagian yang akan dilihat dan diperhatikan ketika bersua muka. Namun, bagaimana jika anda mempunyai rambut yang bermasalah seperti rambut gugur? Apakah punca rambut gugur dan bagaimana untuk merawatnya? 

Apa itu Rambut Gugur?

Sebelum kita mengetahui mengenai punca rambut gugur dan kaedah rawatan yang boleh anda cuba, apa kata kita mengetahui dulu, apakah sebenarnya masalah rambut gugur ini.

Masalah rambut gugur seiring dengan peningkatan usia mungkin boleh dianggap sebagai satu situasi yang normal. Tetapi dalam sesetengah keadaan, terdapat individu yang mengalami masalah keguguran rambut ini disebabkan oleh faktor diet pemakanan yang diambil, kekurangan nutrien atau mungkin disebabkan faktor genetik. 

Rambut gugur boleh berlaku pada rambut di bahagian kulit kepada atau mana-mana bahagian badan anda. Keturunan, perubahan hormon, keadaan perubatan atau masalah kesihatan turut boleh menjadi antara punca rambut gugur. 

Selalunya masalah rambut gugur bukanlah satu masalah yang berkaitan dengan aspek kesihatan yang perlu dibimbangkan secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, keguguran rambut yang kronik atau serius, cenderung menjejaskan tahap kesihatan dari aspek mental dan harga diri seseorang individu.

Masalah rambut gugur ini boleh berlaku kepada sesiapa dan tidak mengira peringkat usia. Namun, dipercayai masalah ini lebih kerap berlaku kepada individu lelaki. Rambut yang semakin menipis atau mengalami kebotakan adalah antara kesan daripada masalah rambut gugur. 

Punca Rambut Gugur

Helaian rambut semakin banyak pada sikat rambut dan di lantai? Kegusaran mengenai rambut yang semakin gugur boleh menyebabkan anda kurang keyakinan diri kerana lama-kelamaan rambut semakin menipis dan anda akan berdepan dengan masalah kebotakan. 

Berikut adalah beberapa sebab umum anda mengalami keguguran rambut.

1. Tekanan

Tekanan adalah punca biasa bagi masalah keguguran rambut. Tekanan menyebabkan badan mengamalkan proses biologi yang tidak normal dan mengganggu keadaan biasa dalam badan, dan kadang-kadang tidak dapat diramalkan.

Tekanan itu sendiri berbeza-beza pada setiap orang, dan untuk sesetengah tekanan boleh menyebabkan keguguran rambut atau penipisan rambut. Tekanan sering memberi kesan kepada fasa telogen kitaran pertumbuhan rambut dengan meningkatkan jumlah rambut yang gugur pada fasa ini.

Terdapat beberapa jenis keadaan yang boleh mengakibatkan tekanan seperti kesan daripada penyakit atau pembedahan utama, tekanan psikologi, kehilangan berat badan yang ketara, kekurangan zat besi yang kronik, gangguan tiroid dan mungkin tekanan selepas melahirkan anak. 

2. Terlebih mendandan rambut

Antara punca rambut gugur yang paling biasa berlaku adalah kerana pendandanan rambut. Aktiviti mendandan rambut yang berlebihan setiap hari boleh menyebabkan keguguran rambut. Jika anda suka gaya rambut tocang ketat (bun ballerina), rambut akan menipis akibat daya tarikan alopecia iaitu satu situasi di mana ketegangan berlaku disebabkan oleh gaya rambut terutamanya di sekitar garis rambut dan di belakang telinga.

Selain itu, pelindung kimia untuk meluruskan rambut, rawatan minyak panas atau apa-apa jenis bahan kimia yang keras atau bersuhu tinggi boleh menjejaskan akar rambut dan rambut tidak akan tumbuh kembali.

3. Folikel rambut tersekat

Rambut yang menawan memerlukan akar yang bagus. Jadi kulit kepala yang tidak sihat boleh mempengaruhi pertumbuhan rambut dan menyebabkannya tersekat. Oleh itu anda perlu memilih produk yang direka khas bagi menguatkan rambut dan kulit kepala, membersihkan kulit kepala serta menyingkirkan sel-sel kulit mati supaya rambut kekal sihat.

4. Pemakanan

Seperti yang dinyatakan pada awal-awal tadi, diet pengambilan makanan juga boleh menjadi antara punca rambut gugur. Pemakanan menjadi salah satu faktor yang boleh mempengaruhi setiap keadaan badan termasuk masalah rambut gugur. Anda mungkin beranggapan sudah mendapatkan makanan yang sihat khususnya apabila dalam pelan perancangan diet namun tanpa sedar diet ketat mungkin salah satu penyebab kepada keguguran rambut. Ini biasanya berlaku ke atas diet pemakanan yang menghadkan pengambilan kalori atau protein.

Menurut Akademi Dermatologi Amerika, sekiranya anda tidak mendapatkan protein yang mencukupi dalam diet, tubuh akan mendapatkan protein dengan mematikan pertumbuhan rambut.  

5. Kimoterapi

Sesetengah ubat yang digunakan untuk mengalahkan kanser juga boleh menyebabkan keguguran rambut. Ia menghancurkan sel-sel yang membelah dengan cepat. Ini bermakna bukan sahaja sel-sel kanser yang dipecahkan tetapi dalam masa yang sama ia turut memusnahkan sel rambut.

Punca Rambut Gugur Apa yang Patut Anda Ketahui - ubatan

6. Kesan ubat-ubatan

Punca rambut gugur boleh berlaku akibat ubat-ubatan yang dimakan. Pengambilan sesetengah ubat-ubatan boleh menggalakkan keguguran rambut. Lebih umum di antaranya adalah ubat mencair darah tertentu dan ubat tekanan darah yang dikenali sebagai beta-blokers. Ubat lain yang mungkin menyebabkan rambut gugur adalah methotrexate (digunakan untuk merawat keadaan reumatik dan beberapa keadaan kulit), litium (untuk gangguan bipolar), ubat anti-radang nonsteroid (NSAIDs) termasuk ibuprofen, dan mungkin antidepresan.

Namun tahukah anda, sebenarnya individu wanita juga berisiko untuk mengalami masalah rambut gugur? Adakah punca rambut gugur yang dialami individu wanita berbeza?

Punca Rambut Gugur 

1. Genetik/ Keturunan

Penyebab keguguran rambut yang paling biasa adalah keadaan keturunan yang disebut pola kebotakan lelaki atau pola kebotakan wanita. Ia biasanya berlaku secara beransur-ansur dengan penuaan dan pola yang boleh diramalkan seperti garis rambut dan botak bertompok pada lelaki dan rambut menipis pada wanita.

2. Baru melahirkan bayi

Kehilangan rambut selepas kehamilan bukan keguguran rambut sebenar dan ia adalah normal. Rambut gugur selepas wanita melahirkan kerana penurunan tahap estrogen. Sesetengah wanita mendapati bahawa mereka kehilangan banyak rambut dalam masa yang singkat selepas melahirkan. Berita baiknya adalah selepas tempoh keguguran ini, rambut lebat sering kembali normal dalam masa 1 hingga 2 tahun. Semasa anda menunggu kepala dipenuhi rambut, gunakan syampu dan pelembap untuk rambut halus dan kelihatan lebih penuh.

3. Pengambilan pil perancang

Pil kawalan kelahiran adalah satu bentuk pencegahan hamil yang berfungsi menekan ovulasi atau menjadikannya lebih sukar untuk telur disenyawakan. Hormon pil kawalan kelahiran ini juga boleh mengakibatkan penipisan rambut wanita yang menggunakannya dan menjadi antara punca rambut gugur dalam kalangan wanita.

Anda lebih cenderung untuk mengalami kesan sampingan daripada pil ini sekiranya mempunyai sejarah keluarga keguguran rambut. Malah, wanita yang mengambil pil ini mengalami keguguran rambut walaupun sudah menghentikan pengambilannya.

4. Sindrom ovari polisistik (PCOS)

PCOS adalah ketidakseimbangan hormon seks lelaki dan wanita. Apabila wanita mempunyai lebihan androgen dalam tubuh, mereka cenderung mengalami peningkatan berat badan, sista ovari dan perubahan dalam kitaran haid. 

PCOS juga meningkatkan risiko wanita diabetes, kemandulan dan penipisan rambut. Lebihan hormon lelaki juga boleh menyebabkan lebih banyak rambut di badan dan muka bersama-sama dengan penipisan rambut pada kulit kepala. Rawatan untuk penipisan rambut yang disebabkan oleh PCOS termasuk senaman dan diet.

Punca Rambut Gugur Apa yang Patut Anda Ketahui - punca

5. Kekurangan zat besi

Kekurangan zat besi adalah jenis anemia yang paling biasa yang berlaku pada kira-kira satu dalam 10 wanita berumur 20 hingga 49 tahun. Ini kerana semasa haid, anda akan kehilangan banyak zat besi pada setiap bulan. Ia juga memberi kesan kepada individu dalam keadaan seperti Crohns, yang mengelak daripada mengambil zat besi.

6. Penuaan

Keguguran rambut pada wanita selepas usia tertentu adalah biasa dan tiada bukti yang mencukupi  untuk menentukan punca ianya berlaku. Walau bagaimanapun, anda boleh melambatkan keguguran rambut dengan mengubah diet dan mendapatkan makanan yang meningkatkan tahap kesihatan rambut.

Makanan Bantu Cegah Punca Rambut Gugur

Masalah rambut gugur bukanlah asing lagi kepada wanita mahupun lelaki. Walaupun anda akan kehilangan 50-100 helai rambut sehari melalui proses keguguran rambut yang normal, ada kalanya rambut anda gugur lebih daripada biasa disebabkan penambahan usia, masalah kesihatan dan faktor persekitaran. 

Selain penjagaan rambut yang berkesan, pemakanan anda juga boleh mempengaruhi kesihatan rambut anda. Ketahui jenis makanan yang bermanfaat untuk mengatasi punca rambut gugur.

  1. Bayam

Bayam adalah sumber zat besi, vitamin A, C dan protein. Kekurangan zat besi adalah penyebab utama rambut gugur dan bayam bukan hanya kaya dengan zat besi, tetapi juga mengandungi sebum yang bertindak sebagai perapi semula jadi untuk rambut. Ia juga mengandungi asid omega-3, magnesium, kalium, kalsium dan besi. Ini membantu mengekalkan kulit kepala yang sihat dan rambut berkilau.

  1. Lobak dan Keledek

Memasukkan lobak dalam diet anda adalah kunci untuk rambut panjang dan berkilau. Diketahui baik untuk mata, lobak mengandungi Vitamin A yang juga meningkatkan pertumbuhan rambut. Keledek juga mengandungi beta-karoten yang bertukar kepada vitamin A dalam badan kita. Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan kulit kering dan gatal.

  1. Telur dan Produk Tenusu

Susu, yogurt, keju, telur dan produk tenusu lain mengandungi nutrien penting seperti protein, Vitamin B12, zat besi, zink dan asid lemak Omega. Produk tenusu juga merupakan sumber biotin (Vitamin B7) yang terkenal untuk mencegah rambut gugur.

  1. Oat

Tambah semangkuk besar oat dalam hidangan pagi anda untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rambut gugur. Oat kaya dengan serat, zink, zat besi, asid lemak omega-6 dan asid lemak tak tepu yang merangsang pertumbuhan rambut dan akan menjadikan rambut anda lebih tebal dan sihat.

  1. Walnut

Tambah walnut dalam diet anda untuk mencegah rambut gugur. Ia adalah satu-satunya kacang yang diketahui mengandungi biotin, vitamin B (B1, B6 dan B9), Vitamin E, kaya protein dan magnesium, yang semuanya menguatkan kutikula rambut dan menyuburkan kulit kepala. Ia membantu melindungi sel-sel anda dari kerosakan DNA yang mungkin disebabkan oleh pendedahan kepada cahaya matahari.

  1. Lentil

Lentil merupakan kumpulan kekacang yang menyihatkan. Di Malaysia, jenis lentil yang biasa ditemui ialah kacang dal. Ia kaya dengan protein, zat besi, zink, dan biotin. Selain itu, lentil penuh dengan asid folik yang diperlukan untuk memulihkan kesihatan sel darah merah yang membekalkan kulit dan kulit kepala dengan oksigen yang sangat diperlukan.

Punca Rambut Gugur Apa yang Patut Anda Ketahui - lentil

  1. Daging Ayam

Daging ayam kaya dengan protein berkualiti tinggi yang menguatkan rambut rapuh dan menghalang rambut terputus. Oleh kerana rambut dan kuku terdiri daripada protein, anda harus mendapatkan sumber protein yang mencukupi dalam diet harian anda.

  1. Strawberi

Strawberi mengandungi tahap silika yang tinggi. Silika adalah mineral yang penting untuk kekuatan rambut dan pertumbuhan rambut. Makanan kaya silika lain termasuk beras, oat, bawang, kubis dan timun.

  1. Yogurt

Yogurt penuh dengan Vitamin B5 dan Vitamin D yang dikenali untuk menggalakkan kesihatan folikel rambut. Sebagai alternatif, anda juga boleh menggunakan yogurt untuk membuat topeng rambut sekali-sekala.

  1. Makanan yang kaya dengan Vitamin-C

Vitamin C menyokong penyerapan zat besi dalam tubuh kita, kekurangannya boleh mengakibatkan rambut gugur. Vitamin C juga dikenali dengan sifat antioksidan yang mengurangkan kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas yang boleh membuat rambut anda rapuh dan lemah. 

Tambah buah-buahan seperti oren, betik, limau dan kiwi untuk diet anda. Vitamin C juga membantu dalam pengeluaran kolagen yang menguatkan saluran darah yang membekalkan nutrisi kepada rambut.

  1. Salmon

Salmon mengandungi asid lemak omega-3 di mana disukai oleh folikel rambut anda. Pengambilan 3.5 auns salmon dua kali seminggu akan menguatkan rambut anda dan membuatkannya bersinar.

Punca Rambut Gugur Apa yang Patut Anda Ketahui - salmon

  1. Biji labu

Keguguran rambut mungkin disebabkan kulit kepala kering. Jadi, periksa kulit kepala anda untuk ketidakstabilannya. ½ cawan biji labu panggang sejuk akan menyelesaikan masalah anda dengan kekayaan zinknya.

Tip Melebatkan Rambut Secara Semula Jadi

Keguguran rambut dilihat sebagai tanda penuaan. Terdapat pelbagai sebab terjadinya keguguran rambut, dari segi ubat, ketidakseimbangan hormon, jenis diet dan tekanan kerja. Kebiasaannya, kita semua mencari ubat kimia segera untuk merawat keguguran dengan cepat walaupun menyedari banyak akibat yang berbahaya. 

Namun, terdapat beberapa bahan semula jadi yang boleh merawat masalah punca rambut gugur tanpa kesan sampingan.

1. Santan kelapa

Dipercayai ubat yang paling berkesan untuk pertumbuhan rambut semula jadi ialah penggunaan santan kerana ia kaya dengan zat besi, kalium dan lemak penting. Caranya, ambil santan dari kelapa segar, tambahkan setengah perahan lemon dan 4 titisan minyak lavender. Campurkan dengan teliti dan sapukan pada kulit kepala anda, biarkan selama 4-5 jam dan kemudian bilas.

2. Cuka epal cider

Cuka ini berfungsi perlahan-lahan membersihkan kulit kepala dan mengekalkan keseimbangan pH rambut sehingga mempercepat pertumbuhan rambut. Mulakan dengan membuat campuran cair dengan mencampurkan 75 ml dalam satu liter air untuk kumpulan yang lebih besar atau 15 ml kepada secawan air panas yang ditapis untuk kumpulan yang lebih kecil.

Gunakannya sebagai bilasan akhir selepas mencuci rambut anda. Ini juga akan memberikan rambut anda bersinar dan meningkatkan pertumbuhan rambut.

3. Masker telur

Rawatan rumah ini digunakan di seluruh dunia untuk pertumbuhan rambut yang cepat dan semula jadi. Seperti yang kita tahu, telur mengandungi paras protein yang tinggi yang membantu dalam pembentukan rambut baru. Ia juga kaya dengan sulfur, zink, besi, selenium, fosforus dan sodium.

Untuk masker telur, masukkan sebiji telur putih ke dalam mangkuk dan tambah satu sudu teh minyak zaitun (anda juga boleh menggunakan minyak biji anggur atau minyak lavender) dan madu. Sapukan seluruh rambut dan kulit kepala anda selama kira-kira 20 minit. Bilas dengan air sejuk dan syampu.

4. Teh hijau

Teh hijau, seperti yang anda ketahui, sangat kaya dengan antioksidan dan membantu dalam meningkatkan pertumbuhan rambut dan menghalang keguguran rambut. Sapukan teh hijau hangat (dari uncang teh yang digunakan) ke atas kulit kepala anda dan biarkan selama sejam. Basuh dengan air sejuk.

Rawatan secara semula jadi ini mungkin tidak mendatangkan kesan kepada sesetengah individu. Dan bagi individu yang ingin mencubanya pastikan anda tidak mempunyai sebarang alahan dalam menggunakan bahan yang dinyatakan. 

Jangan Abaikan Aspek Penjagaan

Walaupun mungkin punca rambut gugur yang dihadapi adalah disebabkan faktor keturunan dan peningkatan usia, namun ia bukan bermakna anda boleh memandang remeh isu ini. Jangan mengabaikan aspek penjagaan rambut.  

Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang sihat, kaya protein, vitamin dan mineral penting untuk pertumbuhan rambut yang sihat. Jangan lupa untuk mencuci rambut anda sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Cuba untuk uruskan tekanan harian anda dengan sebaik mungkin dengan melakukan meditasi, latihan pernafasan, atau teknik relaksasi lain. Selain itu, pastikan anda tidur dengan secukupnya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut