Makanan Tidak Baik Tetapi Boleh Bantu Kurangkan Berat Badan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

“Nak kurus tak boleh makan itu, kena makan ini,” pasti anda biasa dengan dialog sebegitu, bukan? Tapi nak tau tak, sebenarnya ada makanan yang tidak baik tetapi boleh bantu anda untuk kurangkan berat badan? Teruskan baca perkongsian artikel ini. 

Makanan bantu jadi kurus

Penulis yakin menjadi kurus dan dapat mengekalkan berat badan yang seimbang, sudah tentu menjadi impian setiap individu. Jom kita ketahui jenis makanan yang dikatakan tidak baik, tetapi boleh membantu untuk kurangkan berat, antaranya:

1. Telur 

Penyelidikan terkini menyatakan bahawa pengambilan sebiji telur sehari adalah selamat dan berkhasiat untuk kebanyakan individu dewasa. Kebanyakan individu berasa bahawa telur menggemukkan, tetapi hakikatnya hanya kuning telur sahaja mengandungi kolesterol. Jadi pengambilan putih telur tentunya sesuatu yang baik untuk kesihatan.

2. Steak 

Selalunya kita diamukkan dengan kenyataan bahawa steak adalah makanan yang tidak sihat. Walau bagaimanapun, bergantung kepada bahagian potongan daging lembu tertentu, ia sebenarnya mempunyai kandungan lemak tepu yang lebih sedikit berbanding sepotong dada ayam tanpa kulit. 

Steak penuh dengan kandungan protein dan boleh membantu anda untuk lebih kenyang bagi tempoh yang lama. Tetapi pastikan anda mengambilnya dalam jumlah yang terkawal dan jangan berlebihan, okay?

3. Pasta 

Pilih untuk makan pasta yang dihasilkan daripada gandum penuh dan ambillah dalam kuantiti yang kecil. Pengambilan pasta akan dapat membuatkan anda lebih kenyang, jadi sudah tentu akan membantu mengurangkan rasa lapar.

4. Kekacang 

Kacang mungkin tinggi kandungan lemak tetapi ia adalah daripada jenis lemak yang baik. Ia juga merupakan makanan yang mempunyai kandungan nutrien dan protein – berfungsi untuk menyeimbangkan kandungan gula dalam darah.  Ini kerana ia mempunyai kadar indeks glisemik rendah yang dapat menghalang peningkatan tahap gula darah secara mendadak, manakala kandungan magnesium yang tinggi membantu mengekalkan tahap glukosa. 

5. Keju 

Biasanya individu yang ingin kurus akan mengelakkan pengambilan makanan tenusu yang tinggi kandungan kalsium. Jadi makanlah keju, yogurt dan susu rendah lemak yang pasti dapat menyumbang kepada penurunan berat badan. 

Ia mungkin tidak akan membantu secara langsung dalam menghilangkan berat badan, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak akan menjadi faktor punca kenaikan berat badan.

6. Kopi 

Minuman ini hanya jatuh ke dalam kategori sebagai makanan yang tidak baik apabila anda mengambilnya dalam kuantiti terlalu banyak, jadi perhatikan kandungan kafein dalam minuman kopi anda atau kandungan gabungannya dengan gula, krim atau sirap berperisa. 

Makanan bantu kurangkan berat badan

Berikut merupakan jenis makanan yang amat digalakkan pengambilannnya jika anda sedang berkita-kira untuk menurunkan berat badan, antaranya:

Cendawan

Rasa dan teksturnya yang hampir dengan daging boleh menjadikannya alternatif yang baik kepada daging. Pengambilan cendawan bagi menggantikan bahagian hidangan daging merupakan strategi yang baik dalam menurunkan berat badan. 

Kaedah ini telah terbukti oleh kajian sebagai satu teknik yang efektif dalam menurunkan berat badan. Jadi mungkin anda boleh menambah cendawan sebagai salah satu lauk dalam hidangan makanan anda?

Oat

Oat adalah pilihan makanan yang baik dalam usaha anda untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Ia membuatkan anda kenyang lebih lama dan juga mengurangkan kolesterol. Apa yang lebih menyeronokkan, ia sangat mudah disediakan dan harganya juga sangat berpatutan.

Mungkin anda boleh menyediakan overnight oat sebagai makanan untuk memulakan hari anda. Anda hanya perlu campurkan oat dengan susu pilihan, sama ada susu biasa atau perisa coklat, biji chia, walnut, buah-buahan kegemaran dan simpan di dalam peti ais. Ia sedia dimakan keesokan paginya.

Kacang pistachio

Kacang ini adalah snek terbaik bagi mereka yang menginginkan kurang berat badan. Ia mengandungi kandungan protein, serat dan lemak sihat yang tinggi. Jadi daripada memilih untuk mengambil kerepek kentang sebagai snek ringan anda, mungkin anda boleh mengambil kacang ini sebagai pilihan snek sihat harian anda, okay?

Minyak zaitun

Walaupun ia adalah minyak, tapi minyak zaitun yang berasal dari Mediterranean ini bukan seperti minyak biasa. Lemak di dalamnya adalah lemak jenis monotepu yang lebih sihat daripada lemak biasa. Ia membantu memanjangkan tempoh kenyang dan menghilangkan rasa lapar. 

Tip kurangkan berat badan

Bagi mereka yang memasang niat untuk kurus, ia bukan sekadar bergantung kepada apa yang anda makan, tetapi adalah berkisar mengenai penjagaan kesihatan secara keseluruhan. Berikut dikongsikan beberapa tip untuk mengurangkan berat badan.

1. Minda positif

Bersikap positif mengenai jenis makanan sihat yang anda boleh makan adalah kunci kepada hasil yang stabil dan berpanjangan. Terdapat banyak pilihan di restoran atau cara masakan anda yang memberikan anda gaya hidup yang lebih sihat dalam menikmati hidangan kegemaran anda.

2. Minum air

Memperbanyakkan pengambilan air sudah tentu dapat membantu proses rehidrasi dan ia juga merupakan satu cara untuk menghindari pengambilan makanan secara berlebihan. Ini kerana pengambilan segelas air kosong sebelum makan akan menyebabkan anda berasa lebih cepat kenyang.

3. Aktiviti fizikal

Anda boleh bermula dengan aktiviti yang mudah seperti berjalan atau menaiki tangga dan kemudian beralih kepada sukan kegemaran anda seperti berenang, bola sepak, berbasikal dan lain-lain. Ia adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk mempunyai program membakar lemak produktif tanpa perlu pergi ke gimnasium. Apa yang penting bersenam secara teratur, okay?

Konklusi

Sebenarnya, perkara paling penting yang perlu anda utamakan jika ingin kurus, adalah menjaga saiz hidangan makanan yang diambil setiap hari. Makan secara berlebihan, walaupun ia merupakan jenis makanan yang baik tetap akan mendatangkan keburukan kepada kesihatan diri.

Cara paling mudah adalah dengan mempelbagaikan hidangan setiap hari dan mengambilnya dalam saiz hidangan yang kecil. Kaedah ini juga memudahkan anda untuk mencatatkan pengambilan gula dan kalori. Semoga anda dapat mencapai berat yang diingini dengan cara dan teknik yang selamat, okay? Selamat mencuba!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: November 5, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Januari 3, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut