Pernahkah Anda Dengar Mengenai ‘Manusia Pokok’?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mungkin anda pernah melihat imej seorang lelaki seperti di atas yang mempunyai ketumbuhan pada bahagian tubuhnya. Anda pasti tertanya-tanya, bagaimanakah dia boleh mengalami keadaan seperti itu dan apakah sebenarnya keadaan yang sedang dialami. Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut apakah penyakit misteri ini, teruskan bacaan anda melalui artikel ini.

“Tree men syndrome”

Penyakit misteri ini digelar dengan panggilan “tree man syndrome” atau dengan nama perubatannya yang sebenar, epidermodysplasia verruciformis (EV). EV adalah sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku dan ia adalah satu penyakit yang diwarisi. Ia terjadi disebabkan oleh mutasi gen yang menjadikan seseorang individu tersebut mudah terdedah kepada human papilloma virus atau HPV. 

Simptom “manusia pokok”

Simptom EV ini pada kebiasaannya akan muncul semasa zaman kanak-kanak dengan kemunculan benjolan-benjolan yang kelihatan seperti ketuat. Ia akan muncul pada kawasan tubuh yang terdedah kepada cahaya matahari seperti leher, muka, tangan dan kaki. Benjolan seperti ketuat ini kemudiannya akan mula merebak ke seluruh tubuh individu tersebut. Disebabkan keadaan ketuat ini yang berubah bentuk dan kelihatan seperti kulit pokok, ia kemudiannya digelar sebagai “tree men syndrome.”

Apakah yang menyebabkan sindrom “manusia pokok”

Untuk pengetahuan anda, EV atau “tree men syndrome” ini bukanlah satu penyakit berjangkit. Ia adalah sejenis penyakit genetik atau keturunan. EV menyebabkan kecacatan pada sistem imun seseorang individu yang menyebabkan individu tersebut tidak berkemampuan untuk melawan beberapa jenis virus HPV. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), HPV adalah sejenis virus yang sangat biasa di seluruh dunia dengan hampir 100 jenis virus yang wujud.

Adakah ia benar-benar penyakit yang jarang berlaku?

Ya, ia adalah sejenis penyakit yang sangat jarang terjadi. Menurut Genetic and Rare Diseases Information Center (GARD), dianggarkan sekitar 200 individu di seluruh dunia yang mempunyai penyakit EV atau sindrom “manusia pokok ini. 

Kisah penghidap “tree men syndrome”

Abul Bajandar, seorang pemuda berusia 28 tahun dari Bangladesh telah digelar sebagai “tree men” pada tahun 2016 akibat keadaan EV yang dihidapinya. Pada tahun 2016, dia telah menjalani sebanyak 16 operasi pembedahan hanya untuk membuang ketuat yang menjalar pada kaki dan tangannya. Secara keseluruhan, ketuat yang berjaya disingkirkan daripada tubuhnya itu mempunyai berat sekitar 5 kilogram. Untuk pengetahuan anda, disebabkan oleh keadaan EV yang dialaminya itu, dia dan keluarganya telah tinggal di hospital selama satu tahun. Sebelum beliau mendapatkan rawatan bagi membuang ketumbuhan yang dimilikinya, Abul Bajandar tidak berkemampuan untuk memegang tangan anak perempuannya disebabkan oleh keadaan tangannya  itu.

Penghidap EV ini ternyata mempunyai kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian mereka sehingga memerlukan rawatan bagi membuang segala ketumbuhan yang dimiliki. Kisah manusia pokok ini menunjukkan kepada kita bahawa sesetengah penyakit yang berlaku mungkin tidak kelihatan membahayakan diri anda secara keseluruhan, tetapi menyukarkan hidup anda selain perlu berhadapan dengan tanggapan atau persepsi orang ramai. Apa yang paling penting, setelah anda mengetahui mengenai hal ini, anda akan lebih memahami perasaan individu lain yang mempunyai sedikit perbezaan daripada aspek fizikal tubuh mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 18, 2019

Rujukan