Individu Rendah Hidup Lebih Lama!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Populasi Okinawan di Jepun merupakan antara populasi yang mempunyai ramai sentenarian di dunia. Mereka hidup melebihi usia 100 tahun dan majoriti daripada mereka masih mempunyai tahap kesihatan yang baik. Salah satu faktor kelanjutan usia yang sering dikaitkan dengan golongan ini adalah mereka semua berketinggian rendah. Nak tahu dengan lebih lanjut? Ikuti artikel ini untuk mengetahui bagaimana ketinggian individu mempengaruhi tahap kelanjutan usia mereka.

Kapasiti untuk hidup dengan lebih lama

Kelanjutan usia dipengaruhi oleh pelbagai jenis faktor. Pada masa lampau, kebanyakan ahli akademik tidak bersetuju dengan pendapat bahawa kelanjutan usia mempunyai kaitan dengan ketinggian individu. Namun kajian pencerapan (observational study) yang dijalankan oleh sekumpulan saintis diketuai oleh Bradley J. Wilcox pada tahun 2014 telah mendapati bahawa mereka yang rendah mempunyai kapasiti yang tinggi untuk hidup lebih lama berbanding mereka yang tinggi. 

Kajian ini melibatkan 8,003 orang Amerika yang berketurunan Jepun daripada kajian penuaan Asia-Honolulu yang telah berlangsung selama 40 tahun. Pemboleh ubah yang mempengaruhi kelanjutan usia seperti ketinggian individu dan varian gen kawal atur utama seperti faktor tumbesaran insulin dan Forkhead box O3 (FOXO3) telah direkodkan. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa gen FOXO3 dipengaruhi oleh saiz badan. Semakin rendah individu tersebut, semakin tinggilah kapasiti mereka untuk hidup lebih lama.

Peranan FOXO3 terhadap kelanjutan usia

Gen FOXO3 mempunyai kepelbagaian fungsi dalam memastikan sistem fisiologi badan berada pada tahap yang optimum. Kajian pada tahun 2014 oleh Webb dan Brunet telah merungkaikan peranan gen ini terhadap proses kawal selia keseimbangan protein (proteostasis). Ia bertanggungjawab dalam memastikan keberkesanan proses pembersihan intrasel yang merupakan kunci kepada keupayaan sel untuk memperbaharui diri. Tanpanya, individu tersebut akan mengalami penuaan pramatang dan penyakit-penyakit lain seperti Parkinson, Alzheimer dan Huntington. 

FOXO3 juga memberi perlindungan kepada sel daripada kesan buruk tekanan oksidan (ROS). Gen ini akan meningkatkan kapasiti antioksidan sel bagi memastikan fungsinya berada pada tahap yang optimum untuk menghindarkan daripada proses penuaan dan kanser. Apabila dibuat perbandingan di antara mereka yang berusia 95 tahun dan ke atas dengan mereka yang mempunyai jangka hayat purata, perbezaan pada kedua-duanya berkaitan dengan versi gen FOXO3 tersebut. Mereka yang mempunyai versi gen pelindung (protective version) hidup lebih lama dan kebarangkalian ini meningkat jika anda mempunyai kapasiti FOXO3 yang banyak. Ya, ini merujuk kepada mereka yang rendah.

Orang yang tinggi boleh hidup lama

Jika anda seorang yang tinggi (bergantung kepada purata ketinggian populasi anda), jangan khuatir. Anda boleh hidup lama. Caranya? Beri tumpuan kepada aspek kelanjutan usia yang lain. Anda perlu sedar bahawa kelanjutan usia dipengaruhi oleh faktor genetik dan persekitaran. Cara yang paling berkesan untuk mencapai objektif tersebut adalah dengan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat ditambah dengan senaman yang kerap dan tidur yang mencukupi. Jika anda mempunyai gen pelindung FOXO3, itu merupakan bonus untuk anda namun hasilnya (kelanjutan usia) bergantung kepada seberapa banyak usaha yang dilaburkan ke atas aspek-aspek yang pelbagai.

Populasi Okinawan, sebagai contoh, mempunyai ketinggian yang agak rendah dengan purata populasi masyarakat Jepun. Namun, faktor kelanjutan usia mereka tidak semestinya terletak pada ketinggian mereka. Mereka juga mengamalkan pemakanan yang sihat (organik), mempunyai purata aktiviti fizikal yang tinggi dalam tempoh seminggu dan mereka tinggal di kawasan perkampungan yang kurang stres berbanding dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar. Ambil pengajaran daripada mereka dan mulakan hari ini dengan tabiat pengamalan gaya hidup sihat.

Konklusi

Jika anda seorang yang rendah, usah kecewa. Kajian menunjukkan bahawa anda mempunyai kapasiti yang tinggi untuk hidup lebih lama berbanding mereka yang tinggi! Walaupun gen seperti FOXO3 mempunyai kaitan dengan ketinggian yang rendah, jangan abaikan aspek lain yang boleh mempengaruhi faktor kelanjutan usia. Amalkan gaya hidup sihat agar kualiti dan durasi hidup anda akan menjadi lebih baik.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 17, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 9, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut